Showing posts with label Isu Kalimah Allah. Show all posts

PAS mahu Rukunegara guna Allah, gugur Tuhan  

Posted by Kunta-Kinte

Zulkifli Enggan Berdepan Lembaga Disiplin  

Posted by Kunta-Kinte

Ahli parlimen PKR, Zulkifli Noordin hari ini masuk menghadap lembaga jawatankuasa dispilin parti tetapi bertindak keluar selang sejam kemudian.

KUALA LUMPUR 4 Mac - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN Dr Muhammad Nur Manuty (kiri) berkata Zulkifli Noordin perlu memahami bahawa KEADILAN adalah parti untuk semua kaum dan sudah tentu ahli panel dalam lembaga disiplinnya juga dianggotai bukan Islam. Beliau yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) diminta mengulas tindakan Zulkifli hari ini yang enggan menghadap lembaga Jawatankuasa disiplin parti, sebaliknya bertindak keluar ketika pertemuan itu berlangsung atas alasan tidak mahu ahli panel lembaga tersebut terdiri dari kalangan orang bukan Islam.

Zulkifli hari ini dilaporkan berkata panel yang sepatut menentukan masa depannya itu perlu dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam. Beliau dihadapkan ke jawatankuasa terbabit bagi memberi penjelasan berhubung kritikannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad. Ketika diminta mengulas isu ini, Dr Muhammad Nur berkata pimpinan ulama dalam Pakatan Rakyat telah pun membuat keputusan mengenai isu penggunaan nama Allah yang dianggap telah selesai. "Pengunaan nama Allah telah selesai, Pakatan Rakyat dan ijma ulama telah menyatakan pandangan bahawa soalnya ialah berbeza pandangan. Kita telah meminta pemimpin bukan Islam supaya menghormati asas kebimbangan ini dan apa yang penting ialah langkah pelaksanaan dan kawalan," katanya. Tambah beliau, Zulkifli dihadapkan ke lembaga disiplin parti itu kerana soal disiplin dan tiada kena mengena dengan isu penggunaan nama Allah seperti yang beliau perkatakan. "Perkara itu sudah tidak menjadi isu. Ijma pimpinan ulama dalam Pakatan Rakyat samada dalam KEADILAN atau PAS dan ulama muktabar dunia sudah menyatakan bahawa tak timbul soal hukum tetapi cuma perbezaan pendapat. Kita hormat pandangan yang berbeda dan keprihatinan terhadap orang Islam yang bimbang dalam isu ini," ujarnya.


Menjadi ular lidah bercabang – Zulkifli Noordin  

Posted by Kunta-Kinte

JAN 31 – “Dan mereka (Kristian dan Yahudi) berkata Tuhan Yang Maha Pemurah Mempunyai anak. Sesungguhnya mereka sudah mendatangkan sesuatu yang sangat mungkar. Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu dan bumi terbelah, dan gunung ganang runtuh kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Allah Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak”. (Surah Maryam:88-92)

Begitulah serius amaran Allah SWT kepada manusia yang mendakwa Allah mempunyai anak. Kita tidak lupa peristiwa tsunami yang berlaku pada Krismas 25 Disember 2004, apabila bumi di dasar lautan terbelah dan ombak menggunung sehingga ratusan ribu nyawa terkorban pada hari mereka merayakan perayaan memperingati kelahiran Jesus yang didakwa anak Allah SWT.

Bagi mereka, ini isu istilah tetapi bagi kita ia isu akidah. Bagi mereka ini persoalan bahasa, bagi kita ia isu agama. Bagi mereka perbezaan terminologi, bagi kita ia perkara tauhid. Apakah kita tidak menyedari bahawa apabila pihak Kristian mahu menggunakan nama Allah SWT, mereka menyebutnya dalam bentuk Allah itu triniti: Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Roh Suci! Ini adalah fahaman syirik lagi kufur dari sudut akidah Islam. Semua 25 Rasul dan 124,000 nabi dihantar kepada manusia hanya dengan satu mesej yang jelas – sembahlah Allah SWT yang satu.

Mereka mendakwa kononnya mereka sudah menggunakan nama Allah SWT sebagai ganti nama God sejak ratusan tahun. Maka mereka berhak menggunakannya sekarang. Ketika Nabi Muhammad diutus sebagai Rasul, nama Allah SWT sudah pun digunakan. Nabi bukan pencipta nama Allah SWT, sebaliknya ia sudah wujud sejak azali lagi.

Maka Nabi Muhammad SAW menyeru manusia supaya marilah menyembah Allah SWT. Maka Yahudi menyatakan memang kami bertuhankan Allah tetapi Ia punya anak bernama ‘Uzair. Kristian pula berkata, memang kami mempertuhankan Allah, tetapi Allah punya anak ‘Isa al Masih (Jesus)’. Musyrikin Makkah juga berkata memang tuhan mereka Allah, tetapi punya sekutu Latta dan Uzza.

Maka mereka bertanya kepada Nabi, siapa Allah yang engkau seru kami menyembahnya. Nabi tidak menjawab berdasarkan akal, tetapi Allah SWT menjawabnya dengan berfirman yang bermaksud: “Katakanlah Allah itu satu.” Kita tidak pernah mendengar dalam sirah Nabawi bahawa Nabi membenarkan Allah dipersekutu dan disyirikkan. Seperti ditegaskan Saidina Ja’afar ibni Abi Tolib Attayar ketika berdepan dengan Maharaja Najasyi, Raja Habsyah yang beragama Kristian dalam peristiwa hijrah pertama. Walaupun sahabat Nabi datang untuk meminta perlindungan dan bantuan Maharaja Najasyi, tetapi apabila berdepan dengan persoalan akidah, bila ditanya oleh Maharaja Najasyi: “Apakah kamu tidak mempercayai al-Masih (Jesus) itu anak Allah, Saidina Ja’afar tegas membaca Surah Maryam, dan menyatakan bahawa: “Isa al Masih adalah Nabi utusan Allah SWT, bukan anak-Nya!

Tugas dan tanggungjawab kita umat Islam apabila mendengar bahawa ada segelintir manusia sudah menyalahguna nama Allah SWT dalam bentuk syirik dan kufur bukan dengan mendorong, menyokong atau meredai mereka terus mensyirik dan mengkufurkan Allah SWT, tetapi perbetulkan kembali akidah mereka dengan dakwah, seperti yang dibuat Rasulullah SAW dan kalangan sahabat Baginda. Itulah risalah semua Rasul dan Nabi, iaitu menyeru manusia kepada menyembah Allah SWT Yang Satu!

Ada kalangan mereka mendakwa nama Allah SWT bukan milik eksklusif umat Islam, tetapi milik semua manusia kerana Allah SWT itu robbul ‘alamin – Tuhan seluruh alam. Maka semua orang berhak menggunakan nama Allah SWT.

Saya menegaskan bahawa tiada siapa boleh menuntut hak dan pemilikan nama Allah SWT kerana nama itu ada pemiliknya, iaitu Allah SWT sendiri. Seperti yang disebut dalam Surah Al-Ikhlas yang bermaksud: “Katakan bahawa Allah SWT itu satu, kepada-Nyalah bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun”.

Maknanya Allah sudah pun menjelaskan apa maksud nama itu dan itu hak-Nya sebagai pemilik nama itu. Siapa kita untuk menyatakan tidak, apatah lagi mengubah makna nama itu kepada selain daripada Allah SWT Yang Satu!

Pengakuan oleh kafir bahawa Allah SWT Maha Pencipta, Maha Peruntuh, Maha Penumbuh, Yang Menghidupkan, Yang Membinasakan, Yang mematikan dan lain-lain disebut sebagai pengakuan Allah dalam bentuk rububiyah, iaitu Allah dalam bentuk sifat. Tetapi dalam bentuk uluhiyyah, dalam bentuk iktikad, kafir ini masih menyembah berhala, patung dan lain-lain. Itulah maksud ayat berkenaan, bukan bermaksud mereka boleh menggunakan nama Allah sebagai Tuhan mereka.

Arab Kristian pun guna Allah

Golongan penyokong Kristian ini mendakwa orang Arab Kristian pun menggunakan nama Allah SWT sebagai nama Tuhan. Saya menegaskan bahawa dalam bahasa Arab, memang mereka hanya tahu perkataan Tuhan itu adalah Allah, tiada ganti lain bagi perkataan God melainkan Allah kerana memang sejak Nabi Adam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad, masyarakat Arab hanya tahu nama Allah sebagai Tuhan.

Malah kaum Yahudi dan Kristian memang asal agama mereka pun mempertuhankan Allah yang Satu. Itu yang mereka faham. Malah ada di kalangan Arab Kristian yang koptik (ortodoks) sehingga kini tidak mengakui ‘Isa anak Allah, bagi mereka Isa adalah Nabi. Cuma mereka berbeza dengan Islam kerana menolak kenabian Rasulullah SAW.

Tidak semestinya orang Arab Kristian menggunakannya, Kristian di Malaysia juga boleh menggunakannya. Dari segi prinsip ‘uruf al balad, pemahaman perkataan itu adalah berbeza mengikut masyarakat yang menggunakannya. Begitulah nama Allah SWT, bagi masyarakat Arab ia dari segi istilah bahasa membawa makna Tuhan, tetapi bagi kita di Malaysia ia membawa makna Tuhan yang khusus, Tuhan yang Satu yang kita sembah.

Agenda halus

Apakah pernah kita bertanya satu soalan yang sangat asas, tanyalah kepada Kristian di sini yang beriya-iya mahu mengguna nama Allah sebagai nama Tuhan mereka, apakah sebenarnya Tuhan kamu. Bukankah kepercayaan kamu adalah kepada Jesus, Tuhan yang menjelmakan dirinya dalam bentuk anaknya dengan tiupan roh suci. Mengapa nama Tuhan kamu Jesus dalam bahasa Inggeris dan lain-lain, tetapi untuk bahasa Melayu, tulisan versi Melayu, di hadapan orang Melayu, nama Tuhan kamu tiba-tiba bertukar menjadi Allah! Tidakkah ini suatu yang pelik?

Sedangkan Reverend Albert Mohler, seorang paderi kanan Kristian di Amerika menolak cadangan Paderi Tiny Muskin dari Belanda yang mencadangkan supaya nama Allah diguna sebagai ganti nama Tuhan. Cadangan Tiny Muskin menerima bantahan besar-besaran oleh masyarakat Euro-Amerika. Tetapi mengapa di Malaysia, penganut Kristian berkeras mahu menggunakan nama Allah sebagai ganti nama Tuhan? Sudah tentu ada udang di balik batu, ada agenda halus yang sedang disusun. Mereka berjaya melakukannya di Indonesia, mereka sedang cuba melakukannya di Malaysia.

Apakah nanti suatu hari mereka akan menuntut, atas nama hak asasi kemanusiaan, supaya Surah Al Ikhlas tidak lagi dibaca kerana mengguris perasaan kaum Kristian yang mempercayai tuhan ada anak, sedangkan surah itu menegaskan Tuhan itu Satu!

Fitnah yang melanda

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Bersegeralah kamu pada melakukan amalan salih kerana akan satu masa nanti kamu akan didatangi suatu fitnah keimanan, fitnah yang datang seperti kepingan malam, kamu tidak akan nampak kedatangannya”.

Apakah fitnah itu ya Rasulullah, tanya sahabat. “Kamu Islam waktu pagi, kamu kafir waktu petang, kamu Islam waktu petang, kamu kafir waktu pagi!”

Inilah fitnah yang sedang melanda umat Islam hari ini. Di dalam masjid, kerana dia berjanggut dan berserban, kerana selalu bertakbir kuat, maka dia menjadi imam. Lalu dibacanya surah Al Ikhlas yang bermaksud: “Katakanlah Allah itu Satu, kepada-Nya bergantung segala sesuatu, Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan, Dia tidak setaraf dengan sesiapa pun”.

Namun orang yang sama, sebaik saja keluar dari masjid, berdiri di pentas politik, dia petah berpidato: “Saudara-saudara, adalah hak rakan Kristian kita untuk menggunakan nama Allah, sebagai Tuhan Bapak, Tuhan yang punya Anak, dan Tuhan yang bersekutu dengan Roh Suci. Kita sepatutnya menyokong dan mendukung tuntutan rakan Kristian kita ini, kita wajib memperjuangkan hak perlembagaan mereka! Takbir..takbir..takbir!!”

