Showing posts with label Kenyataan Media. Show all posts

Mansuhkan Seksyen 27 Akta Polis segera!  

Posted by Kunta-Kinte

Jawatankuasa Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan persekutuan mendakwa empat orang pemimpin "Gerakan Anti Toksik dan Busuk Kuala Kuang" yang dikatakan terbabit dalam perhimpunan haram, mengakibatkan mereka dipenjara dua minggu dan disaman sebanyak RM5,000 seorang.

500 orang penduduk kampung baru Kuala Kuang, Chemor, Perak menganjurkan satu protes secara aman pada tahun 2001, menggesa Menteri Besar Perak ketika itu, Tajol Rosli agar segerakan perpindahan sebuah kilang getah Chip Lam Seng berjarak tiga meter sahaja dari kampung baru mereka, kerana kilang getah tersebut mengeluarkan bau busuk dan disyaki bertoksik, telah mengancam kesihatan penduduk. Tindakan protes ini sekadar pelaksanaan hak asasi seseorang.

Pihak polis bukan sahaja menangkap tiga orang pemimpin jawatankuasa anti toksik dan busuk iaitu Chai Sing Chong (70), Chong Min Tow (67) dan Tan Kin Siah (48), bersama dengan ahli jawatankuasa pusat Parti Sosialis Malaysia K. Kunasekaran, 46, malah menggunakan Seksyen 27 Akta Polis yang zalim untuk mendakwa mereka di mahkamah, kerana "melanggar artikel 27(2) Akta Polis".

Jelas, tindakan polis tersebut jauh bezanya dengan caranya menangani protes Pemuda UMNO dan Perkasa di luar bangunan kedutaan Australia serta protes Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang di luar bangunan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, baru-baru ini. Dalam kedua-dua aktiviti protes yang disebut di atas, tiada tindakan diambil terhadap peserta.

Jawatankuasa Sivil berpendapat, Seksyen 27 Akta Polis 1967 memperuntukkan kuasa kepada polis untuk mengawal dan mengeluarkan permit perhimpunan, ia telah mencabuli hak-hak kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara rakyat Malaysia, malah bercanggah dengan semangat demokrasi.

Kerajaan Barisan Nasional telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk mengekang kehidupan awam rakyat, menindas suara ketidakpuasan masyarakat, kerana takut kuasa rakyat bersatu dan mengancam kuasa politik Barisan Nasional. Sama ada Akta Keselamatan Dalam Negeri, Ordinan Darurat ataupun Seksyen 27 Akta Polis, semua langkah anti-demokrasi ini adalah untuk mengukuhkan kedudukan monopoli politik BN, dan tiada kaitan langsung dengan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Rakyat harus sedar, pemimpin Negara telah bertukar tiga orang dalam tempoh 30 tahun, tetapi kandungan Akta Polis yang mencabuli hak-hak kebebasan berhimpuan tidak mengalami sebarang perubahan. Bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi menubuhkan Suruhanjaya Diraja PRDM tetapi gagal melaksanakan pembaharuan, Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan oleh Najib hanya berfokus dalam menambah-baikkan urus tabir kerajaan. Barisan Nasional tidak memberi sebarang janji dalam pendemokrasian Malaysia selepas tsunami 8 Mac 2008.

Kami menggesa kerajaan BN melaksanakan pendemokrasian, memansuhkan Seksyen 27 Akta Polis dengan serta merta dan memulangkan hak-hak asasi kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara rakyat! Kami juga berharap pihak polis dan peguam Negara menghormati hak-hak empat orang pemimpin gerakan anti toksik dan busuk yang terjamin dalam perlembagaan Malaysia, tarik balik dakwaan ini jikalau rayuan mereka Berjaya dalam mahkamah tinggi.


Kenyataan media oleh Liao Kok Fah selaku Pengerusi Jawatankuasa Sivil Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Kemalangan YB Ng-Mohd Bakri tidak harus dipolitikkan  

Posted by Kunta-Kinte

Kenyataan Media oleh Lau Weng San selaku ADUN Kampung Tunku- DAP, Selangor

Laman-laman blog pro-UMNO sekali lagi cuba mengungkit-ungkitkan sentimen perkauman apabila mereka menulis tentang kemalangan yang melibatkan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim dengan seorang mahasiswa UiTM bernama Mohd Bakri, 20 tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 7 Februari 2010.

Semalam, Suee Lim (gambar kanan) telah melawat Mohd Bakri di Hospital Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (HTAR) pagi semalam dan telah bertemu dengan bapanya, Mohd Bazli dan dilaporkan bahawa keadaan Mohd Bakri telah semakin pulih tetapi masih perlu menerima rawatan di Hospital sebelum keadaannya kembali stabil.

Suee Lim juga telah membuat laporan polis dan tuduhan bahawa Suee Lim melarikan diri selepas terlanggar Mohd Bakri adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.

Malahan semasa Suee Lim membuat laporan polis, polis telah merangkam keteranganya dan polis yang perlu menentukan sama ada beliau perlu menjalankan ujian nafas alcohol dan ujian-ujian yang lain mengikut pertimbangan polis.

Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa kemalangan-kemalangan yang melibatkan wakil-wakil rakyat bukanlah perkara yang baru, lebih-lebih lagi untuk wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat yang selalunya memandu sendiri dan jarang-jarang ada yang mengupah pemandu peribadi atas sebab kekurangan dana.

Saya sendiri yang memandu kereta Proton Wira 1.5 Manual juga pernah terlibat dalam dua kemalangan kecil yang melibatkan penunggang motosikal berketurunan Melayu. Yang pertama berlaku di Shah Alam apabila penunggang motosikal meluru keluar dari satu persimpangan jalan dengan lampu isyaratnya gagal berfungsi pada waktu kejadian.

Yang kedua di kawasan saya di mana penunggang motosikal di belakang kereta saya terjatuh apabila beliau menunggang terlalu dekat dengan kereta saya apabila saya memperlahankan kereta saya untuk membelok ke kanan. Tidak ada pelanggaran dalam insiden ini.

Saya telah membuat laporan polis untuk kedua-dua kes ini dan dalam kes yang pertama saya telah membayar penuh kos pembaikan motosikal penunggang Melayu yang berasal daripada Kampung Padang Jawa, Klang.

Apa yang mengesalkan, perkara seperti ini pun juga diguna oleh penulis-penulis blog pro-UMNO untuk memainkan sentiment-sentimen perkauman. Saya mengecam sepenuhnya tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

Kes Enjin Belum Selesai, Kini Kes Maklumat Bocor Pula  

Posted by Kunta-Kinte

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) kesal dengan kerapuhan sistem keselamatan agensi Pertahanan Negara mutakhir ini kerana sebelum kes kehilangan enjin pesawat F5E selesai, kini timbul pula isu kebocoran maklumat sulit Angkatan Tentera Malaysia.

Angkatan Tentera sepatutnya menjadi contoh dan penanda aras kepada sistem keselamatan agensi pertahanan lain, namun insiden terbaru ini menimbulkan kebimbangan dihati rakyat kerana negara ini boleh dianggap tidak selamat. Apa sahaja kekuatan dan kelematan sistem pertahanan yang ada dalam negara ini begitu senang diketahui musuh.

Intergriti anggota keselamatan negara bakal menjadi pertikaian jika ianya gagal ditangani segera. PAS yakin, insiden pembocoran maklumat ini melibatkan pegawai-pegawai kanan berpangkat tinggi kerana dari segi amalan kerahsiaan dalam organisasi Kerajaan dan Pertahanan, hanya mereka yang yang berpangkat tinggi sahaja mempunyai akses terhadap maklumat bertaraf sulit, rahsia dan rahsia besar.

PAS berharap agar agensi Keselamatan Negara membuat kajian semula tentang tahap keselamatan yang ada. Rakyat memerlukan satu jaminan yang kondusif terhadap tahap keselamatan negara.

Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan dinegara maju seperti Jepun pasti akan meletakan jawatan jika perkara sebegini berlaku, adakah Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Malaysia perlu dibiarkan sahaja sedangkan ini adalah insiden kedua yang melibatkan kecuaian yang besar dibawah pentadbiran mereka.

PAS mahu Kerajaan mendakwa dan memberikan hukuman yang berat kepada pengkhianat negara yang terlibat dalam kes ini.


Kenyataan Media Ust Idris Ahmad (Ketua Penerangan Pas Pusat)

PR perlu selesaikan segera masalah dalaman  

Posted by Kunta-Kinte

Kenyataan media oleh Liew Chin Tong, selaku ahli parlimen Bukit Bendera dan Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP

Melalui urus tadbir Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) yang diamalkan sejak hampir dua tahun lalu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Saudara Lim Guan Eng di Pulau Pinang telah banyak membantu rakyat berpendapatan rendah di Pulau Pinang terutamanya orang Melayu dan Islam.

Antara usaha yang telah dilaksanakan termasuk membebaskan pentabiran negeri khususnya urusan kewangan yang bebas dari rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi. Usaha-usaha ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pegawai dan kakitangan awam yang ikhlas, jujur dan bertekad untuk berkhidmat untuk rakyat.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berjaya membasmi kemiskinan tegar yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu-Islam dengan memberi imbuhan untuk memastikan setiap keluarga miskin mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM500.

Kerajaan Negeri juga memberi pengiktirafan kepada para huffaz, peruntukan RM1.5 juta setiap tahun kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan menambah peruntukan hal-ehwal Islam kepada RM20.5 juta pada tahun 2009 dan meningkat lagi kepada RM24.3 juta bagi tahun 2010; lebih tinggi daripada yang pernah diperuntukkan oleh kerajaan sebelum ini.

Hasil daripada semua usaha ini, termasuk pendekatan berhemat, telah dibuktikan melalui Laporan Ketua Audit Negara terhadap pengurusan kewangan Jabatan Kerajaan Negeri di mana dalam anggaran Belanjawan 2008, defisit RM35 juta telah berubah kepada lebihan RM88 juta, iaitu lebihan paling tinggi dalam sejarah Pulau Pinang. Bagi Belanjawan 2009 pula, anggaran defisit sebanyak RM40 juta telah ditukarkan kepada lebihan RM77 juta.

Oleh itu, apabila timbul masalah di mana ada segelintir ahli politik dari parti komponen Pakatan Rakyat telah menuduh Lim Guan Eng (gambar kanan) sebagai "diktator, cauvinis dan berfikiran komunis", ia adalah dakwaan yang tidak berasaskan dan boleh mewujudkan satu ketegangan yang meresahkan rakyat.

Semua pihak yang terlibat perlu sentiasa ingat bahawa matlamat dan fungsi parti politik hanya untuk membawa rakyat kepada kebaikan dan berkhidmat sebagai wakil kepada rakyat, dan bukannya berlagak menjadi tuan. Tidak ada yang lebih penting kecuali untuk kepentingan rakyat.

Untuk menangani dan menyelesaikan masalah ini, semua pemimpin, anggota dan penyokong Pakatan Rakyat harus kembali merujuk kepada dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui dalam satu perhimpunan bersejarah di Shah Alam, Selangor pada 19 Disember, 2009.

Dalam persetujuan sebulat suara Muafakat Baru Untuk Rakyat Malaysia, semua parti komponen Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk membasmi "fahaman perkauman sempit, politik adu domba dan demokrasi otoritarian" serta "menolak dasar yang membuka ruang kepada rasuah dan lain-lain jenayah kewangan serta penyalahgunaan kuasa, demi memastikan pertumbuhan yang mapan, dasar menindas yang hanya memperkayakan segelintir perlu digantikan dengan sebuah dasar yang memastikan bantuan kepada golongan miskin di Malaysia tanpa mengira kaum".

Semua pemimpin, anggota dan penyokong Pakatan Rakyat juga harus sentiasa berwaspada dengan dakyah dan fitnah yang berbau perkauman yang disebarkan oleh media arus perdana milik UMNO dan Barisan Nasional. Media-media ini menutup berita-berita tentang usaha murni Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang dalam membangunkan negeri serta membantu rakyat miskin terutamanya orang Melayu. Sebaliknya, media-media ini akan terus memutarbelitkan usaha-usaha Saudara Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri bersama sahabat-sahabatnya dalam Pakatan Rakyat.

Golongan yang tidak mampu menawarkan keadilan, peluang saksama dan amalan demokrasi hanya mampu bergantung kepada fitnah dan dakyah perkauman untuk menimbulkan kebencian di kalangan rakyat. Politik, kewartawanan dan propaganda yang jijik ini mesti ditolak oleh rakyat Malaysia yang cintakan kesejahteraan, perpaduan dan keharmonian.

Dengan itu, masalah yang timbul sekarang perlu diselesaikan dengan segera oleh kepimpinan Pakatan Rakyat supaya ia tidak akan terus menjadi bahan fitnah oleh pihak-pihak yang benci dengan usaha membasmi penyelewengan dan perpaduan kaum.

Insiden Kepala Babi: Anasir dari UMNO dan Polis terlibat?  

Posted by Kunta-Kinte

Banyak pihak mengkritik Naib Presiden KEADILAN Azmin Ali mendedahkan bahawa beberapa anggota UMNO terlibat dalam pembakaran sebuah gereja di Desa Melawati. Beliau akan mengumumkan nama mereka pada ketika yang sesuai. Mungkinkah kerana itu pihak Menteri Dalam Negeri dan polis tidak mahu memanggil beliau untuk siasatan?

Berikutan peristiwa kepala babi hutan diletakkan dekat masjid di Taman Datuk Harun dan Seri Sentosa pula didapati banyak perbualan mengenainya di kalangan orang ramai setempat. Sehubungan perbualan-perbualan di Taman Medan beberapa kesimpulan dapat dirumuskan, antaranya:

Pertama, kawasan di sekeliling masjid di Taman Medan itu didiami oleh orang Melayu dan tidak mungkin bagi seorang bukan Melayu yang dikenali atau tidak dikenali berani memasuki kawasan untuk membuat kerja buruk ini.

Kedua, kepala babi hutan itu dimasukkan dalam plastik dan diikat dengan tali, menunjukkan kemungkinan besar ia diletak dekat masjid oleh seorang atau lebih Muslim yang tidak mahu memegangnya kerana tahu ia dilarang dalam Islam.

Ketiga, ramai penduduk Taman Medan menganggap kerja ini mungkin dilakukan oleh beberapa orang extremis, termasuk ahli Umno, kerana mereka biasa dengan cara lama UMNO ini untuk mengapikan kemarahan kaum.

Keempat, Ketua Polis Negara Musa Hassan mengandaikan bahawa kepala babi itu mungkin dibeli dari restoran, dan ekoran dari andaian ini ramai penduduk mengesyaki ada anasir polis yang boleh jadi terlibat, kerana mereka saja - tidak orang biasa - yang boleh mendapatkan empat kepala babi hutan dari restoran sekaligus.

Saya menggesa pihak-pihak berkuasa menyiasat dengan segera dan teliti segala kesimpulan orang ramai ini sebelum ia merebak sebagai yang sebenarnya.

Kenyataan media oleh Syed Husin Ali, selaku Timbalan Presiden KEADILAN.

Jangan jadi mangsa kepada Agen Provokator!  

Posted by Kunta-Kinte

Serangan terbaru yang berupa kepala khinzir di dalam kawasan Masjid At-Tirmizi, Sri Sentosa merupakan satu lagi cubaan terbaru golongan tertentu dalam mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama di Negara kita. Tindakan yang jijik ini yang merupakan satu lagi siri provokasi berniat jahat perlu dikecam dan ditolak oleh semua pihak demi perpaduan ummah dan keharmonian antara kaum di Malaysia.

Saya menyambut baik kehadiran hampir keseluruhan pimpinan PDRM pagi tadi yang hadir bersama saya, dan menggesa agar pemantauan dilakukan bukan sahaja di sekitar Masjid At-Tirmizi tetapi juga semua masjid-masjid serta rumah ibadat lain yang berdekatan.

Siasatan terperinci wajib dilakukan oleh PDRM, dan menjadi harapan saya agar tumpuan diubah daripada memantau ahli politik pembangkang kepada provokator-provokator jahat sebenar yang bertanggungjawab dalam serangan-serangan sebegini.

Saya juga menggesa Kerajaan agar menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kesemua serangan jahat terhadap rumah ibadat yang dilakukan untuk menggugat kesejahteraan dan keharmonian awam.  Kita berhadapan dengan kemungkinan adanya dalang di sebalik serangan-serangan ini yang memaksa sebuah suruhanjaya bebas untuk menyiasat dan meneliti sebarang kemungkinan siapa pelaku serta penyebabnya.

Saya ingin menyeru semua pihak terutamanya rakyat Lembah Pantai agar bertenang dan bersabar dengan apa yang berlaku.  Kita harus sentiasa bersatu hati dan saling percaya mempercayai antara sama lain demi memelihara ukhwah antara kaum.  Saya akan turut serta dalam majlis kuliah Marghrib malam ini bertempat di Masjid At-Tirmizi untuk bersama dalam usaha memelihara ketenangan sesama kita.  Sama-samalah kita berdoa untuk perlindungan dari Yang Maha Esa.


 Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai.