Wan Nik Disebut-sebut Setiausaha Politik Nik Aziz  

Posted by Kunta-Kinte

SEJAK kelmarin saya menerima beberapa panggilan telefon dari penjenguk blog Merah Tinta termasuk juga golongan pemerhati politik, aktivis Pas serta beberapa wakil rakyat. Semuanya bertanya dan memaklumkan kepada saya yang bekas ahli Parlimen Bachok. Wan Nik Wan Yusuf akan dilantik menjadi setiausaha politik Menteri Besar Kelantan bagi mengganti Annual Bakri Haron.

Saya tidak memberi banyak reaksi kepada pemberitahuan itu, cuma berkata baguslah kalau ia benar begitu.

Terbaru seorang ahli Parlimen memaklumkan apa yang beliau tahu nama Wan Nik (foto) sudah dipilih. Tetapi perasmiannya masih belum dibuat, katanya. Maksudnya belum diumum tetapi semacam sudah habis pasti.

Baguslah kalau Wan Nik dilantik menjadi setiausaha politik. Dalam pemerhatian saya Wan Nik berkelayakan untuk memegang jawatan berkenaan. Beliau kini (kalau tak salah) adalah Setiausaha Jabatan Pilihanraya Pas Negeri (JPPN).

Bekas ahli Parlimen Bachok (1999 – 2004) ini seorang yang berperwatakan sederhana, merendah diri dan tidak suka kepada glamour. Beliau juga dikenali seorang yang kuat bekerja dan bersifat analitis dan bercakap berdasarkan fakta.

Ini dapat dikesan menerusi penulisannya baik buku dan juga di tulisan-tulisan di akhbar.

Keistimewaan lain yang ada kepada Wan Nik, beliau juga pernah terlibat dalam kepimpinan Pemuda Pas. Pengalaman politik cukup luas baik dalam parti dan selaku ahli Parlimen. Beliau dalam pemerhatian saya juga seorang yang tidak mudah merajuk dan berkecil hati dan sedia patuhi arahan jemaah.

Dalam pililhan raya umum lalu beliau tidak dicalon untuk bertanding di Bachok atas alasan mudah beliau kalah tahun 2004. Kawasan itu diserahkan kepada Nasharudin Mat Isa. Wan Nik tidak menunjuk muka masam dan protes sebaliknya menerima apa yang diputuskan parti dengan rela dan setia. Beliau berkerja kuat bagi memastikan calon Pas di Parlimen Bachok dalam pilihan raya berkenaan.

Selain itu beliau juga mempunyai kelulusan yang baik hingga ke peringkat Master. Wan Nik juga mempunyai pengalaman dalam pengurusan parti kerana pernah menduduki barisan kepimpinan pemuda Pas Pusat dan pernah menjadi setiausaha Dewan Pemuda Pas Kelantan.

Watak dan syaksiah serta keistimewaan inilah yang saya merasakan dia memang layak kalau dilantik menjadi Setiausaha Politik. Setiausaha politik sememang tidak memerlukan seorang yang banyak bercakap, tetapi banyak berfikir dan menghayati fikrah parti dan bosnya sendiri. Ciri-ciri ini ada kepada Wan Nik.

Seorang setiausaha politik juga perlu rajin, bijak dan tahu menganalisa isu politik. Cekap membaca strategi musuh serta setia mendampingi bos (MB) dalam setiap tindak tanduk.

Selebihnya setiausaha politik bukan saja kena setia tetapi ikhlas dan benar dalam memberi nasihat dan menjalankan kerja-kerja politik bos, parti dan kerajaan. Dalam erti kata lain yang boleh bergerak sealiran dengan fikrah bos.

Maka atas sebab-sebab atau pun ciri-ciri itulah maka dalam tulisan saya pada 16 November lalu menerusi blog ini saya menyebut Wan Nik mungkin boleh dipertimbangkan untuk jadi setiausaha politik kalau sekiranya Annual Bakari tidak diperlukan lagi kerana dalam pengamatan saya beberapa keperluan sesuai dengan jawatan ini ada kepada Wan Nik.

Makanya bagi saya, maklumat dan cakap kawan-kawan politik bahawa Wan Nik akan dilantik menjadi setiausaha politik itu sesuatu yang sangat menyenangkan. Sekiranya Wan Nik diangkat menjadi setiausaha politik Tok Guru ke empat, diharap beliau boleh memberi sumbangan terbaik khasnya dalam mengembalikan wibawa politik Nik Aziz yang tercemar akhir-akhir ini kerana ada dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

Bagaimana pun berhubung perlantikan setiausaha politik MB ini ia terserah kepada Nik Aziz dan Pas sendiri. Beliaulah yang berhak membuat pemilihan dan menimbang sesiapa calon yang dibawa kepadanya. Semasa mengumumkan perkhidmatan Annual Bakri tidak disambung beliau ada menjelaskan calon untuk jawatan itu banyak kerana orang berebut ingin duduk dekat dengan Tok Guru.

Mohd Sayuti Omar

http://www.msomelayu.blogspot.com/

This entry was posted on Sunday, January 03, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments