Showing posts with label Pandangan. Show all posts

Judi adalah HARAM di sisi agama Islam, TETAPI...  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Roslan Harun

“JUDI adalah haram di sisi agama Islam. Orang-orang Islam, mereka yang berumur di bawah 21 tahun, atau murid-murid sekolah yang berpakaian seragam tidak dibenarkan memasuki premis/ruang ini.”

Saya melihat notis ini tertera di dinding tiga kedai Sports Toto yang terletak sebelah menyebelah ketika membuat tinjauan pada kira-kira jam 3 petang suatu Sabtu.

Saya berada di depan kedai itu selama lima minit, melihat-lihat siapa yang keluar masuk. Sungguh terkejut saya kerana hampir separuh yang masuk dan membeli nombor ramalan, berkulit sawo-matang seperti saya. Ramai yang melindungi wajah dengan memakai topi keledar.

Suatu ketika pula saya melewati bangunan Magnum dekat Hentian Puduraya, saya terpandang beberapa pemuda Melayu beruniform bertugas sebagai pemandu van syarikat berkenaan. Nampaknya mereka tidak berasa apa-apa bekerja dengan syarikat judi.

Apabila membuka laman-laman web syarikat perjudian yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), ditemui pula nama-nama individu Islam (tokoh ternama) mengepalai syarikat-syarikat judi ini.

Pembabitan orang Islam Islam dalam kegiatan perjudian ini, sama ada secara langsung atau tidak, mengingatkan saya dakwaan seorang tokoh masyarakat Islam dalam sebuah rancangan TV tempatan tidak lama dulu bahawa kononnya kewujudan pusat-pusat maksiat ini khas untuk orang bukan Islam.

Jika dilihat apa yang berlaku, dakwaan itu ternyata salah kerana sebahagian pengunjung pusat-pusat ini adalah orang Islam sekalipun sudah ditulis notis – “orang Islam dilarang memasuki premis (tempat berjudi) ini."

Satu perkara yang perlu diperhalusi lagi, adakah benar dakwaan kononnya pusat hiburan (perjudian) ini adalah khas untuk orang bukan Islam kerana tidak menjadi kesalahan untuk mereka berjudi atau terbabit dalam kegiatan seumpama ini.

Memandangkan perkara ini membabitkan masyarakat bukan Islam, golongan ini perlu ditanya sama ada dakwaan ini betul atau rekaan saja oleh sesetengah pihak bagi membolehkan mereka berjudi.

Satu lagi perkara menjadi tanda tanya berhubung perjudian ini ialah mengapa ada istilah ‘halal’ dan ‘haram’ dalam industri ini dalam konteks negara kita. Kita ingin tahu apakah yang ‘halal’ dan apa yang ‘haram’ sedangkan dalam Islam judi itu sudah jelas keharamannya sepert sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah memfardukan beberapa perkara lalu, janganlah kamu melalaikannya, Allah juga telah mengharamkan banyak perkara, maka janganlah kamu mencerobohnya.” (Riwayat Darul Qutni, hadis Hasan)

Seperkara lagi yang ingin diketahui ialah bagaimana kedudukan wang hasil kegiatan perjudian seperti cukai industri ini di sisi negara dan agama. Bagi menjawab persoalan ini, tentulah kita memerlukan penjelasan ulama dan tokoh berautoriti dalam bidang ini.

Kemudian kita ingin bertanya, apakah industri judi ini subur di kalangan orang Melayu/Islam kerana pengusaha akhbar-akhbar Melayu begitu ghairah menyiarakan keputusan empat nombor ekor dan SMS mengenainya dalam akhbar-akhbar mereka.

Demikianlah, semua orang mengakui bahawa judi adalah HARAM di sisi agama Islam, TETAPI...-harakahdaily

Otak Rais =Otak Nalla, dua-duanya Bangkrap  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: WFAUZDIN NS

RAIS anak Yatim adalah MP dari Jelebu yang kini memegang jawatan menteri yang menjaga TV dan Radio serta multimedia. Sebelum Pilihanraya Umum yang lalu, kita masih ingat Rais pernah memohon simpati Pak Lah, PM ketika itu untuk diberi peluang terakhir sebagai calon Parlimen di Jelebu. Sebenarnya kerjaya politik Rais boleh bertahan kerana simpati semata-mata bukan kerana ketokohan beliau. Bahkan, Ketua Umno Bahagian Jelebu yang disandangnya sekarang, dahulunya adalah `simpati' dari YB Yunus Rahmat yang menyerahkan kerusi tersebut kepada beliau sebaik sahaja Rais `melompat' dari Parti Melayu Semangat 46 kepada Umno semula.

Rais  (gambar kiri) pernah `membakar jambatan' dengan Umno sewaktu di dalam Parti Melayu Semangat 46, tetapi akhirnya Rais sendiri yang membakar maruah dirinya dengan melutut bahkan merayu untuk hidup mencari makan di dalam Umno. Kita merasa hairan, tidakkah Rais merasa malu apabila menyatakan DS Anwar tidak layak menjadi Ketua Pembangkang?

Tidakkah beliau menyuluh dirinya sendiri yang hidup hanya bergantung di bawah bulu ketiak PM? Dahulu beliau bergantung dengan Pak Lah, sekarang nampaknya ke hulu ke hilir menjaja 1 Malaysia, membodek dan mengampu Najib pula. Percayakah anda Rais tidak akan bertanding lagi di dalam Pilihanraya akan datang?

Terlalu jauh bezanya ketokohan Rais jika hendak dibandingkan dengan DS Anwar. Usahkan DS Anwar, dengan budak-budak DS Anwar seperti Zahid Hamidi pun Rais tewas. Bertanding Naib Presiden Umno pun tewas. Jika masalah bas dan pengangkutan awam di Jelebu pun Rais gagal hendak atasi, usahlah Rais cuba hendak menilai ketokohan DS Anwar. Baiki dulu jalan-jalan di Jelebu itu terlebih dahulu agar tidak mengakibatkan pengguna jalan raya muntah dan pening melaluinya.

Seorang lagi yang bersamaan otak dengan Rais ini ialah Nalla. Dahulunya beliau pernah dilibatkan dengan fitnah liwat 1 DS Anwar kerana beliau adalah rakan karib DS Anwar. Beliau pernah berada di dalam parti KeADILan selepas DS Anwar dibebaskan dari penjara. Kemudian beliau keluar dari parti setelah beliau tidak dicalonkan di dalam satu Pilihanraya Kecil. Nalla ini pernah berada di samping Ezam raja sesumpah untuk memburuk-burukkan DS Anwar. Mereka berganding bahu sewaktu berkempen di Parmatang Pauh tatkala DS Anwar bertanding di situ , tetapi apa kesannya? Umno lingkup dan terkangkang di sana. Berbagai-bagai dakwaan telah dilakukan oleh kedua-dua mereka ini terhadap DS Anwar, tetapi sehingga sekarang satu pun belum terbukti.

Baru-baru ini Nalla (gambar kanan) benar-benar kehabisan modal untuk mengampu Najib. Maka, tiada jalan lain otak Nalla berfungsi seperti budak sekolah yang bergaduh. Sasaran beliau adalah DS Wan Azizah pula. Apa tuduhan beliau terhadap DS Wan Azizah? Rasuah ? penyelewengan ? Moral ? Bukan itu tuduhannya, sebaliknya beliau hanya mahu mengiktiraf DS Wan Azizah sebagai `Pelakon Terbaik'. Kununnya DS Wan Azizah `berlakon' untuk mempertahankan suaminya yang difitnah di dalam kes liwat 2. Beliau merasa pelik mengapa DS Wan Azizah sanggup mempertahankan suaminya di dalam kesalahan moral. Bila pula suami DS Anwar disabitkan dengan kesalahan moral? Nalla seolah-olah lebih tahu apa keputusan Hakim di dalam kes liwat ini nanti. Begitukah cara orang berpolitik? Apakah Nalla ingat semua orang sama sepertinya yang mudah dijadikan `pelacur politik'? Bukan mudah untuk mencari seorang Hindu yang sanggup menjual maruah diri seperti Nalla. Mungkin sinonim Nalla dengan `lidah biawak' yang sentiasa terjelir mencari telor busuk.

Dunia semakin kagum dengan ketokohan DS Anwar sehinggakan memaksa kerajaan menghantar budak-budak hingusan untuk mengajar diplomat dan Ahli-Ahli Parlimen negara luar tentang kes DS Anwar. Sepatutnya Najib malu apabila negara ini menjadi bahan ketawa dunia luar. Maka, berkumpullah puak-puak NGO dan Pemuda Umno berdemontrasi dan menghantar memo membantah kenyataan MPs negara-negara berkenaan. Mengapa mereka tidak berani menghantar memo kepada Syeikh Yusof Qhardawi, Syeikh Jabir Alwani dan ramai lagi Ulamak tersohor termasuk kerajaan Turki yang terang-terang menentang kezaliman yang dilakukan ke atas DS Anwar?

Inilah berkatnya orang yang jujur dan amanah, yang sanggup berkorban dan berani menentang kezaliman. Sebanyak mana pun DS Anwar dihina, maka bertambah naik darjat beliau. Tidak seperti orang yang zalim, hina dan kaki fitnah itu. Semakin lama kita lihat orang itu semakin hina sehinggakan tidak lagi berani berdepan dengan masyarakat. Setiap saat, dia dilaknat oleh manusia merata dunia termasuk makhluk dilangit. - wfauzdin.blogspot.com

Petronas Untuk Rakyat  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Zaid Ibrahim

Parlimen akan bersidang sekali lagi mulai pertengahan Mac ini. Salah satu perkara penting yang saya harap Ahli-Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat akan bangkitkan ialah memberitahu rakyat tentang tindakan Barisan Nasional yang menidakkan pembahagian hasil minyak dan gas di antara negeri dan Petronas.

Isu ini bukan saja terbatas kepada hak-hak negeri seperti Kelantan terhadap hasil tersebut tetapi juga merangkumi soal pengurusan Petronas itu sendiri. Apakah pendirian pihak pengurusan Petronas dalam soal tuntutan negeri Kelantan? Petronas disebut sebagai syarikat bertaraf antarabangsa yang mempunyai pengurusan bertaraf dunia, yang tidak tunduk kepada telunjuk politik. Kalaulah ini benar, maka inilah masanya Petronas menunjukkan kebebasannya membuat keputusan. Tetapi mengapa Petronas diam membisu?

Hakikatnya, Petronas mesti tunduk kepada arahan Perdana Menteri. Inilah kuasa yang diberi kepada PM di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974. Tujuan asal dibuat begitu ialah supaya pengurusan Petronas tidak dipengaruhi oleh pihak politik yang lain seperti UMNO; maka sebab itulah arahan PM saja yang perlu diikut. Model pengurusan seperti ini yang juga sulit dalam banyak hal, sesuai pada masa Tun Razak tapi tidak wajar lagi di zaman anaknya kini. Jauh beza anak dengan bapa. Tun Razak mahu Petronas dijaga untuk kepentingan anak cucu rakyat Malaysia, bukan saja kepada kerajaan yang memerintah. Tun Razak tidak akan membenarkan orang orangnya mengambil kesempatan meraih untung dari Petronas. Dia juga tidak boros orangnya. Tapi anaknya jauh berbeza. Semasa Najib jadi Menteri Pertahanan, perbelanjaan Kementerian Pertahanan melambung 160 % di antara tahun 2001 dan 2008. Sejarah akan berulang kalau rakyat tidak berhati-hati. Rakyat bimbang dengan apa yang akan dibuatnya dengan Petronas.

Kesimpulannya, Hassan Merican sudah tidak ada lagi dalam Petronas. Sekurang-kurangnya dia dianggap CEO dan Presiden Petronas yang lebih bebas dan berkebolehan tinggi. Apa akan terjadi kepada Petronas sekarang? Siapakah yang ada dalam Badan Penasihat yang berani mempertahankan integriti pengurusan Petronas kalau PM sudah membuat arahan? Cara pengurusan dan kuasa luas PM dalam Akta 1974 itu sudah tidak sesuai lagi dalam keadaan sekarang. Dalam keadaan perniagaan global .Biarlah Petronas lebih bertanggung jawab, lebih telus dan lebih mementingkan generasi akan datang daripada kepentingan UMNO dan BN . Ini lah tuntutan politik naru tanah air.

Saya amat berharap supaya Ahli-Ahli Parlimen kita berjuang bersungguh-sungguh untuk menyelamatkan Petronas dari bahaya akan datang; bahaya yang sedang dicipta oleh kepimpinan UMNO dan BN sekarang. Kita jangan lupa pesanan orang tua tua agar jangan pagar yang makan padi. Isu ini bukan sekadar untuk kepentingan Kelantan saja. Ia adalah untuk kepentingan semua rakyat Malaysia dan masa depan anak cucu kita.


http://myzaidibrahim.wordpress.com/

Nahi Mungkar bukan Nahi Makruf  

Posted by Kunta-Kinte

Amar Makruf Nahi Mungkar bukan Amar Mungkar Nahi Makruf


1. Insyaallah pada 27 hb. Feb 2010 [ sabtu ] jam 8.40 malam akan dilangsungkan satu Forum Ad Deen yang bertajuk [ Perlaksanaan Syariah di Malaysia : Cabaran , Halangan dan Kesungguhan ] , bertempat di Musolla Ar Raudhah Perkampungan Pelindung Perdana Beserah Kuantan Pahang .

2. Sehingga hari ini saya mendapat tekanan dari pelbagai pihak supaya forum tersebut dibatalkan namun alasan kenapa forum itu mesti dibatalkan , saya sendiri tidak jelas . Semata - mata kerana salah seorang panel forum tersebut ialah al Fadhil Dr Asri Zainal Abidin [ bekas Mufti Perlis ] maka ia mesti dibatalkan ! [ Panel yang lain ialah : Dr Azhar Yaacob Pensyarah kanan UTM dan saya sendiri mewakili Musolla Ar Raudhah ]

3. Saya juga sangat kesal apabila dimaklumkan bahawa tekanan tersebut turut datang dari pihak mufti negeri Pahang sendiri . Sedang forum ini adalah majlis ilmu yang dianjurkan oleh Musolla Ar Raudhah dengan kesepakatan seluruh ahli jawatankuasanya . Saat masyarakat dahagakan ilmu dan kejahilan pula sangat berleluasa , kenapa harus majlis forum seperti ini mendapat tekanan , lebih malang tekanan itu datang dari pihak mufti yang sepatutnya merekalah yang menaungi aktiviti - aktiviti agama dalam negeri ini .

4. Forum adalah majlis ilmu yang diformatkan secara terbuka dan berlansung dalam bentuk dua hala dengan kita membawa panel - panel yang berwibawa disamping moderator yang baik iaitu sdr Fadzli Ramli seorang Lawyer muda yang sedang meningkat naik di negeri Pahang hari ini .

5. Saya sendiri tidak faham kenapa Dr Asri Zainal Abidin tidak dibenarkan ? sedang beliau adalah seorang yang berkelayakan dalam bidang agama untuk menyampaikan pandangan dan ilmu beliau . Ijazah kedoktoran yang diberikan oleh pihak university adalah satu pengiktirafan terhadap ilmu beliau sementara belum ada juga satu pun penyata yang digazetkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan atau lainnya yang menyatakan Dr Asri adalah pembawa ajaran sesat yang tidak dibenarkan mengajar atau memberi ilmu di mana - mana tempat di dalam negara ini .

6. Kita bukan berada di dalam negara komunis atau sosialis yang menghalang ilmu Islam dikembangkan . Alangkah baik jika pihak Mufti negeri Pahang mengarahkan seluruh penguatkuasa agama negeri Pahang membuat rondaan dan mengambil tindakan ke atas pelaku - pelaku maksiat dan mungkar yang sangat berleluasa di bandar Kuantan . Sarang pelacuran dan Mak Nyah boleh beroperasi secara terbuka di bandar Kuantan tanpa sebarang tindakan yang berkesan oleh pihak berkuasa agama negeri . Kenapa ini di diamkan ? Kenapa masjid surau yang mahu menganjurkan majlis Ilmu pula mendapat tekanan dari pihak Mufti ? sungguh ini adalah suatu yang sangat mengecewakan . Apakah hari ini kelab - kelab malam dan sarang - sarang Mak Nyah itu lebih selamat berbanding majlis ilmu di pahang ?

7. Ada yang mengemukakan alasan kerana Dr Asri adalah wahabi . Ini satu lagi malapetaka yang menimpa ummat Islam . Terlalu suka dan cepat melabel kemudian terus menolak tanpa asas ilmu dan hujjah yang kuat . Dr Asri sendiri berkali kali menafikan , bahawa beliau bukanlah seorang wahabi dan beliau bersedia untuk berhujjah dan berbincang secara ilmiah bagi menegaskan pendirian beliau dalam isu - isu agama termasuk persoalan aqidah .

8. Persoalannya , apakah kerana isu wahabi maka tindakan mahu diambil dan saya difahamkan bahawa pihak mereka akan bertindak untuk menangkap saya dan Dr Asri pada hari berlangsungnya forum nanti . Kenapa tidak mengambil pendekatan berbincang dan berdialog secara ilmiah ? saya sendiri tidak pernah dipanggil untuk berbincang . Malah forum ad Deen yang kita anjurkan ini adalah majlis dua hala sebagai satu wacana dan dialog mengenai perlaksanaan syariah di Malaysia .

9. Jika saya atau Dr Asri salah dan tidak betul dalam memberi kenyataan dan ilmu , maka pada hari itu , siapa jua boleh tampil untuk memberi hujjah dan kenyataannya . Saya mahu wujudkan suasana ilmu dikalangan masyarakat . Kita tangani sesuatu berasaskan ilmu dan hujjah . Berkali - kali saya tegaskan kepada ahli jamaah di Musollah ar Raudhah bahawa saya mahu jadikan Musolla Ar Raudhah ini sebagai Universiti Islam Terbuka [ UIT ] . Kita mengundang tokoh - tokoh ilmuan Islam untuk memberi ilmu , berwacana , forum dan dialog bagi membuka pemikiran ummat Islam dan sekaligus menegakkan kebenaran dan memerangi kebathilan .

10. Saya menyeru agar semua hadhir dan dengar sendiri penjelasan , kenyataan dan hujjah ahli panel . Jika ada yang tidak betul , saudara diberi peluang untuk berhujjah . malah suka saya sebutkan , jika ada perkara yang tidak benar atau tidak betul , saya sendiri akan bangkit membetulkannya . Tapi biarlah dengan ilmu dan hujjah bukan dengan gari dan cota .

11. Sebelum ini pun , banyak perkara yang saya berbeza pandangan dengan Dr Asri Zainal Abidin . Samaada sebelum mahupun selepas beliau menjadi mufti kerajaan Perlis . Tetapi biarlah perbezaan itu diuruskan dengan ilmu dan hujjah bukan dengan kekerasan . Sebab ini hanya berkait dengan perbedaan aliran pemikiran bukan jenayah .

12. Tindakan menangkap dan mengungut ini adalah satu tindakan yang tidak bertamaddun dan tidak bijak . Malah bertentangan dengan disiplin ilmu Islam yang mengutamakan ilmu dan hujjah .


Nasrudin Hassan At Tantawi
http://episodeperjuangan.blogspot.com/

Jangan jadi macam Umno sambut Maulidul Rasul  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: JJ Aanak Desa

Tarikh 12 Robiul Awal setiap tahun merupakan tarikh yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunmia bagi mengingati kelahiran Junjungan Besar Nabi Akhir Zaman, Muhammad s.a.w.. Ianya mengingatkan kita kepada sirah Nabi, perjuanganya menegakkan agama Islam dan halangan halangan yang terpaksa ditempuh oleh Kekasih Allah itu dalam memastikan Islam dijulang.

Umat Islam di dunia khususnya di negara ini, bulan ini adalah bulan paling sebok, bulan paling banyak ceramah, masjid masjid akan mengadakan sambutan Maulidul Rasul untuk menyatakan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w.

Memperingati kelahiran Rasulullah dengan berbagai program, ada yang berarak, ada yang melakukan sambutan di tempat tertentu, ianya merupakan satu penghormatan kita terhadap Nabi Muhammasd s.a.w.

Namun satu yang perlu kita ingat, sekadar menyambut kelahiran Rasulullah sahaja tidak bermakna jika kita tidak mematuhi perintahnya, kita menghayati perjuangannya. Orang paling hebat menyambut kelahiran nabi Muhammad adalah bapa saudaranya, Abu Jahal.

Tetapi bila seruan Nabi mengajak mengesakan Allah, Abu Jahal orang yang paling hebat menentang Rasulullah. Jadinya jangan ada di kalangan umat hari ini berperangai saperti Abu Jahal.

Abu Jahal Moden ramai di zaman ini, bila sambut Maulidur Rasul, dialah yang paling kedepan, malah suaranya yang paling kuat selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad, tetapi dalam masa yang sama dialah orang paling kuat menentang Islam, menentang perjuangan Islam dan menentang Jemaah Islam yang memperjuangankan Islam.

Kita jangan jadi macam Umno sambut Maulidul Rasul. Umno pentingkan perarakan dan sepanduk, tetapi tidak pula pentingkan sunah Rasul, tidak pula menghayati perjuangan Rasul, tidak pula menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam menerintah negara.

Umno hanya pentingkan perkara perkara yang kecil, sedangkan perkara yang besar saperti memerintah negara menurut Alquran dan Al Sunnah tidak dilakukan.

Umno lebih pentingkan perayaan menyambut kelahiran Nabi Muhammad tetapi perjuangan Nabi tidak diambil iktibar, melihat kejayaan Nabi selaku ketua keluarga semata mata tetapi tidak pula melihat Nabi sebagai Ketua negara yang paling berjaya.

Umno pentingkan musabaqah Alquran, tetapi Kerajaan Umno/BN tidak pula berusaha untuk menjadikan hukum hukum dari Alquran sebagai peraturan negara. Kerajaan Umno/BN buat banyak masjid, tetapi Kerajaan itu jugalah luluskan kilang arak, memperbanyakkan lesen judi.

Jadi apa maknanya sambut Maulidul Rasul sedangkaN apa yang yang Allah dan Nabi perintah dan tegah, Umno tidak ikut dan tidak patuh. Umno hanya bersifat `Samitna waataqna (kami dengan dan kami taat) sebaliknya bersifat `samitna waasaina'(kami dengar dan kami tidak patuh).

Kita jangan jadi saperti burung kakak tua atau burung tiong yang hanya pandai bertutur mengucapkan selamat tetapi tidak tahu apa yang diucapkan. Umno pun macam burung kakak tua atau burung tiong yang hanya pandai bercakap tentang Islam tetapi Umno sendiri tidak tahu melaksanakan apa yang mereka cakapkan.

Umno kata Islam itu Syamil,lengkap, tetapi kerajaan Umno/BN mengambil sebahagiannya sahaja dan tolak sebahagian. Boleh ke ambil sebahagian dan tolak sebahagian yang lain dari Alquran? Sedangkan Allah dan Rasulnya memerintah kita terima keseluruhan. Apakah kita hendak ikut Umno/BN lagi?

Semoga sambutan Maulidur Rasul kali ini Umno dan kunco kunconya mengubah perpepsinya terhadap Islam, tidak ada lagi salah faham terhadap Islam. Islam itu memerintah bukan diperintah.



http://joharapat.blogspot.com

Mampukah Najib Mendepani Tuntutan Era Politik Baru?  

Posted by Kunta-Kinte

Telah penulis catatkan beberapa kali bahawa UMNO gentar serta gusar dengan Politk Baru. Benar bahawa PRU ke-12 telah menyaksikan penghakisan sokongan UMNO-BN paling parah dalam sejarah politik pilihanraya. Tetapi kesemua itu tidak sepenting satu hakikat yang sering menerjah mereka. Hakikat wujudnya satu lagi koalisi yang disifatkan sebagai "kerajaan dalam penantian" atau "government-in-waiting".

Kalau ada yang marah bahawa penulis terlalu ghairah untuk memerintah kerajaan Persekutuan, penulis sayugia perjelaskan. Penulis tidak kata perubahan besar pasti berlaku pada PRU ke-13 ini. Tetapi potensi untuk perubahan berlaku amat besar ke depan ini.

Nah, ini hakikat baru yang tidak pernah terjelma dalam telahan unjuran politik negara. Satu dekad lalu, sebutan ini hampir asing bahkan satu dongengan. Tidak ada parti dan kerajaan yang layak memerintah kecuali kerajaan UMNO/BN mungkin sampai qiyamat. Kalau ada pun "kerajaan pembangkang", satu istilah paradoks, ia hanya terbatas di negeri pantai Timur, Kelantan dan Terengganu sahaja.

Bagaimana ia menjadikan satu realiti adalah akibat perubahan yang berlaku selepas topografi atau landskap politik negara terus berubah setelah tsunami politik melanda ganas negeri-negeri UMNO/BN di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Politik Baru berkehendak untuk mendefinisi semula pelbagai tata-orde perhubungan politik; amalan federalisme dan gelagat cabang legislatif serta kualiti perbahasan di parlimen, kerancakan persaingan media mengolah lambakan isu dalam usaha mempengaruhi pemikiran awam di pasaran bebas pertarungan ide. Juga begitu tuntutan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi ukuran atau "benchmark" Umum.

Kini tidak apa yang mampu dilindungi oleh akta-rimba seperti OSA atau ditakutkan Ordinan Darurat serta ISA. Lambat laun terdedah jua seperti PKFZ, ibu segala skandal. Hari ini dalam Politik Baru, kebebasan beragama, penjalinan perpaduan dan erti merakyatkan kekayaan khazanah negara serta pemunggaran ekonomi berprestasi tinggi, tiba-tiba mendapat dimensi serta nilai baru bahkan lebih barmakna lagi.

Pencairan pelbagai doktrin lama, umpama di bidang ekonomi, menggugat segelintir yang mengecapi habuan besarnya selama kini. Istilah "liberalisasi" cukup ditakuti kerana menjejaskan orde hubungan sumbang elit politik-korporat kroni kesekian lamanya. Mereka bingkas bangkit melaungkan "kepentingan Melayu" (baca UMNO putera) terhakis dan tercabar.

UMNO dan BN tidak sopan untuk rasa terlalu tertekan dan kaget dengan kesemua fenomena ini. Benar UMNO/BN belum pernah menyaksikan sejumlah seramai 83 ahli parlimen pembangkang di Dewan Rakyat. Tidak juga mereka mengerti menjadi pembangkang di negeri-negeri selain Kelantan dan Terengganu. UMNO/BN tidak pantas belajar.

Menghampiri dua tahun, kerajaan BN di bawah PM masih belum menjumpai sentuhan ajaib mereka. Dulu kawalan kuasa mereka mutlak, total dan absolute. Tidak lagi kini. Tetapi tetap PM Najib dan UMNO/BN semacam tidak faham, tidak mahu faham, buat-buat tidak faham atau juga tidak akan faham.

Penulis ingin berkongsi satu telahan tesis baru tetapi lama tertangguh. Tulisan ini dilakukan semata-mata untuk kebaikan bersama atas kehendak semangat persaingan demokrasi yang sihat dan matang bagi membawa negara ke mercu tanda dan garis prestasi yang lebih baik.

Najib dan UMNO tidak wajar untuk terus menjatuhkan Pakatan Rakyat dengan serangan-serangan cara lama dalam era Politik Baru ini. Benar UMNO/BN mungkin boleh berjaya, bahkan dah berjaya pun di Perak. Tetapi apa akibatnya? Betul mereka boleh membeli beberapa peribadi. Betul juga kerajaan boleh diguling. Tetapi apa risikonya?

Perak: Wibawa Sultan terheret

Kini Perak akan kekal dalam satu "standoff", satu "stalemate" berpanjangan sehinggalah datang waktu untuk kembali kepada Mahkamah Rakyat. Mudaratnya terlalu luar biasa. Wibawa Sultan dan bahkan "integriti" Istana turut terheret mencemar ke bawah duli, kedaulatan Sultan akibat terjerumus dalam "real-politik" rakyat. UMNO kurang ambil pusing semua itu.

Benar politik pelbagai parti atau sistem "multi-party" ala Westminster atau apa pun modelnya, bersifat "zero-sum" atau "saling-memusnah". Pertandingan di mana hanya ada satu pemenang, pada sifatnya memang "zero-sum" - cukup ganas dan destruktif atau bertujuan memusnah lawan.

UMNO/BN kini sedar bahawa yang didepani bukan sahaja PKR, PAS atau DAP secara berasingan. UMNO amat insaf bahawa yang didepani kini ialah gandingan PKR, DAP dan PAS, yang kini merupakan satu blok koalisi yang disebut dengan jolokan Pakatan Rakyat, seperti juga Barisan Nasional yang punya 14 komponen.

UMNO/BN pernah berdepan dengan "mahkluk koalisi" ini pada parlimen ke-10, tetapi mudah dijatuhkan apabila muafakat politik itu sendiri menembak dirinya masing-masing. Habis bergelempangan sebelum PRU ke-11. PAS dan rakan-rakan lain dalam Barisan Alternatif (BA) masih tidak mahu menghimbau sejarah buruk pembangkang itu. Biar ia jadi sempadan politik yang wajib dijauhi. UMNO tidak perlu menyerang sehebat kini kerana BA mati berkonflik dan berbunuh sesama sendiri. Amat tragis bagi harapan rakyat.

Berkuasa di negeri

Tetapi lain halnya kini. Dulu DAP tak punya kuasa di negeri, pun begitu Parti Keadilan Nasional dulu. Kini kesemua menerajui pemerintahan meskipun dalam semangat dan koalisi Pakatan Rakyat. Kuasa bukan segala-galanya. Tetapi jelasnya kuasa adalah segala-galanya yang mendatangkan keinsafan untuk bersatu bagi mengekalkannya. Tidak dapat dinafikan bahawa kuasa pemerintahan pendorong utama kesatuan Pakatan Rakyat, bahkan kuasa ini juga pencetus utama penubuhan Pakatan Rakyat. Itu hakikat, jangan berselindung lagi. Lihat sahaja pengalaman di negeri Perak, meskipun kuasa hilang akibat angkara Najib dan UMNO/BN. Hakikatnya Peraklah semantapnya keteguhan Pakatan Rakyat!

PM Najib akan terus silap kalau belum lagi belajar dan sedar bahawa ini Politik Baru. Kaedah peperangannya pun wajar ditukar dan strateginya memerlukan pemikiran baru.

Penulis mengesyorkan PM Najib perlu mendapatkan perunding baru dalam penentuan strategi dan pendekatan perang politiknya. Bukan sahaja melibatkan perunding luar untuk mengukir slogan indah 1-Malaysia. Sebelum itu biar penulis "bersedekah" ide supaya ia baik untuk semua. Tampaknya komoditi ide sangat mahal mutakhir ini. Tidak ramai yang berfikir. Tambahan berfikir secara berat atau strategik.

Telah sampai masanya PM Najib sedar bahawa rakyat juga turut bosan dengan serangan berterusan bagi menjatuhkan Pakatan. Rakyat mual dengan berpolitik khususnya dalam suasana ekonomi yang mandom dan kesulitan hidup yang terus menghempit rakyat teramai.

Najib serta UMNO/BN wajar memahami bahawa kini rakyat kian celek dan punya pengetahuan kecuali yang masih terperangkap dalam kemiskinan dan terpinggir dari arus pembangunan ICT dan tidak punyai capaian media baru dan ledakan informasi.

Rakyat dan pengundi "ruang tengah" yang menjadi penentu dalam persaingan PRU ke-13 tidaklah semestinya para penyokong Pakatan Rakyat. Golongan Tengah ini terbuka bahkan mereka bukan kelompok partisan atau berpihak. Mereka hanya partisan atau berpihak kepada apa yang betul, apa yang adil dan apa yang boleh memajukan pengharapan dan cita-cita mereka. Sesungguhnya golongan tengah ini terbuka. Mereka tidak ta'asub kepada mana-mana parti atau pemimpin. Semua pihak mereka kritik termasuk pimpinan tertinggi Pakatan dalam PAS, PKR atau DAP. Pimpinan BN yang memimpin negara lagilah teruk mereka belasah.

Penulis menasihatkan supaya kedua-dua pihak membudayakan politik "zero-sum" yang berpaksikan pertandingan serta persaingan advokasi atau penampilan polisi serta gagasan pemerintahan dan persaingan keupayaan serta kompetensi pemerintahan dan integriti kepemimpinan. Dulu mungkin tak boleh. Tetapi kini boleh kerana sama-sama ada negeri. Hentikan politik "zero-sum" yang terlalu brutal dan tidak bertamaddun. Jangan terlalu "kiasu" atau takut kalah, kata orang Cina.

Dinamika Politik Baru dengan kerancakan persaingan politik sihat adalah penentu survival dayasaing negara dalam semua lapangan hidup termasuk moral, budaya, ekonomi dan perdagangan. Sementara itu agama dihayati, disanjungi, diraikan dan dilindungi. Agama menjadi penyatu dan bukan pemecah. Yang eksklusif hanya Aqidah dan Ibadah, sementara moral dan nilai dikongsi ramai menjadi penyeri dan budaya negara. Penyatuan insaniyah diikat dengan Tuhan (baca Allah) pencipta seru semesta alam. Di situ kita bersatu dan berpadu meskipun punya agama dan budaya yang berbeza. Ini natijah Politik Baru yang celek agama dan budaya. Enakmen-enakmen lama negeri-negeri BN dulu terasa canggung dan usang serta perlu dirujuk atau "revisit" (baca Ijtihad) segera.

Politik Baru mahukan pesaing-pesaing politik dan pelaku utamanya, membuktikan kepada rakyat siapa yang lebih punya wibawa dan integrti serta kesungguhan dan komitmen untuk memperjuangkan rakyat sekaligus menjadikan ekonomi punya daya saing yang tinggi dan membawa negara keluar dari krisis serta kemelut yang tidak berkesudahan. Rakyat menilai "Siapa yang lebih memahami Perubahan dan Bagaimana untuk menjayakannya!". Itu ukuran wibawa yang hakiki. Sama-sama punya kekuatan dan kepimpinan. Kini sama-sama punya pengalaman dan ketokohan.

Wajarlah dalam membudayakan Politik Baru yang lebih sihat, matang dan berwibawa, supaya PM Najib dan UMNO/BNmenghitung kembali segala urus-tadbir yang telah membelakangi segala tuntutan pemerintahan yang telus, bertanggungjawab dan adil. Bahkan tidak ada cara lain bagi penulis untuk PM Najib membuktikan bahawa beliau komited dengan "Reformasi" dan Perubahan yang serius serta tulen, kecuali dengan memperbetulkan sebahagian besar yang salah dan bobrok dari regim lama.

Kerajaan UMNO/BN di bawah PM Najib mesti berani mengambil langkah-langkah drastik bagi memperbetulkan segala kesilapan pemimpin lama UMNO/BN. Atas komitmen, keteguhan serta kecekalan ini akan ditentukan wibawa beliau, bukan kerana retorika yang molok ciptaan perunding luar. Cukuplah.

PM Najib perlu berani memberhentikan segera segala kereputan yang sedang melanda institusi-institusi negara akibat pencerobohan berterusan pihak Eksekutif. Pertama Institusi Kehakiman atau Judisiari. Segala yang menjadikan negara bahan lawak dan jenaka dunia perlu segera direformasi. Contoh jelas ialah tindakan ke atas syor Surahanjaya Kes Video Lingam yang berakhir dengan NFA atau "No-Further-Action" amat memalukan sistem perlantikan kehakiman meskipun kita telah punya Surahanjaya Perlantikan Kehakiman atau SPK.

Bersimpang-siur keputusan penghakiman yang acap ditebalikkan juga mengaibkan institusi judisiari yang integritinya dikoyak-robek oleh campurtangan pihak Eksekutif. Terkini Babak Kedua Kes Sodomi Anwar. Negara sekali lagi di kandang orang salah.

Pun begitu imej SPRM yang perlu segera mendapat suntikan reformasi bagi mengelakkan persepsi buruk terhadapnya sejak dari permulaan penubuhan yang dihantui dengan kes kematian malang mediang Teoh Beng Hock.

Federalisme

Bagi menginstitusikan amalan federalisme yang lebih utuh dan matang, hentikan segera segala amalan yang mensabotaj amalan demokrasi berpesekutuan atau federalisme dengan menghormati segala hak-hak kerajaan negeri yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau apa jua janji yang termeterai dalam laluan evolusi pembangunan negara.

Ini termasuk isu royalti minyak dalam Akta Kemajuan Petroleum, 1974 yang antara lain bersekali dengan "Vesting Deeds", 1975 atau perjanjian antara negeri, Pusat dan Petronas yang mentakrifkan hak masing-masing. Cukup menjejaskan integriti negara ketika kerajaan menukar status bayaran menjadi wang ehsan. Bolehkah apabila kita berhutang dan wajib membayar, ketika kita bayar balik kita kata kita bersedekah kepada orang yang kita pinjam dulu. Malu besar. Rakyat sedang memerhatikan. PM Najib patut malu, meskipun Mustapha Muhammad tidak dan Ibrahim Ali lagi tak tahu malu.

Pendukung Politik Baru mahukan pemain-pemain utama poitik supaya menghormati segala perjanjian-perjanjian yang telah termetrai dan mendukungi kesucian janji-janji atau aqad-aqad tersebut sebagai masyarakat yang bertamaddun dan bermaruah. Ini tidak wajar dibatasi dengan perhitungan samada negeri tersebut diperintah di bawah BN atau Pakatan seperti Kelantan atau Terengganu. Kedua punya hak dan tanggungjawab. Memangsakan rakyat kerana mereka memilih pembangkang adalah politik kuno, usang dan lapok.

Amat wajar bagi PM Najib mengetahui bahawa beliau berdepan dengan rakyat yang jauh lebih celik dan berpengetahuan. Pakatan bersedia mengorak langkah baru untuk terus memperbaiki amalan demokrasi di negara ini. Bahkan Pakatan dan rakyat bersedia untuk melakukan lebih dari itu bagi membangunkan negara bertuah ini.

Kalau pun Najib bersedia untuk berubah dengan 1-Malaysianya, ternyata Timbalannya dengan sebahagian besar keahlian UMNO bersekali dengan Perkasa masih mahu kekal di garis politik lama dan usang berpaksikan kononnya "Ketuanan Melayu". Amat malang. Kesinambungan survival Melayu bahkan negara tidak terpahat pada tongkat yang diberikan UMNO. Penulis mengajak pembaca merenung tesis serta tuntutan Politik Baru ini.

Akhir kalam, penulis tinggalkan makalah panjang ini dengan beberapa soalan:

1. Apakah PM Najib benar-benar bersedia untuk berubah? Ataukah beliau akan diubah? Persoalan besarnya, oleh siapa?


2. Mampukah Najib Mendepani Tuntutan Era Politik Baru?


Tulisan ini dipetik daripada blog Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat, juga ahli parlimen Kuala Selangor.

Kalau kerajaan kreatif, tahi manusia pun boleh jadi tenaga  

Posted by Kunta-Kinte

Walaupun kabinet semalam dilaporkan tidak membuat keputusan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik atau tidak,saya masih ingin menasihatkan kerajaan supaya tidak meningkatkan tarif elektrik kerana kenaikan tarif tersebut bakal membebankan rakyat kebanyakan.

Kerajaan tidak seharusnya berfikiran simplistik menaikan tarif elektri disebabkan kenaikan bahan bakar di peringkat antarabangsa.

“Walaupun kos bahan bakar sedunia (seperti) minyak, gas dan arang kian meningkat, kalau kerajaan (dan) TNB kreatif, mereka tak perlu menaikan tarif elektrik,”

Teroka tenaga hidro dan angin

Kretiviti dalam pengurusan sumber tenaga tersebut, termasuk meneroka sumber tenaga yang baru atau tenaga yang diperbaharui seperti tenaga hidro.

“Saya akui memang kerajaan telah pun menjana tenaga Hidro seperti di Bakun, Bakun dan dua tiga empangan yang lain, bagaimana dengan sungai yang begitu banyak di Malaysia.”

“Tak cukup kerajaan bina empangan di Sungai Balui (Sarawak) saja, bagaimana dengan sungai-sungai yang begitu banyak khususnya di Pantai Barat Semenanjung (Malaysia) kerana keperluan (pada) sumber tenaga lebih besar berbanding di (Kepulauan) Borneo.”

“Sekiranya kerajaan atau TNB sendiri kreatif, mereka akan membina janakuasa hidro kecil-kecilan atau tenaga angin untuk menampung keperluan sumber tenaga nasional,”

Dalam pada itu, saya ingin turut mengkritik cadangan kerajaan era Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad (dulu Datuk Seri) membina Empangan Bakun di Sarawak.

Dr. Mahathir sepatutnya membina empangan tersebut di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, kerana keperluan perindustrian yang menggunakan sumber tenaga terbanyak menumpu di garis geografi tersebut.

Ekoran itu, saya tidak menafikan bahawa pemilihan Bakun itu mungkin untuk mencipta bajet perbelanjaan yang lebih tinggi untuk kroni-kroni tertentu dalam parti pemerintah.