Di dalam masjid Allah itu Satu, di atas pentas politik Allah itu punya anak punya sekutu. Mengapa ada di kalangan kita sanggup menjadi ular lidah bercabang dua?

Kalangan sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, bagaimana mungkin boleh jadi fitnah keimanan sebegitu dahsyat kepada umat Islam?”. Jawab Rasulullah, ‘hubbud dunnya, wakarohyatul maut!”. Mereka terlalu sayangkan dunia, mereka takut mati!

Inilah yang terjadi kepada umat Islam hari ini. Mereka terlalu sayangkan jawatan, cintakan kedudukan, gilakan habuan, mereka mengejar ayat-kerusi, bukan Ayatul Kursi (Al Baqarah: 255), tetapi kerusi empuk Yang Berhormat, kerusi empuk Ahli Parlimen, kerusi empuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kerusi empuk kekuasaan, kemakmuran, kekayaan dan kedudukan. Mereka takut sangat kedudukan, jawatan dan habuan itu mati, mereka takut kalah di peti undi. Mereka menjadi penyembah demokrasi, mereka nyahkan keagungan Ilahi.

Semoga Allah SWT memberikan kita petunjuk dan hidayah-Nya, dan memelihara keimanan kita, dan memberikan kita kekuatan dan istiqamah untuk berjuang mempertahankan risalah tauhid yang suci ini. Insya-Allah. – Berita Minggu

Pelontar kepala babi diseru segera bertaubat  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Hazayani Zakaria

 KUALA LUMPUR, 29 Jan: Ketua Penerangan PAS Pusat,Idris Ahmad menyeru individu atau kumpulan yang terlibat dalam insiden melempar kepala babi ke dalam perkarangan dua masjid di sekitar Jalan Klang lama Rabu lalu agar segera bertaubat dan menginsafi perbuatan terkutuk itu.

Idris berkata, perbuatan mencemarkan rumah ibadat itu jelas bertujuan provokatif bagi mewujudkan suasana tegang di antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini. "Saya minta kalaulah orang yang buat perkara ini orang Islam, dia harus segera bertaubat kepada Allah S.W.T kerana adalah satu dosa mencemarkan rumah ibadat apatah lagi rumah Allah ini.

"Kalau yang buat ini orang bukan Islam, saya harap dia tidak lagi mengulangi perbuatan ini kerana ia sangat sensitif kepada semua pengganut apa-apa agama di negara kita,"katanya ketika ditemui sewaktu melawat tempat kepala babi itu dilontarkan di Masjid Al-Imam Al-Tarmizi, Taman Sentosa semalam. Kejadian sama turut berlaku di Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun di Petaling Jaya kira-kira tiga kilometer dari Taman Sentosa.

Idris juga berharap agar penduduk di kawasan sekitar bertenang dan tidak terpengaruh dengan mana-mana provokasi sementara menunggu siasatan polis berhubung perkara itu. "Saya harapkan supaya semua penduduk di kawasan ini bertenang dan tidak melayan sebarang bentuk provokasi yang sengaja ditimbulkan untuk mewujudkan ketidakstabilan di Selangor ini.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan PAS dan pimpinan masjid yang tidak emosi dalam menangani perkara ini.Semoga apa yang berlaku ini menjadi pengajaran yang bermakna kepada kita pada masa akan datang,"Katanya. Sementara itu, beliau turut kesal dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang berkata polis tidak perlu mendapatkan keterangan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berhubung dakwaan beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan ahli pergerakan Pemuda Umno dalam kes serangan gereja di Desa Melawati awal bulan ini.

"Saya kesal dengan sikap Menteri dan polis yang tidak mahu ambil peduli tentang dakwaan Azmin itu.Sepatutnya kalau Azmin sanggup berdepan dengan polis untuk bagi keterangan, polis ambillah keterangan beliau. "Soal betul atau tidak dakwaan itu,biar pihak pengadilan yang tentukan.Tugas polis hanya menyiasat.kalau mereka bersikap tidak ambil peduli, rakyat makin prejudis terhadap pihak polis," katanya.

Selasa lalu, Azmin mendakwa beliau mempunyai maklumat tentang penglibatan Pemuda Umno Bahagian Gombak dan Ampang dalam kes membakar Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, pada 8 Jan lepas. Namun Hishammudin menuduh Azmin bercakap atas kepentingan politik semata-mata.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut melawat Masjid Al-Imam Al-Tarmizi kira-kira jam 6.15 petang semalam.

Umno gelabah bila ahlinya dikaitkan serangan gereja  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Angkasanuri

Naib Presiden Keadilan, Azmin Ali secara terbuka mendedahkan bahawa beliau mempunyai maklumat tentang serangan terhadap gereja yang dilakukan berkaitan isu kalimah Allah turut didalangi oleh ahli Umno.

Jika sebelum ini, pihak polis begitu mengharapkan kerjasama orang ramai untuk mendapat maklumat agar mereka yang terlibat diburu sehingga ke lubang cacing. Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan sendiri mendedahkan bahawa pihaknya akan meneliti semua maklumat termasuk yang disiarkan di dalam blog.

Tetapi apa yang menghairankan, apabila Azmin mendedahkan dia mempunyai maklumat pihak yang terlibat dengan serangan gereja itu pihak polis hanya mendiamkan diri. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan bahawa pihak polis tidak memerlukan maklumat yang didakwa dimiliki oleh Azmin. Malah pemimpin Umno senada seirama menyifatkan kenyataan Azmin adalah kenyataan politik.

Belum lihat hujung pangkal dah kata kenyataan politik. Kalau ya pun, siasat le dulu baru keluar kenyataan sama ada ia berasas atau sebaliknya. Kata nak siasat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik. Kenapa Hishamudin tidak mengarahkan polis untuk siasat atau dakwa Azmin jika tuduhan Azmin adalah palsu dan berunsur fitnah?

Kengganan dan sikap berdolah dalih Hishamudin dan pemimpin Umno dalam hal ini akan menguatkan spekulasi bahawa Umno memang terlibat dalam serangan gereja!

Zaid: Politikus yang keliru  

Posted by Kunta-Kinte

Zaid Ibrahim, Ahli MPT PKR dan juga anggota Biro Politik PKR telah mengkritik dan menghentam juga kepimpinan PKR kerana enggan akur kepada kehendak beliau supaya saya disepak keluar daripada PKR, dan sementara menunggu prosiding Jawatankuasa Disiplin bersidang, beliau menuntut saya digantung keahlian.

Saya sebenarnya tidak berminat untuk menjawab kenyataan Zaid Ibrahim ini, kerana pada saya beliau hanyalah seorang opportunist - seorang politikus picisan yang sudah tidak laku. Tetapi kerana menghormati hak membela diri dan hak asasi kemanusiaan; maka saya memilih untuk menjawab beliau. Dan saya yakin saya tidak melakukan apa-apa kesalahan apabila menjawab beliau; kerana kalau mempertahankan dan membela maruah dan integriti saya pun salah, saya tidak tahu apa lagi yang tinggal dalam perjuangan ini!

Beliau mendakwa suara minoriti mengatasi majoriti dalam PKR. Malah beliau menghina pimpinan PKR dengan mendakwa saya diberi "layanan istimewa", malahan "untouchables", yang kononnya saya ini macam "jaguh UMNo", bukannya seorang pejuang Islam!!

Pada saya Zaid Ibrahim ini politikus yang sangat emosional dan keliru dengan kedudukan beliau. Pertama, adakah Zaid tidak faham "natural justice" - hak membela diri yang menjadi antara asas perjuangan PKR. Apakah beliau mahu saya dihukum sebelum diberi peluang membela diri. Dan beliau nak bercakap tentang reform?!

Ternyata Zaid Ibrahim tidak mengerti konsep pertanggungjawaban bersama, atau 'collective responsibility'. Beliau adalah anggota kepimpinan parti dan ahli Biro Politik; iaitu Biro Politik yang bersidang Selasa 26 Februari lepas yang telah berbincang panjang isu saya memfailkan lapuran polis terhadap Khalid Samad. Saya difahamkan kesemua ahli biro yang hadir telah diberikan peluang menyatakan pandangan masing-masing. Setelah semua itu dibuat, saya difahamkan Biro Politik membuat keputusan iaitu:

1. Merujuk saya ke Jawatankuasa Disiplin yang akan dibentuk dalam tempoh sebulan bagi menyiasat isu lapuran polis saya terhadap Khalid Samad; dan
2. Sementara itu, saya dilarang membuat sebarang kenyataan berkaitan isu lapuran polis tersebut sehingga prosiding selesai.

(Sebenarnya hingga ke saat ini saya masih belum menerima apa-apa butiran keputusan Biro Politik samada secara rasmi ataupun tidak. Apa yang saya tahu hanyalah daripada suratkhabar. Jadi saya sendiri pun tidak pasti apa sebenarnya keputusan Biro Politik tersebut).

Bagaimanapun, sebagai seorang ahli Biro Politik tersebut, yang kebetulan juga seorang peguam, Zaid sepatutnya faham setelah keputusan dibuat Biro, beliau perlu akur dan patuh kepada keputusan tersebut. Jikalau beliau berasa ketidaksetujuan yang teramat sangat terhadap keputusan itu, beliau sepatutnya meletak jawatan sebagai anggota Biro Politik dan barulah membuat apa-apa komen atau pendirian.

Malahan saya berpendapat tindakan Zaid menghentam keputusan Biro Politik yang beliau sendiri ahlinya itu adalah satu "contempt " dan penghinaan terhadap Biro politik tersebut. Sepatutnya beliau dikenakan tindakan disiplin kerana menghina keputusan biro tersebut.

Saya ingin menegaskan walaupun saya mempunyai hubungan baik dengan DSAI, tetapi saya tidak pernah mendapat "protection" atau perlindungan ataupun kedudukan istimewa daripada DSAI. Ini jelas apabila DSAI sendiri membuat kenyataan yang keras terhadap saya dengan melabel saya pelampau, melangkaui batasan parti dan beliau sangat terkilan dengan tindakan saya membuat lapuran polis terhadap Khalid Samad. Apakah itu bukan bukti yang cukup saya tidak mendapat layanan istimewa, apatah lagi dilindungi. Lihat kenyataan YB Azmin dan YB Saifuddin Nasution, kedua-duanya sahabat saya, mereka Naib Presiden dan Setiausaha Agong PKR, tetapi mereka bersikap professional dan mengenepikan hubungan akrab dengan saya dan menegur saya dengan teguran keras dalam isu ini. Dan saya bersikap professional dan berlapang dada menerima kritikan dan teguran mereka. Tidak pulak saya melompat dan terkinja-kinja marahkan mereka!!

Apa yang diputuskan oleh Biro Politik adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang dan peraturan undang-undang tubuh PKR, dan berdasarkan hukum keadilan semulajadi. Dan peluang membela diri yang diberikan oleh Biro Politik tersebut saya anggap satu peluang terbaik untuk memberi penjelasan terhadap pendirian saya dalam membuat lapuran polis terhadap Khalid Samad. Dan saya cukup yakin setelah mendengar penjelasan dan bukti yang akan saya kemukakan, Biro Politik dan kepimpinan PKR akan memahami mengapa saya bersikap sedemikian. Zaid turut mengambil peluang mendakwa saya bukanlah seorang pejuang Islam. Saya tidak pernah mendakwa saya seorang pejuang Islam, walaupun saya cuba sedaya-upaya memperjuangkan isu-isu Islam.

Saya juga didakwa oleh Zaid bertindak saperti 'jaguh UMNo'. Sekurang-kurangnya ada juga pengiktirafan saya ni jaguh. Sedangkan pada saya Zaid Ibrahim hanyalah 'sampah UMNo' yang sudah tidak dterima. Cubaan beliau untuk mendapat kedudukan dalam UMNo bahagian pun ditolak. Pada saya, beliau hanyalah 'barang buangan UMNo' sahaja. Saya dikatakan tidak sesuai dengan perjuangan reformasi yang hendak dibawa oleh PKR. Saya mahu bertanya kepada Zaid, apa perjuangan beliau?

Setahu saya, beliau adalah antara orang yang paling kuat menyokong UMNo semasa krisis kehakiman 1988 sehingga menyebabkan YAA Tun Salleh Abas dipecat. Beliaulah yang memecah-belahkan Majlis Peguam Malaysia dengan menubuhkan Persatuan Peguam Muslim menyebabkan Majlis Peguam menjadi lemah berdepan dengan krisis tersebut. Dan yang pelik inilah orangnya yang dikompangkan oleh Majlis Peguam sebagai taiko mereka sekarang!!

Beliau jugalah orang yang memfailkan saman terhadap Kerajaan PAS untuk menghalang dan membatalkan perlaksanaan Enakmen Hudud, Qisas & Ta'zir. Saya ingat lagi betapa riuhnya "pejuang-pejuang" PAS memaki hamun beliau. Tapi hari ini boleh pulak duduk sebangku pulak! Saya nak tanya apa yang beliau buat semasa DSAI dipecat, di'aibkan, dimalukan dan dipenjarakan. Beliau kekal dalam UMNo, malahan beliau masih berebut untuk mendapatkan kedudukan dan jawatan didalam UMNo; hingga bertanding untuk berebut jawatan Ketua Bahagian UMNo.

Beliau adalah anggota kabinet yang paracutkan oleh Pak Lah, dan setelah beliau menyedari beliau tidak diterima, malahan dikritik oleh rakan kabinet, beliau meletakkan jawatan. Itu pun setelah diasak bertalu-talu oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat untuk beliau mendedahkan berapa jumlah wang yang beliau bayar kepada para Hakim yang dipecat. Rekod Hansard Parlimen membuktikan beliau enggan mendedahkan jumlah tersebut, walaupun wang yang diguna untuk membayar para Hakim tersebut adalah wang rakyat; dan sekarang dia bercakap tentang ketelusan dan transparensi!

Sebaliknya saya dari 02 September 1998 sudah bersama DSAI. Dihari rakan dan taulan DSAI cabut lintang pukang meninggalkan DSAI setelah dipecat, saya antara orang yang kedepan mempertahankan DSAI, sehingga ditahan ISA, sehingga lokap polis menjadi rumah kedua saya. Sayalah antara peguam, yang setia bersama menemani DSAI dalam penjara bersembang dan bercerita untuk menghilangkan kesunyian dibalik tirai besi. Sehingga firma guaman saya hampir bungkus, sedangkan firma Zaid sibuk mendapat menafaat menjadi peguam untuk syarikat-syarikat milik UMNo saperti UEM dan lain-lain. Dan saya membela dan mempertahankan DSAI bersama 8 peguam hebat lain tanpa mendapat imbuhan walau satu sen pun, kerana kami melakukannya atas prinsip perjuangan!

Apa pun, nasihat saya kepada Zaid, 'walk your talk and don't double talk'! Kalau beliau tidak mengerti apa itu natural justice, kalau tidak faham apa itu semangat pertanggungjawaban bersama, kalau beliau tidak menginsafi erti perjuangan, eloklah duduk didalam bilik aircon pejabat guaman beliau yang tersergam indah. Beliau bercakap tentang ke'adilan; saya nak tanya apa jenis ke'adilan bilamana saya diarah tutup mulut, tetapi mereka boleh terus mengganyang dan menghentam saya. Sebagaimana yang dibuat oleh Mahathir terhadap DSAI; setelah ditutup mulut DSAI, digari, dipukul, dimalukan, di'aibkan, dipenjarakan..Mahathir terus mengganyang dan melanyak DSAI tanpa belas ihsan. Dan dimana Zaid Ibrahim masa itu?!!

Adios amigos..grasias.

Zulkifli Bin Noordin
Khamis
13 Safar 1431
28 Januari 2010

*Gambar-gambar yang disiarkan hanyalah hiasan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan sesiapa samada yang hidup apatah lagi yang dah padam, samada yang dok atas pokok atau pun menyorok celah pokok-mesejnya hanya satu ialah: baik aku tidoq lagi baguih!!

Kontroversi kalimah "Allah": Negeri tanpa UMNO tidak rasai bahang  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Wong Shu Qi

Masyarakat Semenanjung Malaysia yang biasa membezakan sesama dirinya dengan warna kulit, bahasa, pakaian dan sebagainya, mungkin sukar menyesuaikan dirinya ketika mendarat di Timur Malaysia. Di Timur Malaysia, seseorang yang makan di restoran Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu bersama kawan Melayunya, kemungkinan seorang bumiputera yang menganut Kristian dan fasih dalam pelbagai bahasa kaum asli.  Keadaan sedemikian kadang-kala membuat pelayan canggung seketika apabila bertutur bahasa Cina kepada seseorang yang masuk ke restoran Cina, namun "salah faham" ini tidak mencungkil desakan untuk menggariskan perbezaan dalam masyarakat itu.

"Kami bertemu, berbual-bual, dan makan bersama di restoran Melayu, apa masalahnya?  Kami tidak saling mempengaruhi agar pihak lain menukar agama... (Penggunaan kalimah 'Allah' oleh bukan Islam) menjadi isu, sememangnya sesuatu yang memeranjatkan."

Demikianlah kata-kata daripada Philip Jau (gambar kiri), kaum asli Sarawak beragama Kristian yang mempunyai ramai kawan dari pelbagai kaum.  Walaupun serangan terhadap rumah ibadah turut berlaku di Miri setelah kontroversi penggunaan kalimah "Allah" bermula, tetapi pemerhatian Philip Jau mendapati pencerobohan tersebut tidak memberi kesan.

"Setakat ini, tak nampak apa kesannya."  Demikianlah ulasan Philip Jau kepada MerdekaReview, sambil menyalahkan politikus yang menghangatkan isu ini, wahal masyarakat Sarawak tidak mengendahkannya.

Baru Bian: UMNO belum masuk

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian (gambar kanan)  menuding jari kepada UMNO, semasa menjelaskan perbezaan reaksi yang ketara antara Semenanjung dengan Timur Malaysia, "UMNO belum masuk ke Sarawak, jadi langsung tak ada pemimpin politik yang berniat untuk memainkan isu ini."

"Mereka (UMNO) cuba mempergunakan isu ini untuk meraih sokongan Melayu di Semenanjung, lantas membentuk imej diri sebagai pembela Melayu dan Islam," tambahnya. Ketika ditanya mengapa Sabah juga "aman seperti biasa", sedangkan UMNO telah bertapak di negeri itu, Baru Bian menjawab, "Ia terpulang kepada bagaimana ahli politik mengendalikan isu ini.  Seandainya pemimpin politik memperbesarkannya, maka orang di bawahnya juga akan terikut-ikut."

Pada hakikatnya, reaksi dingin masyarakat Timur Malaysia ada sebabnya.  Penganut Kristian di situ telah biasa menggunakan kalimah "Allah" ketika sembahyang sejak awal lagi. "Setahu saya, saya telah menggunakan kalimah 'Allah' sejak kecil lagi.  Kalau kami guna bahasa Kayan sekalipun, kami tetap menyebut 'Tuhan Allah'."  Philip Jau yang tinggal di Long Laput, Sungai Baram memberitahu MerdekaReview bahawa sama ada penganut Katolik mahupun Kristian, sama ada dalam bahasa Melayu mahupun Kayan, golongan warga emas tetap menggunakan kalimah "Allah".

Jikalau Zulkifli Noordin (gambar kiri) yang tegas membantah penggunaan kalimah "Allah" oleh bukan Islam juga mengakui bahawa dalam konteks dan latar belakang negara Timur Tengah, agama samawi seperti Kristian dan Katolik boleh merujuk Tuhan mereka dengan kalimah "Allah", apakah sebenarnya yang terjadi kepada "konteks Malaysia", yang berakhir dengan konflik antara agama?

Bahasa sebagai aset manusia sejagat

Sekali imbas, agama Islam telah disebarkan oleh pedagang Arab ke Asia Tenggara pada abad ke-14 dan ke-15, sementara agama Kristian dan Katolik pula dibawa masuk oleh kuasa Barat pada abad ke-15. Pada ketika itu, konsep "orang Melayu" (yang didefiniskan Perlembagaan Persekutuan) belum wujud.  Maka, daripada mengatakan "penganut Kristian menterjemahkan 'God' kepada 'Allah'", lebih baik dikatakan mereka telah meminjam perkataan "Allah" daripada bahasa Arab.

Chew Weng Chi, selaku Senior Pastor Sidang Injil Borneo Kuala Lumpur (SIBKL) menjelaskan, "Bahasa Inggeris ialah God, tetapi untuk pengguna bahasa kebangsaan, mereka perlu menggunakan 'Allah'.  Kamu harus faham, Tuhan ialah (terjemahan untuk) Lord, Tuhan bukan (terjemahan untuk) God."

Senior Pastor di Damansara Utama Methodist Church (DUMC), Daniel K.C.Ho (gambar kanan) juga berpandangan bahawa "Allah" bukan nama khas yang dikhususkan kepada Melayu-Islam, walaupun dilihat dari perspektif sejarah, linguistik atau falsafah sekalipun.  Menurut Daniel K.C.Ho, penganut Kristian di Arab telah merujuk God dengan "Allah".

"Bahasa adalah aset manusia sejagat.  Setiap bahasa dimiliki setiap manusia.  Maka bahasa Inggeris tidak dimiliki secara khusus oleh orang Inggeris.  Bahasa Inggeris dimiliki secara am oleh semua orang.  Semua orang boleh mengguna bahasa Inggeris," jelasnya. Ketika mengulas cadangan agar Kristian menggunakan bahasa Hebrew, iaitu Elohim, Eloah sebagai pengganti terjemahan "Allah" dalam injil bahasa Melayu, Daniel K.C.Ho berkata,"Itu bahasa Hebrew.  'Allah' adalah God dalam bahasa Melayu.  Seandainya mereka sanggup menggunakan Elohim dan Eloah dalam bahasa Melayu, jadi kami akan guna."

Malah, beliau mengambil contoh ketika agama Kristian disebar ke China, juga melalui proses pertimbangan 'apa perkataan yang harus digunakan untuk menterjemahkan God'. Akhirnya, mereka menemui perkataan shen (神) dalam bahasa Cina.  "Tetapi anda juga dapat menemui perkataan ini dalam tokong.  Penganut buddhist, kristian semua menggunakan perkataan ini.  Tak ada masalah pun?!"

Ketika ditemuramah MerdekaReview, Chew Weng Chi (gambar kiri) berkata, "Sememangnya, agama bukannya mengenai satu perkataan sahaja.  Islam semestinya mempunyai satu konsep, dan bukan hanya terikat kepada satu perkataan 'Allah'.  Seandainya dikelirukan hanya satu perkataan, lebih baik anda memperteguhkan kepercayaan penganutmu."

Bagaimana penyelesaian ini dilaksanakan?

Apabila api tercetus lantaran kontroversi ini, Menteri Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz telah mencadangkan agar penggunaan kalimah "Allah" dibenarkan kepada bukan Islam di Timur Malaysia, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan sebagainya.  Cadangan ini bukan sahaja mengundang sindiran terhadap "1Malaysia" yang diuar-uarkan PM Najib Razak, tetapi dipertikai perlaksanaannya.

Misalnya, bagaimana pula dengan penduduk Timur Malaysia yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung Malaysia?  Apakah mereka perlu menukar kebiasaan mereka untuk menggunakan kalimah "Allah", yang diamalkan sejak kecil lagi? Malah, apakah polis perlu membuat sekatan di sempadan negeri, untuk menghalang injil yang tercetak perkataan "Allah" daripada masuk ke negeri-negeri tertentu?  Chew Weng Chi mempertikaikan, "bagaimana kerajaan melaksanakan dasar ini?  Menyerbu ke gereja untuk menghalang penganutnya daripada menggunakannya?"

"Bukan soal menang-kalah"

Daniel K.C.Ho menyanggah tuduhan bahawa kontroversi ini dicungkil penganut kristian, "Hujah sedemikian tidak benar.  Kerajaan yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian terlebih dahulu.  Penganut kristian tiada pilihan!  Dalam masyarakat demokrasi di Malaysia, seandainya anda merasakan hak diri anda dalam keadaan terdesak, apa yang akan anda lakukan?  Anda akan pergi ke mahkamah, meminta agar hakim membuat keputusan!"

Walau bagaimanapun, kedua-dua Chew dan Daniel bersetuju agar kontroversi ini diselesaikan di luar mahkamah, dan sebaik-baiknya melalui dialog tertutup.  Daniel berkata, "Ini bukan soal menang-kalah.  Kami inginkan situasi menang-menang.  Paling baik ia diselesaikan di luar mahkamah, iaitu melalui dialog."


http://merdekareview.com

Memburu dari mana datangnya kepala babi  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Salhan K Ahmad

Kepala babi hutan yang ditemui di dua masjid di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semalam mungkin diperolehi daripada satu sumber ternakan haiwan tersebut, menurut seorang imam masjid terlibat.


Menurut ketua imam Masjid Al-Imam Al-Tirmizi di Taman Sri Sentosa, Abu Bakar Yaakob babi berkenaan mungkin diperolehi daripada ladang ternakan yang terdapat di Banting atau Semenyih.

"Babi hutan ini mungkin yang dipelihara di ladang itu. Mungkin saja, kita tak tahu betul atau tidak," katanya yang mendapat maklumat berkenaan melalui laporan akhbar.

Ketika ditemui Malaysiakini di masjid tersebut hari ini, Abu Bakar bagaimanapun tidak dapat memastikan tarikh dan keluaran akhbar yang dimaksudkannya itu. "Babi hutan ini dibela untuk pasaran makanan eksotik," katanya lagi dan menambah terdapat beberapa restoran yang menyediakan hidangan daripada haiwan seperti itu di kawasan berkenaan. Abu Bakar juga berkata pihak yang bertanggungjawab meletakkan kepala haiwan berkenaan di perkarangan masjid mungkin merancangnya dengan rapi kerana kegiatan mereka sukar dijejaki.

"Kita tengok kerja mereka ini sangat rapi, macam sudah dirancang. Di masjid (Masjid Jumhuriyah, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya) pun seperti itu juga. "Setakat ini kita masih belum boleh agak siapa punya kerja sebenarnya," katanya lagi yang tidak mahu membuat sebarang tuduhan liar agar tidak mengganggu siasatan polis.

Selitkan nasihat pada majlis tazkirah

Ditanya mengenai pendekatan yang diambil bagi meredakan kebimbangan ahli kariah masjid berkenaan, beliau berkata akan menyelitkan nasihat dalam majlis tazkirah yang dianjurkan. "Kita juga akan nasihatkan para penceramah agama di masjid ini supaya tidak menimbulkan prasangka atau tuduhan-tuduhan kepada mana-mana pihak atas kejadian yang berlaku," katanya lagi.


Sementara itu, seorang lagi imam masjid tersebut, Zulkifli Mohamad berkata masjid itu kini sedang mengambil langkah untuk meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang. "Kita bertemu dengan pengarah JAWI semalam dan beliau memberi reaksi positif untuk tempatkan pengawal keselamatan di masjid ini.

"Pengawal ini untuk berkawal di waktu malam sahaja. Buat masa ini, polis juga beritahu akan tingkatkan rondaan di kawasan ini," katanya. Kepala babi hutan mungkin sisa buruan Sementara itu, seorang pemburu pula berkata kepala babi berkenaan juga mungkin diperolehi daripada sisa buruan.


Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Loo menjelaskan, walaupun pemburuan dan penjualan babi hutan memerlukan lesen, bahagian-bahagian badan binatang itu tidak sukar untuk diperolehi.

Tambahnya, yang berpengalaman memburu babi hutan selama 20 tahun, pemburu lazimnya membuang kepala, perut dan belulang selepas binatang itu ditembak.

Katanya, bahagian-bahagian yang tidak dikehendaki itu, biasanya dibiarkan di hutan untuk dijadikan makanan binatang liar lain, ataupun diletakkan di dalam beg plastik dan dibuang di kawasan berdekatan. Tambahnya, lokasi pemburuan haiwan itu termasuk di Hulu Langat, Hulu Klang dan juga Puchong. Babi peliharaan mudah dikenal.

Sementara itu, Pengerusi Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Beh Kin Hee berkata, babi hutan digunakan pada kes pencemaran masjid semalam mungkin kerana jika babi peliharaan digunakan ia mudah dikenali.  Beh menjelaskan babi dari satu-satu ladang itu boleh dikenal pasti melalui tanda yang dilekatkan di telinga binatang itu ketika ia berumur satu minggu.

'UMNO bakar gereja', Azmin tak dipanggil  

Posted by Kunta-Kinte

Kerajaan akan menangkap dan mendakwa mereka yang terbabit dalam membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle, meskipun mereka ahli Umno, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hessein, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan naib presiden PKR Azmin Ali semalam yang dia mempunyai bukti bahawa ahli Umno terbabit dalam serangan 8 Jan itu. Hishamuddin berkata dia tidak menyalahkan Azmin kerana "beliau orang politik. Kerja beliau kerja politik. Saya tidak hendak salahkan beliau.

"Beliau hendak cakap, cakaplah, tetapi rakyat akan menilainya katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Hishamuddin juga menafikan Umno mengeluarkan arahan supaya serangan dilancarkan. Beliau juga berkata polis tidak akan mengambil keterangan daripada Azmin kerana beliau bercakap atas kepentingan politik semata-mata. Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau sedang berusaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian anggota Umno yang didakwa terbabit.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, Umno juga boleh membuat tuduhan kepada PKR sekiranya mahu, namun kerajaan mahu menumpukan untuk mengumpul bukti dan fakta terlebih dahulu dan tidak sekali-kali membuat tuduhan sembarangan.

Polis tidak pilih kasih.

Beliau berkata polis tidak akan pilih kasih dalam sebarang tindakannya setelah bukti yang diperolehi mencukupi tidak kira ia melibatkan orang Umno atau sesiapa sahaja yang didapati terlibat. "Sekarang polis sudah bertindak termasuk menahan seorang anak pegawai polis. Ini menunjukkan pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam tindakan yang penting setelah kita mempunyai bukti untuk dibawa ke muka pengadilan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan pula berkata dakwaan tentang penglibatan Pemuda Umno dalam insiden itu hanyalah satu strategi baru pembangkang yang kini mensabitkan semua kejadian buruk kononnya datang dari Umno. Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, Umno juga boleh menuduh PKR atau pembangkang melakukan perbuatan tersebut, tetapi Umno tidaklah sejahil itu untuk membuat tuduhan tanpa sebarang bukti.

"Saya nak ingatkan pembangkang jangan buat tuduhan melulu. Jika ada bukti sila dedahkan. Yang penting Umno tak suruh. Jika misalnya ada ahli Umno yang terlibat mencuri, itu bukan Umno yang suruh. Itu yang penting," katanya.

Anwar, Zulkifli dan PAS — Zulkiflee Bakar  

Posted by Kunta-Kinte

JAN 28 — “Saya telah menegaskan bahawa dalam isu penyalahgunaan kalimah Allah ini saya tidak akan berkompromi walau setitik. Saya bersedia dengan sebarang kemungkinan. Moga Allah memberikan keampunan-Nya kepada saya dan memberi petunjuk-Nya. Amin.”

Demikianlah doa Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin dalam blognya apabila mengulas mengenai gesaan supaya beliau dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad kerana terus membuat kenyataan menghina dan memperlekehkan Islam.

Ternyata sekali walaupun berhadapan dengan tekanan daripada parti sendiri, Zulkifli ternyata istiqamah dalam mempertahankan pendiriannya dalam memperjuangkan Islam. Zulkifli sanggup menanggung apa juga risiko termasuk dipecat daripada PKR “kerana mempertahankan kalimah suci Allah daripada disiat-siat dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik.”

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu ini tidak sanggup menggadaikan agama semata-mata kerana “mempertuhankan politik”. Pendirian itu ternyata berbeza dengan sikap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup melakukan apa sahaja demi politik. Ini jelas apabila dalam isu penggunaan kalimah Allah, Anwar mempertahankan bahawa ia berhak digunakan oleh bukan Islam.

Bukan sekali malah berkali-kali Anwar menegaskan pendirian itu dan terbaru dalam ruangan pendapat di The Wall Street Journal. Di bawah tajuk “Muslims have no monopoly over ‘Allah’.” Anwar berkata, hanya segelintir umat Islam di seluruh dunia menyokong dakwaan bahawa mereka berhak memonopoli penggunaan kalimah Allah.

Sehubungan itu, kata Anwar cendekiawan Islam di luar negara melihat isu penggunaan kalimah Allah di Malaysia sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat menduga ia mencetuskan bantahan dan kemarahan. Apa yang lebih malang demi mencari keuntungan politik, Anwar bukan sahaja sanggup mempertaruhkan kalimah Allah malah mendakwa perbuatan khianat terhadap rumah ibadat yang berlaku baru-baru ini mencerminkan “kesilapan cara Malaysia melayan rakyatnya yang bukan Islam”.

Itulah sikap Anwar, beliau tidak mempedulikan sensitiviti orang Melayu dan umat Islam apabila melontarkan semua hujah itu, apa yang paling penting bagi Anwar ialah meraih keuntungan politik. Anwar sebenarnya bukanlah hero atau pejuang kepada kaum bukan Melayu atau bukan Islam, tetapi beliau adalah seorang politikus yang bijak mengambil kesempatan demi mendapat kuasa.

Dalam keadaan PKR berhadapan dengan pelbagai isu dalaman malahan nasib beliau sendiri masih belum dapat diketahui berikutan tuduhan liwat yang dihadapi, Anwar cuba melakukan “manuver-manuver” politik, biarpun ia akan menyinggung perasaan umat Islam. Apa sahaja yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan, ini termasuklah dakwaan bahawa bukan Islam tidak dilayan dengan adil oleh kerajaan. Anwar memahami situasi sekarang adalah saat terbaik bagi meraih sokongan bukan Melayu.

Semua itu Anwar lakukan kerana sokongan orang Melayu kepada PKR semakin merosot, bukan sedikit tetapi terlalu banyak terutamanya di Perak dan Selangor. Justeru kalau PKR mahu mengekalkan kerusi yang sedia ada maka sokongan bukan Melayu harus diraih sebanyak mungkin. Tetapi Anwar terlupa dalam isu serangan ke atas gereja-gereja baru-baru ini, ia sudah ditangani dengan baik oleh kerajaan. Mereka yang bertanggungjawab sudah pun ditangkap manakala masyarakat bukan Islam amat menghargai apa yang dilakukan oleh kerajaan.

Tindakan kerajaan dalam menangani isu ini bukanlah bertujuan politik tetapi berasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk memastikan semua rakyat tanpa mengira apa juga kaum dan agama dilayan secara adil.
Oleh itu perbuatan Anwar yang menggambarkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa berlaku kesilapan dalam Malaysia melayan bukan Islam adalah satu pembohongan dan fitnah.

Tetapi itulah Anwar, beliau tidak peduli apa pun kesan terhadap kenyataannya. Apa yang paling penting bagi beliau ialah memastikan parti pembangkang mencapai kejayaan dalam pilihan raya umum akan datang, biarpun melalui cara pembohongan dan memutar belitkan fakta.

Malangnya, pemimpin-pemimpin pembangkang lain termasuklah PAS seolah-olah tidak berani menegur keceluparan Anwar. Mereka sanggup menggesa PKR mengambil tindakan ke atas Zulkifli tetapi tidak memberi sebarang ulasan mengenai “manuver” politik Anwar terutamanya dalam isu kalimah Allah.
Penulis diberitahu oleh beberapa pemimpin muda PAS bahawa ramai ahli parti itu semakin tidak selesa dengan Anwar, malahan sudah ada suara-suara yang bimbang jika PAS akan menjadi mangsa ditolak oleh orang Melayu dan umat Islam kerana bersekongkol dengan Anwar.

“Ia kerana dalam soal kalimah Allah apa yang dilakukan oleh Anwar sebenarnya sudah melampaui kesepakatan yang dicapai dengan PAS. “Selain itu, semakin ramai ahli PAS yang mengagumi ketegasan Zulkifli yang dilihat lebih bersikap pejuang Islam berbanding di kalangan sesetengah pemimpin PAS sendiri,” kata seorang pemimpin muda PAS ketika dihubungi.

Persoalannya, sampai bilakah PAS akan membiarkan Anwar terus berhujah politik hatta dalam soal berkaitan dengan kepentingan umat Islam sekalipun? PAS bukannya tidak memahami politik matlamat menghalalkan cara yang dilakukan Anwar tetapi tiada ketegasan yang ditunjukkan oleh PAS bagi menghalangnya.

Tambahan pula di dalam PAS sendiri masih terdapat ramai pengikut setia Anwar termasuklah di kalangan pemimpinnya. Mungkin inilah agaknya yang menyukarkan PAS menyatakan pendiriannya secara tegas.
Tetapi PAS perlu memahami bahana yang menanti jika mereka 'terlalu bertolak ansur' dengan Anwar kerana tidak mustahil satu hari kelak PAS akan didakwa bersikap seperti mana kata Zulkifli dalam blognya, “Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun Allah terpaksa dipijak”. Relakah PAS dituduh demikian?

Kesimpulannya, rentak politik yang dimainkan oleh Anwar sekarang terutamanya dalam isu kalimah Allah mungkin sedikit sebanyak boleh menguntungkan PKR dan DAP tetapi tidak kepada PAS kerana dalam situasi apa sekali pun orang Melayu tidak akan merelakan Islam dipolitikkan.

Mungkin orang Melayu boleh berbeza fahaman politik dan dalam soal siapa seharusnya berkuasa tetapi apabila menyentuh soal mempertahankan maruah Islam sudah pasti mereka akan senada. Tidak dapat dinafikan akan ada seorang pemimpin dua pemimpin Melayu yang “sekelab” dengan Anwar, tetapi majoriti pemimpin Melayu termasuklah sesetengahnya dalam PAS sendiri bersedia beralih arah demi memastikan Islam tidak terus diperlekehkan semata-mata demi untuk meraih kuasa.

Apa pun masih belum terlambat untuk PAS menegur telatah Anwar kecualilah jika mereka berpendapat tanpa Anwar maka berakhirlah perjuangan parti itu dalam pilihan raya. Mahukah PAS dianggap hanya beretorik dalam perjuangan Islam? Hanya pemimpin parti itu hanya mampu menjawabnya. — Utusan Malaysia

Kalimah Allah: Satu wajah dua sisi  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Dr Dzulkefly Ahmad

Saya telah diminta untuk menjelaskan dan memberi rasional kenapa tampak seperti ada dua sudut pandang dan pendirian yang berlawanan di kalangan tokoh-tokoh ulama utama PAS dalam isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan-Islam. Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan saya pula berasa amat tidak selesa dengan tugasan ini.

Mursyidul Am PAS, Tok Guru Dato’ Nik Abd Aziz (TGNA) dan Presidennya, DS Hj Abd Hadi Awang (DSHA) mewakili pandangan yang menyatakan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh pengikut agama-agama lain itu ‘yajuz’ atau ‘harus’, khususnya agama-agama warisan Nabi Ibrahim (Kristian dan Yahudi), sementara Timbalan Mursyidul Am Majlis Syura Ulama PAS, Dato’ Dr Haron Din (DDHA) (dan juga beberapa buah NGO Islam dan sebilangan ahli akademik) mengambil pendirian berlawanan, iaitu tidak membenarkan penggunaan kalimah itu oleh orang lain. Saya memang mahu menulis artikel ini lebih awal, tetapi telah mengambil sikap bersabar sedikit untuk membaca tulisan-tulisan yang lain terlebih dahulu, terutamanya yang ditulis oleh para ulama. Justeru ketika tidak mendapati analisis ini, saya menulis juga artikel ini selepas diminta berbuat demikian.

Supaya tidak terlalu panjang dan bagi manfaat orang awam, juga penganut agama-agama lain, saya akan cuba memudahkan wacana teologi yang agak rumit ini. Namun begitu, saya tidak pula dapat mengelak daripada menggunakan beberapa terminologi atau perkataan Arab. Barangkali ia adalah pendedahan yang juga ada kebaikannya untuk sesetengah pembaca.

Secara mudah, kedua-dua pendirian yang berlawanan ini terhasil kerana kedua-duanya melihat subjek ini daripada pendekatan metodotogi yang berbeza, yang bersandarkan dua perspektif yang juga berbeza. Oleh itu, tidaklah memeranjatkan sekirannya ia menghasilkan rumusan yang berlawanan juga.

Lebih menarik, walaupun pendirian dan rumusannya tampak berlawanan, namun kedua-duanya masih berada dalam lingkungan pandangan pemikiran Islam, dan secara umumnya ‘betul’ dalam perspektifnya masing-masing. Jika ia kedengaran mengelirukan atau pelik, mari kita gunakan analogi “satu wajah, dua sisi”. Saya akan berusaha bersikap adil dan objektif dalam hal ini.

Kedua-dua sisi wajah ini pastilah nampak berbeza, tetapi ia masih mewakili wajah yang sama seumpama satu syiling. Kita tidak perlu bertegang leher bagi menentukan sisi mana yang betul atau lebih penting. Ia bukanlah usaha untuk menentukan pendirian yang betul atau salah, sebaliknya yang lebih tepat ialah untuk menentukan pandangan atau perspektif mana yang lebih wajar diambil setelah mengambil kira konteks ruang dan realiti semasa yang tertentu.

Secara mudah, sebagai ad-Deen atau Cara Hidup, Islam berdiri di atas dua tonggak, iaitu:

1. Aqidah – perkara-perkara berkaitan teologi mengenai Kepercayaan dan Keimanan kepada Allah (dan rukun-rukun Iman yang lain seperti Kenabian, Wahyu dan sebagainya)

2. Ibadah – perkara-perkara berkaitan kepatuhan/pengabdian manusia terhadap Allah SWT.

Kedua-dua tonggak ini merupakan agenda utama Dakwah atau Risalah semua Nabi dan Rasul, termasuk Nabi Muhammad SAW. Dakwah merupakan raison de’etre atau intipati tugas semua Nabi (Wazifatul Rasul). Dakwah juga adalah sebab dijadikan seluruh semesta alam ini bagi Allah diperkenalkan kepada makhluq dengan perantaraan para anbiya’ dan mursalin melalui Syariat dan Manhaj (Metodologi) tertentu.

Jika ini telah difahami, maka kita akan beralih kepada usaha memahami kedua-dua sudut pandang di atas.

DDHD berhujah dari perspektif aqidah, sementara TGNA dan DSHA pula mengambil perspektif Dakwah (dan bidang Siyasah Syar’iah – politik dari prisme Syariah – yang lebih luas), tanpa sama-sekali menafikan kepentingan perspektif aqidah.

Dari perspektif disiplin Aqidah Islam, Allah merupakan nama khas Al-Ilah atau Tuhan (lafzul-Jalalah) yang merangkumi ketiga-tiga aspek Keesaan Ketuhanan, iaitu sebagai Pencipta dan Pemelihara (Tauhid Rububiyah), Pembuat Undang-undang (Tauhid Uluhiyah), serta Tauhid Asma’ wa Sifat yang mewakili 99 NamaNya yang terkandung dalam al-Quran (seperti al-Rahman, al-Rahim, al-Malik, al-Quddus dan lain-lain) serta 20 SifatNya (al-Wujud, al-Baqa’, al-Wahdaniyah dll).

Surah al-Ikhlas (ayat 1-4) menegaskan Ketunggalan Keesaaan Allah ini.

FirmanNya:Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;“Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.”

Berdasarkan huraian di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Keesaan Allah merupakan tonggak terpenting Islam, dan bahawa tidak ada sesiapa atau apa-apa pun yang setaraf, bersekutu atau serupa denganNya. Sejak manusia sedari zaman Nabi Adam AS lagi, telah melakukan pelbagai dosa dengan menyekutukan Allah dengan pelbagai bentuk tuhan, dewa atau anak dan sebagainya, maka Allah telah mengutuskan para Nabi bagi menyucikan kepercayaan kepada Keesaan Tuhan.

Disiplin Usuludin merupakan cabang pemikiran Islam yang berperanan memelihara dan mempertahankan ketulenan dan kesucian keimanan terhadap Keesaan Allah dan rukun-rukun keimanan (Al-‘Aqaid) yang lain. Di kalangan orang Islam, pengetahuan yang mendalam tentang Usuludin dianggap penting dan utama kerana ia berperanan memelihara penganut Islam daripada amalan dan kepercayaan yang salah dan sesat.

Sehingga ke tahap ini, jelas bahawa hujah bagi menyokong penekanan terhadap pengetahuan Umat Islam dalam aspek Usuludin atas perbahasan isu ini, terutamanya pelbagai aspek Aqidahnya, termasuk Nama-nama dan Sifat-sifat Allah adalah meyakinkan dan kukuh.

Menurut metodologi ini, sayugia dijelaskan bahawa Nama Allah adalah termasuk dan dianggap sebagai sebahagian daripada ciri atau milik khusus agama Islam. Hal ini adalah kerana hanya orang Islam sahaja yang menerima dan mengimani Allah sebagai Al-Ilah atau Tuhan seperti yang dihuraikan di atas. Justeru itu maka hanya orang Islam sahaja yang berhak dan layak untuk menggunakan Nama Allah itu kerana penggunaan nama Allah oleh yang golongan agama lain, tidak menjamin maksud yang sama. Apatah lagi ia juga merupakan Lafzul-Jalalah, ia itu nama khas dan istimewa Allah, selain daripada 99 NamaNya yang disebut sebelum ini.

Permasalahan dikesani ketika melampaui peringkat ini, dimana logika pendekatan ini, penggunaanya bukan sahaja tidak dibolehkan kepada orang lain, tetapi ia kini telah turut dikanun atau diundang-undangkan sebagai satu kesalahan oleh beberapa undang-undang negeri-negeri yang sedia ada.

Oleh sebab perkataan itu ditanggappi suci atau kudus dalam Islam, maka ia tentulah tidak boleh digunakan oleh orang lain. Perkataan-perkataan lain yang termasuk ke dalam kategori ini adalah Kaabah, Mufti, Ulama dan sebagainya. Kini ia telah diharamkan dan dijadikan eksklusif bagi umat Islam di sesetengah negeri di Malaysia. Hal ini kini diperdebatkan dengan begitu sengit sekali. Bantahan terhadap pendirian sebegini tampaknya telah menjadi lebih pelik dalam zaman pencerahan maklumat dan pengetahuan sekarang.

Bersekali dengan kebimbangan terhadap salah guna dan ancaman kegiatan mubaligh Kristian di kalangan umat Islam, maka langkah mengharamkan penggunaan kalimah Allah itu ditanggapi golongan ummat Islam ini sesuatu yang tampak kena dan wajar. Penelitian terhadap fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan pada Mei 2008 menyerlahkan jalur fikiran dan garis hujah ini. Kes pengharaman edisi bahasa Melayu akhbar mingguan The Catholic Herald oleh Kementerian Dalam Negeri baru-baru kini menjadi kontroversi besar berpotensi menggegarkan negara ini.

Meneliti pendirian yang diambil oleh AJK PAS, yang juga merupakan pendirian TGNA dan DSHA, dalam isu penggunaan Nama Allah membawa kita sekaligus menelusuri konteks Dakwah Nabi Muhammad yang lebih besar – yang mengambil masa selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah. Al-Quran telah dengan begitu jelas sekali merakamkan bahawa masyarakat yang wujud semasa kemunculan Nabi terakhir, Muhammad SAW, telah turut sama menggunakan perkataan Allah. Allah SWT berfirman dalam al-Quran

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (wahai Muhammad): “Alhamdulillah” . (Luqman:25)

Dari segi teologi, walaupun para penyembah berhala di Mekah menerima Allah sebagai Rabb (Tuhan), namun mereka juga mengadakan berhala-berhala dan sebagainya di sisi Allah dan menganggapnya sebagai tuhan juga. Ketauhidan Allah yang sempurna tidak mereka imani. Bahkan Allah menerangkan apakah sebabnya amalan syirik itu mereka teruskan dalam Firman Allah SWT dalam surah az-Zumar, ayat 3: “Tidaklah kami menyembah mereka kecuali untuk kami dapat bertaqarrub (mendekatkan diri) dengan Allah”.

Pun begitu, kedudukan golongan Ahli Kitab. Lebih jelas lagi, bagi agama-agama warisan Nabi Ibrahim yang lain pula, perkara penggunaan perkataan Allah ini dilihat jelas dalam surah al-Haj, ayat 40.

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamaNya”.

Daripada pelbagai ayat ini, para Mufaseer berhujah bahawa nama Allah bukanlah hak eksklusif orang Islam. Imam Al-Qurtubi (1214-1273), pakar tafsir al-Quran, merumuskan bahawa dalam ayat 40 di atas, Allah bukan sahaja disebut dan dibesarkan di masjid-masjid, tetapi juga ditempat-tempat keagamaan agama-agama warisan Nabi Ibrahim yang lain, terutamanya agama Yahudi dan Kristian.

Selain itu, kita juga merujuk kepada pandangan dua tokoh ulama kontemporari di dunia Islam, iaitu Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi dan Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili, yang melawat negara kita baru-baru ini, berhubung isu ini. Kedua-dua mereka bukan sahaja mengaggap penggunaan nama Allah oleh penganut agama samawi (langit) dibenarkan, malah juga adalah digalakkan, sebagai kaedah bagi menyatukan Persaudaraan Kemanusiaan berdasarkan Tuhan yang sama dan Esa (Tunggal). Kesatuan Ummat Islam pula dipaksikan di atas Kesatuan Tauhid. Islam dan agama secara umum wajar menyatukan, dan tidak sebaliknya memecah-belahkan manusia.

Nah, maka jelas bahawa dari sudut nas, kebenaran penggunaan nama Allah ini adalah termaktub dalam al-Quran. Nas, dalam metodologi ‘beristidlal’ seharusnya tidak boleh diatas bahkan mengatasi sumber yang disandarkan kepada sumber-sumber hukum yang lain, ijma’ atau qiyas tambah lagi kalau ianya hanyalah sekadar qawaid fiqhiyyah seperti ‘as-Sadda Zari’ah atau kaedah fiqh bagi menutp pintu-pinti kemudharatan.

Lebih penting, harus juga disedari bahawa keseluruhan al-Quran itu sendiri adalah jelmaan dan penghayatan Dakwah dan Risalah Nabi Muhammad SAW dalam tugas besar baginda menterjemahkan maksud sebenar “Islam sebagai Rahmat kepada Sekelian Alam” – Rahmatan Lil-‘Alamin.

Ternyata pendirian DDHD dan lain-lain akan hanya menatijahkan keterasingan (Disengagment) dan iklim eksklusif, sementara pandangan sebaliknya menekankan peri perlunya Islam dan umat Islam mengambil sikap ‘Inklusif’ dan ‘Keterterliban’ (Engagement) dalam agenda besar Dakwah dan Penampilan Advokasi Politik Islam. Keterlibatan, bukannya Pengasingan, seharusnya menjadi pertimbangan asas para pembuat dasar di peringkat legislatif dan para pemikir di institusi-institusi Islam lain di negeri dan peringkat Pusat.

Walaupun pendekatan Usuludin menekankan kepentingan ketulenan iman di kalangan umat Islam, namun malangnya, secara tidak sengaja, ia turut terserlah dan mengambil bentuk ‘mentaliti-terkepung’ (siege mentality) apabila berhubungan dengan golongan agama dan budaya lain. Mahu tidak mahu ia akan menjadikan Islam dan nama Allah dan lain-lain perkataan ‘suci’ lain sebagai hak eksklusif orang Islam yang mesti di’lindungi’ dan dipertahankan daripada ‘pencerobohan’ penganut agama-agama yang lain. Kita tidak mungkin boleh berhubung dengan orang lain jika kita bersikap eksklusif. Sebaliknya, kita akan menyudutkan, malah mengasingkan orang lain dengan sikap tersebut.

Selain ia bakal menyuburkan rasa benci, ia juga akan menjadi baja kepada sikap saling tidak mempercayai di antara agama-agama, iaitu sesuatu yang berlawanan sama sekali dengan tujuan Dakwah dan Risalah. Secara umum, ini tidak boleh dipertahankan, malah kelihatan serba songsang dengan mindset ‘Dakwah’ dan “Islam yang Universal”.

Pendirian TGNA dan DSHA yang mewakili pandangan arus perdana PAS telah membuat penegasan bahawa ‘berdasarkan prinsip-prinsip al-Quran dan Islam, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama-agama warisan Nabi Ibrahim seperti Kristian dan Yahudi adalah dibolehkan”.

Dalam pada itu, kedua-dua tokoh ini juga telah menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah juga tidak boleh disalah guna atau diselewengkan kerana ia akan memberi kesan ke atas keharmonian hubungan agama dan kaum di negara ini. Pada saat yang sama, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri, turut menekankan keperluan diadakan garis panduan yang jelas bagi penggunaannya. Kata beliau, kalimah Allah hanya boleh digunakan bagi merujuk kepada Tuhan Yang Tunggal, bukannya dikaitkan dengan berhala, dewa-dewa dan sebagainya.

DSHA turut menolak percubaan untuk mempolitikkan isu ini kerana ia boleh mengancam keamanan di kalangan pelbagai golongan agama. PAS mengutuk keras perbuatan mengugut dan ganas sebagai cara untuk menakut-nakutkan rakyat supaya akur dan tunduk kepada ‘terorisme berkumpulan’ baru yang berlaku kini. Kedua-dua TGNA dan DSHA turut mencadangkan jalan keluar yang berasaskan dialog dan perbincangan atas dasar sikap saling menghormati dan persefahaman di antara agama dan budaya dalam proses pembinaan-semula bangsa kita.

Saya berani menyatakan bahawa PAS kini telah muncul sebagai sebuah parti Islam yang memahami tentang perlunya wujud politik Plural dan Majmuk (Politik Li Ta’arafu) dalam landskap demokratik baru politik nasional negara ini. ‘Pendekatan Wasatiyah’ PAS ini bakal disenangi oleh semua pihak dan mengisi tuntutan ‘ruang tengah’ politk negara, sementara Islam dan Ummat Islam akan terus dipertahankan.

Juga perlu ditegaskan bahawa pendirian ini tidak diambil semata-mata untuk memenangi hati atau lebih banyak undi di kalangan orang bukan Islam. Sebaliknya PAS mendedahkan dirinya kepada penolakan oleh para penyokong tegarnya di kawasan-kawasan majoroti Melayu. Bolehkan seteru politik PAS, iaitu Umno, mengambil sikap yang sama? Bolehkah Umno keluar dari garis hanya mempolitikkan isu nama ‘Allah’ dan tidak benar-benar mahu menunaikan perintah Allah, termasuk menghapuskan rasuah, kezaliman serta kebejatan kerakusan kekuasaan dan kebendaan.

Sebagai sebuah parti Islam, kami perlu melakukan apa yang “Benar” di mata al-Quran terlebih dahulu, dan setelah itu berusaha keras untuk menyesuaikannya dengan demografi kita yang sesungguhnya majmuk dan plural. Benar kami perlu mengambil jalan sederhana untuk mendapat sokongan ‘ruang tengah’. Benar, kami juga perlu memenangi hati-budi orang Islam-Melayu. Namun lebih benar lagi ialah perjuangan kami untuk mencari keredhaan Allah terlebih dahulu. Kami juga mahu mewujudkan “Keadilan Untuk Semua”.

Jika dengan berbuat demikian kami kemudiannya memperoleh kepercayaan, mandat dan sokongan pengundi, maka kami ucapkan Segala Pujian hanyalah untuk Allah, Tuhan Sekelian Alam.

Alhamdulillah! Allahu Akbar!

Zulkifli Nordin Dan Khalid Samad  

Posted by Kunta-Kinte



Saya amat berdukacita apabila membaca krisis antara YB Zulkifli Nordin dan YB Khalid Samad. Kedua-duanya sahabat yang dikasihi. Saya serba salah untuk mengulas. Namun isu ini telah dimainkan oleh media. Saya amat berharap ia menemui penyelesaian yang harmoni. Kedua-duanya pejuang rakyat, dan kedua-duanya mempunyai sumbangan yang tersendiri.

Walaupun bukan lama saya bersahabat dengan Zulkifli Nordin, namun saya dapat memahami sedikit sebanyak hati nuraninya. Perasaan islami dan sayangkan masa depan umat Islam dalam jiwanya amat tebal. Walaupun kadang-kala saya berbeza pendapat dengannya, namun saya tetap menghormati jiwanya yang sensitif dan sentiasa berkobar-kobar dalam membela agama.

Adapun YB Khalid Samad baru sahaja saya bersahabat dengan beliau. Pada saya, beliau cuba agar Islam dilihat sebagai agama yang praktikal dan adil untuk semua pihak. Dalam menangani dakwah di Malaysia, apa yang menjadi masalah adalah bukan-muslim gagal melihat keagungan Islam, keadilannya dan kebenaran risalah tersebut sebagai bukti ia benar-benar dari Tuhan Yang Sebenar. Mesej inilah barangkali yang cuba disampaikan.

Kedua-dua tokoh ini kesayangan kita semua. Kita tidak mahu ada antara mereka yang terbuang atau dipinggirkan. Jika hendak terpinggir, biarlah ahli-ahli politik sampah yang kontang idea dan sumbangan yang wujud dalam masyarakat kita. Bukan mereka berdua ini.

Isu nama Allah semua kita sepakat bahawa kemungkinan untuk ia diselewengkan atau menimbulkan ketidakharmonian itu wujud. Cuma kita berbeza dalam menanganinya. Ada yang meminta agar dihalang secara mutlak. Ada yang menyatakan diizinkan, cumanya garis panduan mestilah ditetapkan untuk mengelak kegusaran. Jika garis panduan itu dilaksanakan dengan teliti, maka ketakutan pihak pertama juga mungkin dapat dihilangkan.

Saya mengharapkan kedua sahabat ini tidak bertegang, kerana kita semua masih memerlukan khidmat mereka berdua.


Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Pemuda Umno bakar gereja??  

Posted by Kunta-Kinte

PETALING JAYA, 27 Jan: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali akan mendedahkan satu maklumat yang diperolehinya yang mendakwa sebahagian yang dituduh berhubung kes serangan gereja di Desa Melawati tempoh hari adalah dari ahli pemuda Umno.

Bercakap kepada pemberita, beliau berkata sedang mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan nama-nama tersebut kepada umum. Selain nama, beliau juga sedang dalam usaha mendapatkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian Umno kesemua mereka yang didakwa terlibat.

"Berdasarkan senarai nama tertuduh yang telah didakwa di mahkamah, sebahagian daripada mereka pemuda Umno bahagian Gombak dan bahagian Ampang. "Maklumat awal yang saya dapat, sekurang kurangnya empat atau lima orang ahli Umno, malah cawangan mana pun saya sudah perolehi," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Pada 8 Januari lalu, Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur, terbakar diserang dengan bom api. Pada masa sama, beliau mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjawab segera dakwaan penglibatan ahli Umno dalam kes terbabit. "Saya lihat trend hari ini, survival Umno itu hanya boleh diperolehi melalui permainan isu kaum dan agama.

"Saya harap Umno hentikan sentimen seperti ini kerana ia cukup bahaya kepada rakyat Malaysia," katanya lagi. Beliau berkata demikian sewaktu melawat tempat kepala babi yang dilontar di perkarangan masjid Taman Datuk Harun di Petaling Jaya awal pagi ini. Berhubung hal itu PKR jelasnya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut.

Islam tegasnya tidak menganjurkan perbuatan khianat seperti itu apatah lagi yang boleh mencetuskan keadaan tidak tenteram dikalangan rakyat Malaysia yang majmuk. "Pihak polis harus kerah seluruh kekuatan yang ada untuk menjaga ketenteraman awam dan bukan menjaga keselamatan dan ketenteraman pemimpin Umno dan Barisan Nasional sahaja," katanya.