“Tidak termasuk kos pembinaan empangan bakun yang bernilai RM6 bilion, beberapa pihak mendapat manfaat bernilai lebih kurang RM2 bilion lagi dalam projek menanam kabel elektrik di dasar Laut Cina Selatan hingga ke Tanjong Sedili (Johor) supaya elektrik boleh dibekalkan ke Semenanjung,”

“Kenapa tidak dibina terus empangan Pantai Barat Semenanjung saja, sebab itu saya tak mahu menafikan kalau ada yang mendakwa pembinaan Empangan Bakun tersebut untuk mengkayakan kroni-kroni tertentu saja.”

Tenaga Hijau

Selain meneroka tenaga hidro, saya menasihatkan kerajaan supaya menggalakkan penggunakan tenaga solar sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Mengambil contoh negara Jerman, kerajaan mereka akan memberi insentif kepada rakyat yang menjana kuasa solar untuk keperluan harian.

“Maksimum kuasa yang boleh dijana (adalah) 6 megawatt sedangkan keperluan sumber tenaga harian kurang (dari) 1 megawatt...maka tenaga itu dijual semula kepada syarikat tenaga atau kerajaan yang memberi insentif.”

“Agak-agak rakyat di sana sanggup tak berbelanja lebih 20 ribu dolar suatu satu janakuasa solar yang mini, kalau pembayaran tersebut dilakukan secara ‘auto-sabsidi’ di mana lebih sumber kuasa solar yang dijana dikira sebagai bayaran balik.”

Di sampung itu, saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dengan kerjasama beberapa syarikat yang menjana sumber kuasa memperkenal polisi-polisi sampingan supaya sesuai dengan budaya menggalakkan rakyat menggunakan tenaga dari kuasa solar.

“Mereka perkenal potongan harga 20 peratus hingga 35 peratus umpamanya pagi konsumer yang menggunakan sumber tenaga elektek anatar jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi umpamanya untuk mengurangkan penggunaan ‘tenaga secara mendadak’ khususnya pada waktu berkerja.”

“Tengah malam sampai pagi, sekeluarga yang di rumah betul-betul menggunakan alat elektronik seperti mesin basuh, seterika, pendingn hawa dan sebagainya secara maksima kerana harga lebih murah, maka secara tak langsung mengurangkan mereka menggunakan tenaga pada siang hari atau waktu pejabat.”

“Kalau kos penyaluran mendadak (cost of Distribution) boleh dikurangkan, bermakna kos pengurusan tenaga pun boleh dikurangkan kerana kos ini merupakan salah satu faktor yang digunakan oleh TNB atau kerajaan dalam menentukan tarif elektrik semasa,”

Pengenalan ‘Polisi Mampan’, iaitu polisi ‘menang sama menang’ tersebut sekaligus mengubah paradigma rakyat dan kerajaan dalam menggunakan sumber tenaga elektrik dan tenaga yang diperbaharui.

“Sekarang, penggunaan solar sudah menjadi suatu status di kalangan rakyat pertengahan, kerana rakyat mampu menggunakan (tenaga solar) kerana kerajaan sendiri mengiktiraf mereka dan memang kerajaan berjaya mengubah paradigme mereka dengan pengiktirafan itu,”

Membandingkan dengan kerajaan Jerman, saya menganggap kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai kreativiti dalam menangani masalah bahan bakar dunia yang kian meningkat, malah kerajaan juga gagal merancang polisi penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti di semua negara dalam Kesatuan Eropah (EU).
“Kalau di negara-negara EU, memang kerajaannya mensasarkan 25 hingga 45 peratus penggunaan tenaga domestik pada tahun 2020 kelak mesti dari sumber tenaga yang diperbaharui, kita hanya ada Wawasan 2020 saja sebab kerajaan kita tidak kreatif dan TNB kita juga mungkin tidak kreatif,”

Di mana Bio-Diesel kerajaan?

“Dulu kerajaan bising dengan projek bio diesel sebagai tenaga alternatif, apabila bahan bakar dunia meningkat, di mana projek-projek ini untuk membantu TNB menguruskan sumber tenaga domestik,”

Saya akui bahawa kerajaan dan TNB terpaksa menanggung subsidi disebabkan harga arang batu sedunia yang kian meningkat,saya turut mencadangkan kerajaan menjana tenaga ‘bio ethanol menggunakan bahan buangan domestik.

“Kerajaan selalu kata mereka perlu beri subsidi lebih untuk arang batu dalam (mata wang) USD sedangkan mereka menanggu kos akhir yang lebih kerana rakyat membayar tarif elektri menggunakan mata wang RM (Ringgit Malaysia),”

“Tapi, kalau kerajaan guna tenaga bio ethanol, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan hampas kelapa sawit, adakah perlu menggunakan USD lagi sedangkan ia boleh diperoleh di Malaysia sendiri.”

Kerajaan seharusnya menggunakan bio ethanol bagi menggantikan bio diesel kerana sumber tenaga yang diperbaharui itu boleh dijana menggunakan bahan buangan, sedangkan bio diesel adalah sebaliknya.

Saya juga meminta kerajaan menjalinkan hubungan dengan Mitsui Corp., iaitu syarikat janakuasa dari Jepun yang sekarang ini sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama Sime Darby Berhad, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menghasilkan Bio Ethanol menggunakan hampas kelapa sawit.

Kos Perbelanjaan

Bercakap tentang kos perbelanjaan (cost of financing) yang juga merupakan salah satu faktor dalam menentukan tarif elektrik semasa, saya turut mempersoal tindakan kerajaan memberi konsesi jana kuasa kepada Kumpulan YTL milik Tan Sri Francis Yeoh.

“Kenapa mesti beri konsesi janakuasa elektrik kepada Francis Yeoh dan janakuasa itu tiba-tiba dibina di Kerteh (Terengganu) sedangkan keperluan sumber tenaga terbanyak sebenarnya lebih diperlukan di Pantai Barat Semenanjung,”

“Adakah kedudukan janakuasa di Kerteh itu supaya memudahkan YTL mendapatkan sumber gas yang telah pun kerajaan subsidikan untuk YTL bagi menjana tenaga elektrik domestik.”

Demi meletakkan pusat janakuasa tersebut di Kerteh, saya juga turut memaklumkan bahawa kerajaan era 1980an dahulu telah pun memberikan RM800 juta wang rakyat kepada MRCB untuk menyalurkan sumber tenaga ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

“Lebih kurang RM800 juta digunakan secara membazir untuk memberi subsidi kepada YTL, sedangkan kerajaan hari ini berniat meningkatkan tarif elektrik dan menarik beberapa subsidi yang nyata membebankan rakyat,”

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan niat kerajaan dan TNB sebelum ini untuk membangunkan sumber tenaga yang diperbaharui dengan menggunakan nuklear.

“Baru-baru ini, kerajaan kata nak guna nuklear pula menggantikan arang batu, adakah kerana kos pembinaan prasarana yang begitu besar, lebih kurang RM4 bilion menyebabkan kerajaan dan pihak tertentu begitu berminat untuk menghabiskan wang rakyat,”

Tenaga Berteknologi Baru

Sekiranya kerajaan jujur mahu membangunkan tenaga alternatif berteknologi baru, saya juga ingin mencadangkan kerajaan supaya meneroka sumber tenaga hasil teknologi geothermal.

“Kalau kita guna nuklear yang ditanam dalam bumi, 20 tahun akan datang pun belum tentu akan hilang kesan radiaksi.”

“Kalau guna teknik geothermal iaitu tenaga dihasilkan dengan air yang diwapkan di perut bumi, ia lebih selamat untuk manusia,”

Kerajaan atau TNB juga boleh menjana tenaga ‘gassification’, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan tinja manusia sekiranya kerajaan kreatif.


Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

Hikayat terakhir Khairy dalam Umno  

Posted by Kunta-Kinte

Mohd Rashidi Hasan

KATA pepatah Melayu, 'jika tiada angin masakan pohon bergoyang'. Dalam pepatah Melayu moden, ayat itu diubah sesuai dengan ungkapan 'jika tiada beruk, masakan pokok bergoncang'.

Dalam terjemahan lain pepatah ini disebut sebagai 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok.'

Pepatah moden ini dipinjam dari seorang tokoh politik muda, sewaktu beliau berkuasa satu ketika dahulu. Ayat ini ditujukan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang amat lantang mengkritik kepimpinan PM waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ayat 'beruk-beruk yang menggoncangkan pokok ini', merujuk kepada gangguan terhadap seseorang pemimpin atau sesebuah organisasi. Orang yang menggugat kestabilan seseorang atau sesebuah organisasi, dilabel dengan gelaran beruk.

Istilah beruk dalam politik Malaysia bukannya baru. Ia sudah lama diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang pernah menerbitkan cerpen satira politik bertajuk Maharaja Beruk oleh Yahaya Ismail.

Kepada siapa gelaran beruk itu dirujuk, atau mengapa beruk dijadikan modal politik bukan persoalan yang hendak dibahaskan sekarang.

Persoalan yang hendak dilontarkan penulis, dengan meminjam pepatah Melayu moden, 'beruk-beruk manakah' yang menggoncangkan pokok pemuda Umno, sehinga kedudukan ketua nya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bergoyang?

Bukan goyang sikit-sikit, tetapi bergoyang macam dipukul ribut, sehingga ada desas desus mengatakan, di kalangan exco pemuda Umno mahukan Khairy meletakkan jawatan sebagai Ketua Pemuda, kerana didakwa tidak efektif.

Pemuda Umno menunjukkan 'jalan keluar' kepada Khairy, bukan semata-mata kerana beliau tidak efektif. Soal efektif atau efisyen seseorang dalam menjalankan tugas, tidak penting dalam Umno.

Untuk mengelak persepsi negatif terhadapnya, Khairy membuat kenyataan politik, menafikan wujudnya masalah dalam pemuda Umno. Namun, pergeseran dengan beberapa orang exco pemuda, khususnya Hishamuddin Yahya, jelas menunjukkan beliau tidak mendapat kepercayaan dari kalangan exconya sendiri.

Lebih parah lagi mereka dikatakan memberikan tekanan hebat, dengan mendesak Khairy meletakkan jawatan ketua pemuda.

Khairy seharusnya memahami, mengapa Umno sudah tidak memerlukan khidmatnya lagi. Hakikat ini memang wujud. Bukan kerana Khairy dikecam anggota exconya. Indikator yang paling besar bahawa Umno tidak mengkehendaki beliau ialah, apabila Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, tidak melantiknya ke sebarang jawatan dalam kerajaan.

Sebelum ini ada laporan mengatakan, Khairy tidak diberikan jawatan, kerana Najib mahu beliau menumpukan tugas mempertingkatkan sokongan golongan muda terhadap Umno. Ini semua alasan politik semata-mata. Sengaja hendak mencari 'excuse' untuk tidak menjatuhkan 'air muka' Khairy dan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Najib sudah menunjukkan pendiriannya dengan jelas. Dalam pertemuan pemuda Umno di Putrajaya, 18 Februari lepas. Najib enggan memberikan komitmen untuk melantik Khairy dalam kabinetnya, walaupun ada suara yang mahu beliau diberikan jawatan.

Khairy seharusnya memahami mengapa Najib enggan melantik beliau. Pertamanya, sudah tentu pelantikan Khairy akan dibidas Dr Mahathir. Semua orang tahu Mahathir memang betul-betul anti dengan Khairy. Najib tidak berani lantik Khairy kerana takut diserang Mahathir.

Faktor kedua, barangkali ada kebenarannya cakap-cakap dalam Umno, wujud kerenggangan antara Abdullah dengan Najib dahulu, antaranya berpunca daripada Khairy, dan perkara ini mendorong ramai kalangan penyokong Najib tidak menerima kehadiran Khairy.

Najib sudah menunjukkan sikapnya dengan jelas terhadap Khairy, sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai PM ke-6, beliau menamakan Naib Ketua Pemuda Umno, Dato' Razali Ibrahim sebagai Timbalan Menteri.

Lebih jelas lagi apabila beliau melantik Dato' Mukhriz Mahathir yang kalah dalam pertandingan tiga penjuru merebut jawatan ketua pemuda Umno, sebagai Timbalan Menteri juga.

Khairy tidak dilantik apa-apa jawatan. Nasib Khairy sama dengan nasib Dato' Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan ketua pemuda Umno pada tahun 1993 yang lalu.

Zahid tidak dilantik sebarang jawatan kerana beliau dikenali sebagai 'budak Anwar' (bekas TPM, Dato' Seri Anwar Ibrahim) yang dikatakan banyak mengkritik PM Mahathir ketika itu. Zahid tidak dilantik kerana tidak disenangi Mahathir.

Jadi dalam kes Khairy ini, apakah tidak mungkin, Najib enggan melantik Khairy dalam kabinetnya, kerana Najib tidak menyenangi Khairy? Khairy bukan setakat budak, malah menantu kepada bekas PM, Abdullah.

Soalnya, kita tidak harus lupakan sejarah politik Umno pada tahun 1998, iaitu, wujud persepsi di kalangan penyokong Najib, bahawa yang sebenarnya layak menjadi TPM selepas Anwar disingkirkan ialah Najib, kerana Najib adalah Naib Presiden Umno yang memenangi undi paling tinggi dalam pemilihan Umno.

Mereka beranggapan tindakan Mahathir melantik Abdullah, sudah melambatkan peluang Najib menjadi PM, sejak Mahathir meletakkan jawatan pada bulan November 2003 hingga April 2009.

Perkara ini diakui Mahathir sendiri. Acapkali beliau menyatakan kekesalannya melantik Abdullah menjadi PM. Kebencian Mahathir dan termasuk puak Najib, terhadap Abdullah ketika itu disekalikan dengan kebencian terhadap Khairy.

Bukan soal Khairy tidak layak menjadi ketua pemuda atau anggota kabinet. Soal yang besarnya ialah, Khairy memulakan karier politiknya dengan cara yang tidak disenangi oleh orang-orang Umno. Apabila wujud bad background ini, laluan Khairy untuk melonjak dalam politik Umno tidak akan mudah. Khairy melalui keadaan yang amat sukar sebenarnya.

Masalahnya Khairy dilihat begitu 'arrogant' sejak bapa mertuanya menjadi TPM dan PM ke-5. Barangkali sifat Khairy tidak begitu, tetapi kedudukannya yang dekat dengan tampuk kekuasaan, menjadikan persepsi orang Umno terhadapnya, sedemikian rupa.

Menjadi lebih bermasalah kepada Khairy, bukan sekadar puak-puak dalam Umno ini tidak menyukai Abdullah dan beliau sahaja. Malah, segala anak beranak, rakan taulan dan kroni-kroninya, semua sekali hendak 'dibakul sampahkan'.

Orang Umno sendiri yang membangkitkan betapa kemarahan mereka terhadap abang ipar Khairy, Dato' Kamaludin Abdullah, kroni-kroni di New Straits Times seperti Dato' Seri Kalimullah Masheerul Hassan dan Brendan Pereira. Turut dikaitkan ialah Dato' Patrick Lim atau Patrick Badawi. Dari sudut sektor korporat, sebelum kejatuhan Abdullah, Khairy dan kroni dikaitkan dengan syarikat Scomi, ECM-Libra, Equine Capital dan juga penganjur pertandingan Monsoon Cup.

Itu belum masuk isu politik. Bagaimana 'geramnya' orang-orang Umno yang anti Khairy, terhadap langkah-langkah politik Khairy sebelum menang jawatan ketua pemuda. Malah semasa menjadi naib ketua, Khairy di'boo' beberapa kali dalam perhimpunan agung umno.

Jika hendak disenaraikan terlalu banyak tuduhan orang Umno terhadap Khairy. Terlalu banyak alasan untuk mereka tidak menerima Khairy dalam Umno lagi. Penulis tidak berhasrat untuk mengkritik Khairy, tetapi fakta-fakta yang dipaparkan ini, atau yang dikatakan bad background inilah sebenarnya, yang mendorong exco pemuda Umno, berani mendesaknya meletakkan jawatan.

Bad background inilah sebenarnya yang bakal mempercepatkan kejatuhan Khairy dan susur galur politiknya tercatat dalam hikayat Melayu moden. Untuk menyimpulkan kedudukan politik Khairy, penulis memetik perbualan telefon dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini.

"Hai, Rashidi, apa khabar," ujar Guan Eng menelefon penulis.

"Hai CM (Chief Minister), saya ok," balas penulis.

"Saya nak beritahu you, saya tengah bengang sekarang ini," katanya.

"You bengang dengan siapa pulak, Utusan (Utusan Malaysia) lagi ke?" soal penulis.

"Bukan, bukan. Itu Utusan satu hal, sekarang saya bengang dengan Khairy. Saya mahu bagi penjelasan pada dia pasal isu Maulid. Dia ada cakap dia mahu penjelasan. Jadi saya call dia. Tapi saya call dia beberapa kali, dia tidak jawab. Lepas itu saya guna satu saluran untuk reach (dapatkan) dia. Itu orang cakap, dia sudah beritahu, dia cakap Khairy tahu saya call, nanti dia akan call balik. Tapi sampai sekarang dia tiada call," ujar Guan Eng panjang lebar.

"Tak payah call dia lah, dia mesti tak mahu cakap dengan you punya," kata penulis.

"Ya lah, saya ingat pun dia tak berani mahu cakap dengan saya. Saya hanya mahu bagi penjelasan saja. Saya mahu dia faham ini semua fitnah," katanya.

"Haiya, kalau itu macam penatlah kerja CM, semua orang hantam you mahu kasi call, biarlah dia," usik penulis.

"Haiya, saya pun hairanlah, apa ini ketua pemuda. Saya ingat dia 'miskin' la. Tak faham kerja kerajaan. Ini pasal (kerana) dia belum jadi Menteri, Timbalan Menteri. Apa ini Oxford (Universiti Oxford) punya orang, saya ingat dia profesional, tapi tak profesional," rungut Guan Eng.

"Tak apalah CM, nanti dia senang-senang dia call you lah. Orang politik selalu itu macam," balas penulis.

"Ha, ha, ha," kami sama-sama ketawa.

Apa pun Khairy harus sedar bahawa sudah tiada tempatnya dalam Umno. Lambat laun, beliau terpaksa keluar juga, sama ada secara paksa atau dikalahkan dengan cara yang amat memalukan dalam perhimpunan agung Umno akan datang.

Keranda politiknya sedang dipersiapkan oleh golongan penentang, hanya menunggu ketukan paku terakhir sahaja.

Dari "Mahathir vs Abdullah" ke "Muhyiddin vs Najib"  

Posted by Kunta-Kinte

Khabar mula tersebar bahawa Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddn Yassin sudah tidak sabar-sabar lagi untuk melawan ketuanya, Najib Razak. Malah, analisis ahli akademik Greg Lopez menjangkakan bahawa "Najib yang baru memegang tampuk kuasa mulai April 2009, kini dalam bahaya gagal menyempurnakan tempoh satu penggal sebagai Perdana Menteri". 【Baca: Is Najib on his way out?

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang menghangatkan "bahang" apabila mencabar dan mendesak Muhyiddin (gambar kanan) untuk menyatakan pendirian sama ada mendukung gagasan "1Malaysia" oleh Najib, ataupun mewarisi legasi Mahathir Mohamad. Lantas Muhyiddin Yassin menjadi tumpuan media, malah setiap gerak-gerinya bakal diteliti di bawah kanta pembesar, termasuk berapa kali beliau menyebut "1Malaysia" dalam ucapan selepas ini.

Kisah tikam-menikam antara ketua dengan timbalannya bukanlah sesuatu yang baru dalam politik. Ketua akan sentiasa mengawasi dan menyekat pengaruh timbalannya, di samping timbalannya pula akan menunggu dan mencari kesempatan untuk mengorak satu lagi langkah ke depan...

Persepsi terhadap Najib terlalu negatif

Sebelum Najib menjangkau kemuncak kuasa, tidak kurang desas-desus yang mengatakan bahawa beliau tidak akan dilantik sebagai PM Malaysia. Dari perhitungan politik Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak yakin bahawa Najib akan melindungi kepentingannya. Untuk sesetengah anggota UMNO pula, mereka khuatir bahawa Najib yang terjerat dengan pelbagai tuduhan dan persepsi negatif mudah terdedah kepada serangan pembangkang. Dari segi moral, Najib dikaitkan oleh pembangkang dengan isu pembunuhan Altantuya Shaariibuu; dari segi integriti pula, beliau tercalit dengan isu komisen pembelian kapal selam Scorpene dan jet Sukhoi.