Harakahdaily

The Sultan and I  

Posted by Kunta-Kinte

Salam dari Timur Tengah,

Pada asalnya saya tidak bercadang untuk membicarakan persoalan kunjungan saya selaku ahli Parlimen Shah Alam menghadap Baginda Sultan Selangor. Ianya sebenarnya merupakan satu kunjungan hormat yang sememangnya patut dilakukan oleh sesiapa sahaja yang dipilih rakyat untuk menjadi Ahli Parlimen Shah Alam.

Di atas dasar itulah maka saya menulis pada 20 November 2009 untuk diperkenankan mengadap. Oleh kerana kesibukan Baginda, maka pada tarikh 22 Januari 2010 barulah permintaan saya itu diperkenankan. Oleh kerana tidak mahu menghebohkannya atau mempolitikkannya, maka apabila ditanya wartawan mengenainya pada hari berkenaan maka saya hanya menjawab, “Tiada komen, sila dapatkan penjelasan dari pihak Istana”.

Malangnya respon yang bersahaja itu telah disalah ertikan. Akhirnya, beberapa akhbar telah menyiarkan berita saya mengadap Sultan di muka surat depannya, “Khalid dititah mengadap Sultan” seolah-olah saya telah diperintah menghadirkan diri atas sebab DYMM Sultan murka terhadap saya. Maka bersoraklah kumpulan-kumpulan UMNO tegar dengan berkata “Khalid dimurkai sultan”. Begitu jugalah NGO-NGO UMNO yang muncul di merata rata tempat. Tumbuh bagaikan cendawan selepas turunnya hujan.

Bagaikan langau di timbunan sampah yang ingin menangguk di air yang keruh. Keadaan sebenar adalah seperti surat yang dipamirkan beberapa hari sebelum ini di blog saya. Maka teramatlah dukacita golongan-golongan ini namun mereka terus dengan usaha durjana mereka dan dibuatlah laporan polis oleh berpuluh-puluh NGO jelmaan ini.

Mereka baru muncul entah dari perigi hantu yang mana tiada siapa ketahuan. Tidak kedengaran akan kewujudan mereka sebelum dari ini dan mungkin juga tidak akan kedengaran lagi selepas ini. Mati ditanam di kubur yang tiada bertanda. Selepas dipelahap segala peruntukan, maka hilanglah mereka bagaikan bayang-bayang diwaktu senja.

Saya difahamkan Kementerian Belia mempunyai peruntukan untuk NGO bagi golongan belia dan pemuda UMNO di seluruh negara diminta mendaftarkan NGO-NGO mereka supaya dapat disalurkan peruntukan ini kepada mereka. Habis lagi wang rakyat dipelahap golongan ini. UMNO tidak berubah dan tidak akan berubah. Duit, duit, duit, itu sahaja matlamat mereka dan kekuasaan yang dikejar adalah bermatlamatkan ini. Hanya kekalahan mutlak akan melenyapkan mereka.

Sudah, cukuplah dengan kisah mereka itu. Saya rasa ramai yang ingin mengetahui apa yang telah berlangsung semasa saya mengadap DYMM Sultan Selangor. Saya tidak boleh menceritakan semua dan sememangnya saya tidak bertujuan untuk mempolitikkan institusi ke Sultanan Selangor.

Oleh itu yang akan saya ceritakan di sini hanya sekadar menjelaskan apa yang dibincang tanpa meletakkan satu pendirian politik kepada DYMM Sultan. Ini adalah kerana sebagai Sultan, Baginda adalah ‘above politics’ dan tidak berpihak kepada mana-mana parti. Sebelum itu saya ingin merakamkan betapa besarnya hati saya atas kesudian DYMM Sultan mengizinkan saya menghadap dan meluangkan masa Baginda sehingga lebih dari sejam lamanya untuk berbicara.

Perkara-perkara yang dibincangkan adalah seperti berikut:-

1. Wawasan terhadap pembangunan Bandar Raya Shah Alam

Inilah matan utama disebalik pertemuan dan perbincangan yang diadakan. Baginda menjelaskan wawasan yang ingin dilihat melalui pembangunan yang terancang, bersama banyaknya kawasan-kawasan lapang yang disertakan tempat-tempat beriadah untuk warga Shah Alam. Kehidupan yang selesa tanpa sebarang bentuk kesempitan pembangunan yang sering digelar ‘concrete jungle’.

2. Persoalan Enakmen-Enakmen Negeri dan isu kalimah ‘Allah’

Baginda menegaskan kepada saya bahawa persoalan ini tidak patut dipolitikkan dan dipolemikkan. Sekiranya ada cadangan yang ingin dikemukakan, maka ianya perlu diserahkan mengikut prosedur dan peraturan iaitu dengan menulis secara rasmi dengan menjelaskan mengapa dan apa yang perlu dikaji semula. Pada masa yang sama cadangan berhubung perubahan-perubahan yang ingin dilakukan boleh dikemukakan, termasuk, menurut Baginda, “syarat-syarat yang ingin dikenakan sekiranya penggunaan kalimah ‘Allah’ ingin dibenarkan kepada yang bukan Islam. Jangan sekadar menyatakan secara umum ‘dikenakan syarat’, tetapi dijelaskan apa syarat-syarat berkenaan”.

Saya sempat menjelaskan kepada Baginda Sultan bahawa sememangnya kami (PAS) tiada niat untuk mempolitikkan dan mempolemikkan persoalan ini dan begitu jugalah rakan-rakan dari Pakatan Rakyat. Kami (PAS, terutamanya sayalah kot?) hanya memberikan respon kepada suasana di mana ada ‘pihak’ yang ingin mengapi-apikan suasana. Mereka memberikan gambaran bahawa orang Kristian menghina Islam dan mencemar kesucian kalimah Allah dan oleh itu ummat Islam harus bersatu untuk menyanggah tindakan golongan Kristian. Dalam suasana begitu kita terpaksa tampil ke hadapan untuk menafikan dakwaan golongan ‘provokator’ ini demi menjamin ummat Islam tidak tertipu dengan rethorik mereka. Melalui respon sebegini, maka ummat Islam akan dapat mendengar perspektif yang jelas berbeza dan dengan itu keselamatan dan ketenteraman negara dan negeri Selangor lebih terjamin. Lebih-lebih lagi apabila tafsiran dan kesimpulan golongan provokator ini adalah jauh dari kebenaran yang sebenarnya.

Baginda Sultan menegur saya kerana mengikut laporan akhbar saya mengatakan enakmen berkenaan ‘ketinggalan zaman’ dan ‘buruk’. Saya sempat menjelaskan bahawa itu adalah perkataan yang digunakan wartawan, bukan perkataan saya. Apa yang saya nyatakan adalah bahawa undang-undang pentadbiran seperti enakmen-enekmen berkenaan telah digubal berdasarkan keadaan dan suasana tertentu pada ketika ianya digubal. Sekiranya suasana dan keadaan berubah, maka undang-undang tersebut perlu berubah bersamanya. Oleh itu kesesuaian enakmen-enekmen ini perlu dikaji dari masa ke semasa.

Dalam persoalan ini, kesimpulannya adalah bahawa kami (PAS) telah dikehendakki mengemukakan cadangan yang lengkap dan sempurna secara rasmi. Perkara ini akan saya serahkan kepada PAS dan rakan angota PR untuk memikirkannya. Pada masa yang sama molek juga sekiranya dicadangkan pindaan terhadap enakmen yang berhubung dengan persoalan tauliah. Supaya pemberian tauliah lebih mudah dan lebih telus dan penarikan balik tidak juga dilakukan secara sewenang-wenangnya.

3. Persoalan Menghormati Institusi Raja

Saya juga mengambil kesempatan untuk menyatakan bahawa PAS menghormati institusi Raja-Raja Melayu dan tiada apa-apa niat untuk mencabar atau menjatuhkannya. Saya menyebut bahawa selama ini, oleh kerana kami sebagai pembangkang, maka tiada peluang untuk mengadap dan menyatakan pendirian kami dalam persoalan ini. Pada masa yang sama, terdapat ‘pihak’ yang telah menggunakan kedudukan mereka untuk menyebarkan fitnah bahawa PAS dan juga PR tidak setia kepada Sultan. Mereka ingin menimbulkan kesangsian terhadap kami, sedangkan kami menghormati institusi raja sebagai sebuah institusi yang ‘above politics’ yang boleh menyatu-padukan rakyat jelata. Strategi ‘pihak tertentu’ untuk melagakan PR dengan raja adalah satu strategi yang akan terus usahakan walaupun ianya satu pembohongan yang nyata.

Baginda Sultan menyatakan kedukacitaan Baginda terhadap amalan ‘biadap’ terhadap institusi raja, khususnya oleh bloggers yang Baginda sebut sebagai ‘fan-club’ saya. Saya menjelaskan bahawa saya sendiri tidak pernah biadap terhadap institusi raja dan begitu juga pimpinan PAS mahupun PR, termasuk pimpinan di Perak. Kata-kata dan tulisan yang keterlaluan oleh mereka-mereka yang menyatakan sokongan terhadap kami adalah sukar untuk kami kawal. Ianya mungkin berlaku oleh kerana tanggapan dan mungkin juga gambaran yang ditonjolkan oleh ‘pihak tertentu’ bahawa raja-raja Melayu adalah bersama mereka. Kaedah dan pendekatan yang sebegini adalah amat berbahaya dan merupakan usaha mengheret institusi raja ke kancah politik sehingga dilihat berpihak kepada satu parti sahaja.

Baginda Sultan menyebut bahawa Baginda tidak berpihak dan apa yang diinginkan oleh Baginda adalah untuk melihat yang terbaik bagi Negeri Selangor Darul Ehsan. Saya menjawab bahawa saya, bagi pihak PAS dan PR, akan berusaha untuk mempertahankan institusi raja-raja sebagai institusi yang bebas dari fahaman politik kepartian. Saya akan juga mengingatkan rakyat, termasuk para bloggers mana-mana ‘fan-club’, untuk menghargai institusi raja-raja dan peranannya dalam sistem Demokrasi Berpelembagaan sebagai salah satu institusi ‘pengimbangan’ yang berkesan. Usaha untuk mengelabui mata rakyat bahawa kononnya raja-raja adalah pro parti tertentu dan hanya golongan ini sahaja yang pro Raja-Raja Melayu perlu dibenteras dengan serta merta.

4. Kunjungan Hormat oleh Ahli Parlimen PAS

Saya juga berkesempatan untuk menyebut bahawa kesemua ahli-Parlimen PAS Negeri Selangor ingin melakukan kunjungan hormat terhadap Baginda Sultan sepertimana yang saya lakukan. Bginda menyebut kesediaan Baginda untuk bertemu setiap wakil rakyat Negeri Selangor dan Baginda menghormati hakikat bahawa kita telah dipilih oleh rakyat Selangor di kawasan yang kita bertanding. Baginda menyebut mereka perlu menulis kepada pejabatnya, sepertimana saya dan Baginda akan berusaha untuk menetapkan waktu yang sesuai untuk bertemu dengan mereka.

Saya merasakan kagum dengan kesediaan dan keterbukaan Baginda Sultan Selangor dalam persoalan ini. Saya amat berharap agar melalui kunjungan hormat yang sebegini Baginda Sultan dapat mengenali wakil rakyat PAS dan dengan itu menilai pendirian, sikap dan kesungguhan serta kemampuan kami menerajui Negeri Selangor.

Melalui pertemuan seperti ini, adalah diharapkan agar Baginda Sultan dapat membandingkan kami dengan wakil rakyat pembangkang negeri Selangor dan seterusnya dapat melihat bahawa harapan untuk sebuah Selangor yang maju dan makmur tidak pernah terletak bersama golongan ini. Juga bahawasanya terdapat sebahagian dari rakyat Baginda di kalangan orang Melayu Islam negeri Selangor yang tidak korup, tidak tamak dan tidak mementingkan diri, yang ikhlas melibatkan diri dalam arena politik bukan untuk mengkayakan diri dan kroni, tetapi atas dasar prinsip dan semangat perjuangan dan pengorbanan yang kental.