Sekali imbas, zaman "reformasi" menjadikan Mahathir Mohamad sebagai ikon "zalim", "rasuah"; dan Abdullah Badawi pula disifatkan sebagai "lemah", "lambat" sebelum PRU ke-12. Pemimpin akar umbi mendapati diri mereka sukar untuk menangkis serangan sedemikian yang dilontarkan oleh pembangkang dalam ceramah politik. Maka, Najib yang sudah terpaut dengan persepsi negatif sebelum menjadi PM ini sebenarnya adalah beban dari kaca mata mereka.

Muhyiddin puas sekadar TPM?

Dalam situasi sedemikian, Muhyiddin Yassin menjadi calon PM yang boleh "dipertimbangkan." Lebih-lebih lagi, apabila Mahathir Mohamad sudah tidak sabar dengan Najib yang masih keraguan untuk mencabar Abdullah Badawi seketika dahulu, nama Muhyiddin pula digilap berkali-kali olehnya.

Gandingan pimpinan "Najib-Muhyiddin" hari ini sebenarnya terhasil daripada keberanian Muhyiddin Yassin untuk mendesak agar Abdullah Badawi berundur. Dari sudut ini, Najib boleh dikatakan mengecapi hasil daripada "risiko" yang ditanggung Muhyiddin setahun yang lalu.

Ironinya, jikalau dihitung dari segi umur pula, Najib menjadi tanda noktah kepada riwayat politik Muhyiddin Yassin di sebaliknya. Muhyiddin Yassin, 63, enam tahun lebih tua daripada Najib Razak. Dengan kata lain, semakin lama Najib kekal sebagai PM, semakin tipis peluang Muhyiddin menjadi penggantinya.

Seandainya Muhyiddin tidak puas sekadar menjadi TPM, maka beliau perlu bertindak untuk menyekat Najib, sekurang-kurangnya dalam tempoh tidak melebihi dua penggal. Dalam sistem politik Malaysia (buat setakat ini), sesiapa yang bertekad untuk menjadi PM wajib meraih sokongan UMNO terlebih dahulu.

Gelanggang silat politik di UMNO

Dan di situlah gelanggang silat politik antara Muhyiddin dengan Najib. Muhyiddin memiliki kelebihan dalam UMNO apabila tampil dengan imej pemimpin yang lantang bersuara dalam isu kepentingan Melayu dan Islam. Sebaliknya, Najib berada dalam gelanggang politik yang lebih luas, perlu mengambil kira tuntutan dan keperluan semua pihak.

Bertitik tolak daripada itu, "1Malaysia" dilaungkan untuk memikat undi semua kaum. Najib memainkan peranan untuk menunjukkan kepada masyarakat bukan Melayu-Islam dan pengundi bandar bahawa UMNO sedia berubah. Muhyiddin pula, sebaliknya memainkan peranan untuk meyakinkan masyarakat Melayu-Islam dan penyokong UMNO bahawa kepentingan Melayu dan Islam tidak terjejas berikutan "perubahan UMNO".

Pendekatan yang digunakan kedua-dua mereka sebenarnya tidak selari dan saling bercanggah. Dan di celah-celah inilah Lim Kit Siang menusuk jarumnya. Persoalannya mudah, apakah Muhyiddin sudah bersedia untuk menggulingkan Najib?

Proses menggulingkan Pak Lah

Persoalan ini semestinya mencungkil minat orang ramai jikalau dilontarkan. Tetapi, seandainya diimbas kembali proses menggulingkan PM kelima, Abdullah Badawi yang berakhir belum genap setahun, kita akan mendapati bahawa syarat yang ada pada Muhyiddin sebenarnya belum matang.

Mahathir melemparkan kritikan terbukanya terhadap Abdullah buat kali pertama pada 7 Jun 2006. Sekiranya dikira dari tarikh tersebut, proses penggulingan Abdullah Badawi sebenarnya mengambil masa lebih daripada dua tahun. Malah, mustahil Abdullah mengundur diri seandainya tidak berlaku tsunami politik pada 8 Mac 2008.

Dalam tempoh lebih daripada dua tahun ini, Mahathir menggunakan segala kritikan tajamnya, sindiran sinisnya, malah mengambil langkah drastik untuk keluar parti sebagai desakan terhadap Abdullah. Bahkan, rombakan semula puak-puak berkepentingan dalam UMNO, misalnya beberapa puak "anti-Pak Lah" bersatu untuk menyerang bersama Abdullah-Khairy, menjurus kepada pencapaian matlamat itu.

Kedudukan Abdullah tidak goyah seandainya hanya tekanan dari dalam parti. Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan melalui media internet terhadap saham dan harta yang dimiliki keluarganya, serangan Mahathir sehabis-habisnya gagal menjatuhkan Abdullah dari tempatnya, sebelum PRU ke-12.

Hanya apabila tsunami politik mengombak pada 8 Mac 2008, barulah arus tekanan dalam parti semakin menderas. Biarpun begitu, Abdullah (gambar kanan) masih mampu bertahan pada tempatnya, sehingga kekalahan besar UMNO-BN dalam PRK Permatang Pauh pada Ogos 2008.

Natijah pergelutan UMNO

Melaga-lagakan musuh politik bukanlah taktik baru, malah sudah berkali-kali pemimpin PAS dilagakan apabila pemimpin PKR mahupun DAP mengambil pendekatan yang kelihatan tidak selari dengan apa yang dihujahkan PAS secara tradisionalnya. Jelas, Muhyiddin belum memiliki syarat-syarat seperti di atas untuk menamatkan riwayat politik Najib.

Namun, persoalan yang lebih penting, apakah natijahnya daripada pergelutan kuasa dalam UMNO? Apakah masyarakat Malaysia perlu mengulangi satu proses yang sama, kembali kepada titik asal setelah habisnya satu putaran di bulatan politik?

Ketika Mahathir melawan Abdullah Badawi melalui Najib, Abdullah ditampilkan oleh pembangkang sebagai pemimpin yang cuba membawa perubahan kepada UMNO, sementara Najib ditonjolkan pula sebagai pendukung Mahathirisme.

Tetapi, apabila Najib mengambil alih tampuk kuasa, beliau pula ditonjolkan sebagai pemimpin yang bertekad membawa perubahan kepada UMNO, di samping Muhyiddin Yassin memainkan peranan sebagai batu penghalang perubahan, kini dituduh sebagai pewaris legasi Mahathir.

Mungkin ada yang mendakwa bahawa "perubahan" yang dibawa oleh Abdullah Badawi, walaupun tidak mendatangkan hasil yang jelas, tetapi setidak-tidaknya membuka sedikit ruang, yang akhirnya menjurus kepada tsunami politik. Pertarungan antara Mahathir dengan Abdullah, walaupun berkisarkan perebutan kuasa dan kepentingan, tetapi membuka ruang kebebasan bersuara secara tidak sengaja. Pertarungan itu memperlihatkan bagaimana Mahathir yang mencabul kebebasan bersuara semasa pemerintahannya, akhirnya memilih media internet untuk membalas serangan daripada media arus perdana yang dikuasai Abdullah.

Namun demikian, jika dilihat kepada "pergelutan" yang ada sekarang, masyarakat kita sebenarnya tidak dimanfaatkan. Menjuarai isu perkauman dan agama telah memberi laluan kepada pencerobohan rumah ibadat, peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam tempoh puluhan tahun kebelakangan.

Malah, apakah ruang kebebasan dan demokrasi terbuka luas kerana "pergelutan", atau "ketidak-selarian" antara orang nombor pertama dan kedua dalam negara ini? Apakah "rasuah", "kebebasan", "demokrasi", "keadilan" dibangkitkan sebagai isu, untuk menyelesaikan masalah Malaysia pada hari ini?

Jawapannya amatlah jelas. Cuma, mengapa ghairah sangat untuk berputar-putar di bulatan politik yang sama?


Sumber: Merdeka Review

Minyak K'tan: Mengapa PM Membisu? - Husam Musa  

Posted by Kunta-Kinte

PASIR MAS, Feb 24 — Di sebalik pertikaian tuntutan royalti minyak Kelantan sebanyak lima peratus, Pengerusi Jawatankuasa Petroleum Negeri Kelantan Datuk Husam Musa mempersoalkan kredibiliti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang beliau mendakwa sebagai hanya membisu.

Husam berkata demikian sebagai reaksinya terhadap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sejak kebelakangan ini dilihat terlalu aktif mengatur pelbagai program dengan mendakwa Kelantan tiada hak mendapatkan bayaran royalti lima peratus.

“Sepatutnya Perdana Menteri yang bercakap pasal ini, dan kita memang inginkan penjelasan Perdana Menteri sendiri.

“Ambo (saya) minta Datuk Pa tak usah campur hal ini, biar Perdana Menteri sendiri yang bercakap.

“Sebab dia (Mustapa) bukan menteri berkaitan dalam perkara ini. Rakyat semua tahu,” kata beliau dalam ceramah umum dihadiri kira-kira 4,000 penyokong PAS di stadium mini Pasir Mas, dekat sini malam tadi.

Kerajaan negeri membuat tuntutan tersebut awal tahun lalu. Semalam Husam mengeluarkan penjelasan lapan perkara dengan menekankan Kelantan layak menerima tunggakan bayaran royalti minyak sebanyak RM2 bilion, bukannya RM20 juta yang diumumkan Mustapa baru-baru ini.

Namun isunya menjadi hangat apabila kerajaan persekutuan cuba menafikan tuntutan itu dengan memutuskan hanya untuk membayar wang ihsan. Mustapa menidakkan hak tersebut semasa kempen pilihan raya kecil Manek Urai tahun lalu dan ketika ceramah perdana balas baru-baru ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata, PAS yang begitu terdesak perlu menerima kenyataan royalti minyak bukan milik negeri seperti digembar-gemburkan selama ini. Husam menegaskan pihak kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan tersebut walau dengan apa cara termasuk terpaksa bawa isu berkenaan ke mahkamah kelak.

“Kita lakukan semata-mata kerana rakyat. Dan, kita yakin rakyat sentiasa bersama kita dalam memperjuangkan hak ini,” katanya.

Satu taklimat berkaitan dengan isu royalti minyak kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan akan diadakan pada Ahad ini, yang akan disampaikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas. “Tun sudah mengesahkan untuk hadir pada majlis itu. Selepas itu kita akan bincang balik apa tindakan seterusnya berhubung perkara ini,” ujarnya.