Apa kata pepatah Melayu? Tidak kenal maka tak chenta? Selama ini tidak berpeluang untuk mengenalkan diri, maka sekarang perlulah dimanfaatkan sejauh mungkin.

5. Meninggalkan Istana Bukit Kayangan

Melihat jam sudah 12.45 tengah hari maka pertemuan terpaksa ditamatkan. Saya amat menghargai peluang yang telah diberi untuk mengadap. Begitu juga dengan teguran-teguran serta nasihat yang telah diberikan. Saya meninggalkan majlis selepas bersalam dan mengangkat sembah dan sejurus itu amat terkejut dengan berpuluh wartawan yang menunggu di pagar yang entah sejak bila. Pada mulanya saya ingin terus jalan tetapi memikirkan bagaimana mereka telah sabar menunggu, saya berhenti seketika sekadar menafikan saya telah dititah untuk mengadap kerana Sultan murka.

Seterusnya saya ke Masjid Batu Tiga, Masjid ‘Fastabikul khairat’, kerana dimaklumkan bahawa Dato’ PJ akan berkhutbah di sana. Selepas itu saya terus ke Sri Gading, Johor, untuk menghadiri program ‘Sehari bersama YB Shah Alam’ yang bermula denga Hi-Tea, diikuti Kuliyyah Maghrib dan berakhir dengan ceramah umum.

6. Jawatankuasa Disiplin

Pada pagi yang sama saya telah dihubungi oleh Jawatan Kuasa Disiplin, meminta saya datang ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada jam 11 pagi. Saya menjawab tidak mungkin, kerana ada pertemuan menghadap Sultan. Lepas Solat Jumaat saya dihubungi sekali lagi, meminta saya ke Pejabat Agung pada jam 3 petang. Saya meminta maaf sekali lagi, kerana ada program di Sri Gading.

Akhirnya saya difahamkan pertemuan dengan JK Disiplin akan diadakan pada 29 Januari ini. Namun saya sekarang sedang berada di Saudi untuk beberapa minggu. Saya memaklumkan kepada Tuan Ibrahim akan perkara ini dan meminta agar saya diwakili oleh seorang sahabat yang akan berbicara bagi pihak saya. Tuan Ibrahim membenarkannya.

Saya berharap agar isu ini selesai dengan sebaik yang mungkin dan secepat yang mungkin. Supaya kita boleh kembali memberi tumpuan kepada persoalan menumbangkan UMNO. Kerana Malaysia akan lebih aman tanpanya.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
Jazan, Saudi Arabia

Zul ‘lega’ keputusan PKR  

Posted by Kunta-Kinte

PETALING JAYA, Jan 26 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) akur dengan keputusan pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang merujuknya kepada lembaga disiplin tetapi sebenarnya beliau menjangkakan keputusan yang lebih “drastik” hari ini.

Pada masa yang sama, beliau mahu PAS mengambil tindakan yang serupa terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mengesyorkan agar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dikaji semula atas alasan sudah ketinggalan zaman.

“Adalah tidak adil mengenakan tindakan ini ke atas saya seorang sahaja. PAS juga perlu mengambil tindakan seperti ini ke atas Khalid (Yang Dipertua PAS Shah Alam). “Pakatan Rakyat tidak ada mekanisme untuk berbuat demikian tetapi boleh meminta PAS bertindak ke atas Khalid (menerusi Majlis Pimpinan Presiden),” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider. Sambil mengesahkan belum menerima apa-apa makluman secara rasmi ataupun tidak rasmi setakat ini, Zulkifli menambah:

“Saya akur dengan Biro Politik memutuskan untuk merujuk saya kepada lembaga disiplin dan saya difahamkan, saya tidak boleh membuat apa-apa kenyataan mengenai tindakan saya membuat laporan polis ke atas Khalid,” kata beliau.

“Tindakan merujuk kepada lembaga disiplin adalah perkara biasa, sebenarnya saya telah menjangkakan satu keputusan yang lebih berat akan dikenakan hari ini jua... tetapi hanya dirujuk kepada lembaga disiplin. “Saya bukan gembira dengan keputusan ini, tetapi ini sebahagian daripada asam garam perjalanan politik,” kata beliau lagi. Petang tadi PKR memutuskan untuk merujuk Zulkifli kepada lembaga disiplin kerana mencetuskan kontroversi dengan membuat laporan polis terhadap Khalid.

Lembaga tersebut diminta bersidang dalam tempoh tidak melebihi satu bulan bagi mengkaji, menyiasat aduan dan mendengar penjelasan Zulkifli berhubung tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid berhubung isu penggunaan kalimah Allah. Zulkifli mendakwa Khalid telah menghina Sultan Selangor, umat Islam dan Dewan Undangan Negeri.

Lembaga disiplin terikat kepada keputusan yang berupa amaran, menggantung keahlian dan memecat keanggotaan. Sementara siasatan itu berjalan, Zulkifli tidak harus memberi sebarang kenyataan media bagi membolehkan proses ini diselesaikan mengikut saluran parti.

Mengulas lanjut, Zuklifli berkata beliau tidak akan menyentuh isu laporan polis ke atas Khalid sebagaimana diarahkan oleh parti tetapi akan terus menyentuh isu penggunaan kalimah “Allah”.

Firaun-firaun kecil PKR mula cincang saya  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR, Jan 26 — Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu Zulkifli Noordin, yang kemungkinan besar dihadapkan kepada jawatankuasa disiplin PKR, mendakwa beliau telah “dijatuhkan hukuman” walaupun belum ada sebarang prosiding untuk menyiasatnya berhubung aduan agar polis menyiasat wakil rakyat PAS, Khalid Samad di bawah Akta Hasutan.

Zulkifli mengatakan demikian ketika Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang mengadakan mesyuaratnya, yang antara lain membincangkan isu beliau. “Melihat kepada kenyataan akhbar yang riuh dibuat adalah jelas hukuman sudah pun dijatuhkan kepada saya walaupun belum lagi ada apa-apa prosiding dibuat terhadap saya.

“Kelihatan firaun-firaun kecil mula menyalak sana sini menuntut kepala saya dipancung!” kata beliau dalam tulisan blognya hari ini. Mesyuarat Biro Politik turut dihadiri penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar dijangka menemui wartawan dalam lingkungan 2 petang ini.

Zulkifli telah menjawab surat penjelasan Anwar berhubung tindakannya membuat laporan terhadap Khalid yang merupakan ahli Parlimen dan Yang Dipertua PAS Shah Alam. “Dosa saya: hanya kerana mempertahankan kalimah suci Allah daripada disiat-siut dan dicemar oleh golongan yang terlalu mempertuhankan politik.

“Politik menghalalkan segala cara walaupun perlu menggadai anak bini, politik itu tuhan walaupun Allah terpaksa di pijak,” katanya. Peguam itu menambah sejak perjuang untuk Islam beliau sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Dari zaman saya mula mengenal Islam sebagai suatu addeen yang indah dan benar, saya sudah bersedia untuk menerima hakikat saya akan menerima pelbagai cabaran dan halangan. “Lebih banyak dugaan dan cubaan, lebih saya bersyukur kepada Allah. Sedangkan Nabi kekasih Allah melalui ujian yang maha hebat, inikan insan kerdil saperti saya,” katanya.

Cuma peliknya, kata Zulkifli, sehingga saat beliau mengisi blognya hari ini, beliau masih belum menerima apa-apa notis untuk menghadiri apa-apa prosiding jawatankuasa disiplin atau Biro Politik, yang dikatakan akan bersidang hari ini untuk menentukan tindakan terhadapnya.

“Sedang firaun-firaun kecil ini sudah pun dalam proses mencincang lumat saya di dalam media sana sini, tapi sehingga kini saya tidak dipanggil untuk memberikan penjelasan atau hak membela diri,” katanya.

“Yang saya diberitahu, cuma ada satu taklimat khas oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk semua wakil rakyat dan pimpinan tertinggi PKR pagi ini berkaitan kes liwat yang akan bermula minggu depan. “Itupun saya telah maklumkan saya tidak dapat hadir kerana sudah ada program terdahulu yang tidak dapat saya batalkan,” katanya.

Sehubungan itu kata Zulkfili, beliau tidak akan berkompromi walau setitik dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Zulkifli: Penasihat PKR tidak neutral  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR, Jan 25 — Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mendakwa ketuanya Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan beliau memberi penjelasan berhubung laporan polis terhadap Khalid Samad, tidak bertindak secara neutral dalam isu itu. Pada masa yang sama, Zulkifli menegaskan beliau tidak akan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap rakan sejawatannya dari PAS itu.

“Saya tidak akan menarik balik laporan terhadap Khalid. Jika mahu saya menarik balik laporan polis, Khalid juga mesti menarik balik kenyataannya yang mendakwa enakmen agama Islam Selangor sudah ketinggalan zaman dan beliau juga perlu memohon maaf,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

Zulkifli menyatakan demikian dalam respons yang dihantar kepada Anwar, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), kira-kira 11.30 pagi tadi menerusi emel. Beliau mengakui menerima emel daripada Anwar semalam. Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Anwar sebagai seorang pemimpin dan beragama Islam seharusnya mengambil pendirian neutral dalam isu tersebut.

“Saya menulis kepada Anwar bahawa saya menghormati perbezaan pendapat sebagaimana dikatakan beliau dalam emelnya. Tetapi sebagai seorang pemimpin dan yang beragama Islam, beliau juga seharusnya mengambil tindakan yang neutral. “Sebaliknya beliau mengambil pendirian berpihak, beliau menyokongnya (kenyataan Khalid),” kata Zulkifli.

Dalam emel itu, kata Zulkifli, Anwar meminta beliau menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap Khalid kelmarin dan harus menerima perbezaan pandangan yang wujud dalam parti termasuk dalam Pakatan Rakyat. Malah dalam emel itu, Anwar juga memaklumkan bahawa tindakannya akan dirujuk kepada biro politik, yang dijadual bersidang esok.

Semalam, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen menegaskan, Zulkifli akan berhadapan dengan tindakan disiplin atas tindakan terbarunya ini. Selain mengatakan Zulkifli sudah melampaui batasan, Anwar berkata, beliau turut kecewa dengan tindakannya membuat laporan polis terhadap Khalid.

Anwar mengesahkan beliau telah menulis kepada Zulkifli dan mengharapkan penjelasannya sebelum esok. Mengulas lanjut jawapan yang dihantar kepada Anwar, Zulkfili menjelaskan, beliau tiada masalah dengan PKR dan PAS sebagai komponen Pakatan Rakyat. Sebaliknya, tambah beliau, hanya Khalid yang telah melampuai batasan dengan mengesyorkan agar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 dikaji semula atas alasan sudah ketinggalan zaman.

“Saya membuat laporan polis kerana Khalid secara peribadi telah membuat kenyataan sedemikian yang pada pandangan saya telah membuat kenyataan bersifat jenayah. “Saya merasakan beliau telah menghina umat Islam, sekali gus mengetepikan sokongan umat Islam dari Pakatan,” katanya.

Mengenai kemungkinan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin, Zulkifli berkata, beliau bersedia dan tidak risau untuk berhadapan dengan apa juga tindakan. “Parti mempunyai segala hak untuk mengambil tindakan dan saya juga mempunyai hak untuk memberikan pandangan,” katanya.

“Saya merasakan parti seharusnya menghargai pandangan saya... saya memberi pandangan yang memihak kepada parti agar sokongan umat Islam tidak beralih daripada Pakatan,” katanya lagi.

Tengah hari semalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pucuk kepimpinan PKR mengambil tindakan disiplin terhadap Zulkifli yang membuat aduan di bawah Akta Hasutan terhadap Khalid. Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Zulkifli tidak sewajarnya membuat aduan polis meminta rakan sejawatannya dari PAS itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Tindakan YB Zulkifli bertentangan dengan prinsip dan semangat Pakatan Rakyat,” kata beliau sambil menambah tindakannya itu adalah ala Umno. Hari ini, salah seorang pemimpin PKR Datuk zaid Ibrahim menggesa agar parti itu memecat Zulkifli atas tindakannya itu.-malaysian insider