Menurut Harakahdaily hari ini, Kelantan memperbetulkan kenyataan yang dibuat kerajaan Pusat di mana tunggakan royalti yang perlu dibayar kepada kerajaan negeri sebanyak RM2 bilion dan bukannya RM20 juta.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Negeri, Datuk Husam Musa berkata, bayaran semasa pula kerajaan negeri patut menerima sebanyak RM600 juta mengikut hasil pengeluaran 2008. Menurut beliau, royalti sebanyak RM20 juta hanya diperolehi dari telaga Bumi Selatan yang dikeluarkan sejak 2008.

“Yang kita tuntut tunggakan sahaja tidak kurang daripada RM2 bilion dan bayaran semasa tidak kurang RM600 juta.

”Kita berharap kerajaan Malaysia dapat memperbetulkan semula pendirian mereka secepat mungkin supaya tidak menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. (AK)

Apabila perlembangaan ditafsir seperti surat wasiat...  

Posted by Kunta-Kinte

Sarjana Perlembagaan menyatakan apabila Mahkamah menafsirkan Perlembagaan seperti menafsirkan surat wasiat ( a will ) , Perlembagaan akan mati. Pada 5/2/2010 yang lalu Perlembagaan Perak boleh dikatakan telah disytiharkan mati apabila 5 orang Hakim Mahkamah Persekutuan menafsirkan Perlembagaan Perak seperti menafsirkan surat wasiat.

Sebagai peguam kepada Nizar yang ada di Mahkamah pada hari itu dan mendengar Hakim membaca keputusan kes Nizar v Zambry ianya sama seperti mana Abdul Wahub mendengar peguam Abdul Wahab dan Abdul Wahib membaca wasiat bapa mereka Ismet Ulam Raja di dalam filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee. Abdul Wahib dan Abdul Wahib tanpa segan silu menipu dan membuli Abdul Wahub dengan berselindung di atas kalimah demokrasi terpimpin.

Di dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan menolak hujah peguam Nzar tentang keperluan undi tidak percaya dibuat di dalam sidang DUN Perak bagi menentukan sama ada Nizar benar-benar kehilangan kepercayaan ahli-ahli DUN. Alasan Mahkamah menolak hujah itu amat lucu sekali. Alasannya adalah tiada dinyatakan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB mesti dibuat melalui undi tidak percaya.

Jawapan mudah kepada alasan itu adalah jika perkataan undi tidak percaya ada di dalam Artikel 16 ( 6 ) itu tidak perlulah Nizar pergi ke Mahkamah untuk meminta Mahkamah menafsirkan Perkara 16 ( 6 ) itu ?

Ya, benar memang tiada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak frasa yang menyatakan bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB dibuat mesti dibuat melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tapi bukankah dalam Perlembagaan banyak perkara lain yang juga tidak dinyatakan secara spesifik. Sebagai contoh wujudkah di dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana peruntukkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ? Jawabnya tidak ada .

Kalau menggunakan logik Mahkamah Persekutuan jawatan yang disandang oleh Muhyiddin sekarang adalah tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mengapakah Najib masih melantik Muhyiddin sebagai TPM –jawatan yang tidak wujud dalam Perlembagaan.

Mari kita lihat perkara lain yang juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan tetapi diamalkan selama ini di negara ini. Kewujudan pelbagai jawatankuasa di dalam Parlimen dan Kabinet juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan. Peruntukkan masa di dalam sidang Parlimen bagi ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri juga tidak ada di dalam Perlembagaan.

Persoalannya mengapakah dalam keadaan ketiadaan peruntukan khusus tentang perkara –perkara yang saya nyatakan tersebut , negara ini masih mengamalkan dan melaksanakan perkara-perkara tersebut ?

Jawapannya adalah “constitutional convention” ( amalan Perlembagaan ). Amalan Perlembagaan, menurut Sir Ivor Jennings adalah satu daripada sumber Perlembagaan. Amalan Perlembagaan , kata Ivor Jennings adalah “ the flesh which clothe the dry bones of the law” ( adalah daging yang menutupi tulang-tulang kering undang-undang ). Ia adalah sepertimana kata sarjana Perlembagaan “ peraturan yang bukan legal ( sah ) bagi menjadikan peraturan yang sah berfungsi.” ( “ the non legal rules which make the legal rules work.” ). Secara mudahnya amalan Perlembagan adalah menambah apa yang kurang di dalam Perlembagaan.

Jika Mahkamah Persekutuan menolak hujah Nizar bahawa tidak perlu ada undi tidak percaya di dalam sidang DUN bagi menentukan sama ada Nizar masih mendapat kepercayaan di atas alasan peruntukkan mengenai undi tidak percaya tidak ada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak maka hujah yang sama juga kita boleh gunakan bahawa tidak ada juga dinyatakan di dalam Perkara 16 ( 6 ) bahawa cara menentukan Nizar hilang kepercayaan perlu dibuat di dalam Istana dengan kehadiran Najib ( yang bukan ADUN Perak ) tanpa kehadiran Nizar sebagai MB yang masih sah ketika itu. Bukankah Perlembagaan Perak menyatakan segala tindakan Sultan adalah atas nasihat seorang MB iaitu pada ketika itu nasihat Nizar wajar diambil terlebih dahulu.kerana beliau masih MB yang sah.

Dalam keadaan kedua-dua cara tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan ( sama ada undi tidak percaya dalam DUN atau dibuat di luar DUN seperti di Istana ) Mahkamah seharusnya melihat kepada amalan Perlembagaan. Sudah tentu amalan Perlembagaan yang boleh dikatakan diterima pakai di dalam semua negara di dunia ini adalah kaedah untuk menentukan seorang MB sudah hilang kepercayaan adalah dengan melalui undi tidak percaya di dalam DUN. Cara tersebut lebih bertamadun dan demokratik.

Satu lagi perkara lucu yang Mahkamah Persekutuan lakukan adalah apabila ia menerima pakai apa yang dikatakan oleh Y.M Raja Azlan Shah J. ( pada masa itu ) di dalam kes Loh Koi Choon v Kerajaan Malaysia bahawa di dalam menafsirkan Perlembagaan Mahkamah tidak perlu melihat atau terikat kepada kes-kes di negara lain seperti kes di India .

Tapi dalam masa yang sama Mahkamah Persekutuan telah merujuk dan menerima pakai satu kes di India iaitu kes Mahabir Chandra Prasad Sharma, petitioner v Prafulla Chandra Ghose and others, Respondents AIR 1960 Cal. 198 bagi menyokong penghakimannya bahawa seorang Gabenor ada kuasa memecat Ketua Menteri.

Yang lucunya bagaimanakah Mahkamah Persekutuan boleh dengan secara cuai mengguna pakai kes India tersebut untuk menyokong hujah bahawa Sultan juga boleh memecat Nizar jika Nizar enggan meletakkan jawatan

Tidakkah Mahkamah sedar bahawa di dalam Perlembagaan India ada peruntukkan yang jelas dan terang bahawa jika seorang Ketua Menteri enggan letak jawatan setelah diarahkan oleh Gabenor, Gabenor mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri. Wahai para hakim yang digelar orang bijaksana tunjukkan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak peruntukkan yang menyatakan bahawa Sultan ada kuasa memecat Nizar jika Nizar enggan letak jawatan ?

Kalau tidak ada bagaimanakah kamu boleh menggunakan analogi dengan kes di India yang secara jelas mempunyai peruntukkan yang berbeza.

Kalau inilah standard Mahkamah Persekutuan bagaimanakah rakyat boleh menghormati keputusan tersebut ? Masa akan menentukan bagaimana generasi akan datang akan pasti memandang jijik keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana generasi sekarang sedang mula melakukannya

Kes Perak menunjukkan bahawa betapa mudahnya sebuah Kerajaan boleh jatuh tanpa melalui proses yang berlaku di dalam sidang DUN. Di mana Kerajaan itu jatuh bergantung di mana ahli poltik itu bertemu Sultan. Jika dia bertemu Sultan di Istana, Kerajaan itu boleh jatuh di Istana. Jika ia bertemu Sultan di wad hospital di wad hospital itulah kerajaan itu akan jatuh. Begitulah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan .

Hari ini Kerajaan Nizar jatuh di istana apabila Najib berjumpa Sultan di Istana . Siapa tahu akan datang Kerajaan Najib pula akan jatuh di padang golf jika ditakdirkan Anwar Ibrahim atau Ustaz Abdul Hadi Awang berjumpa Yang DiPertuan Agung di atas padang golf. Ketika itu Najib hanya boleh perhatikan kerajaannya bergolek sepertimana bergoleknya bola golf masuk ke dalam lubang !!!


Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.
http://peguampas.blogspot.com/

Betulkah Muhyiddin Dan Najib Sudah Bermasalah?  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Mohd Sayuti Omar

KENAPA Muhyiddin Yassin perlu melayan cabaran Lim Kit Siang kalau beliau tidak ada apa-apa masalah dengan Najib Razak. Muhyiddin sepatutnya senyap tanpa memberi apa-apa reaksi yang membolehkan orang membuat berbagai persepsi terhadap dakwaan Lim Kit Siang itu.

Bila beliau latah memberi reaksi agak keras begitu, ia menunjukkan beliau ada masalah dengan Najib. Bahawa pertentangan beliau dengan Najib mengenai gagasan atau slogan 1 Malaysia memang berlaku.

Dalam dunia politik penafian bererti benar, manakala diam bererti tidak menafikan tuduhan orang terhadap kita. Begitu juga bila Muhyiddin menafikan dakwaan Lim Kit Siang yang beliau tidak sekata dengan Najib ia memberi gambaran dan pengertian tuduhan itu sebagai benar.


Dengan mengatakan Lim Kit Sing penuh dengan masalah apabila memberi tafsiran beliau tidak seiya sekata dengan Najib ia bukan menyelesaikan masalah sebaliknya menambah masalah. Apa lagi Muhyiddin kounter dakwaan Lim Kit Siang itu sebagai tektik pembangkang untuk melaga-laga beliau dengan Najib.

Ulas dan kenyataan belas Muhyiddin itu berbahaya. Lebih baik beliau mendiamkan diri dan tidak menjawab dan membiarkan keadaan memberi jawaban sendiri. Dengan tindakan itu menyebabkan pemerhati politik akan mula memerhati gerak geri dan hubungan beliau dengan Najib. Kalau sebelum ini tidak terlintas beliau bermasalah dengan Najib apabila beliau menjawab begitu menjadikan orang mula berfikir lain.

Orang akan beranggapan Lim Kit Siang tidak sengaja berkata-kata begitu kerana dia bukan burung pungguk ataupun burung tiong pandai bercakap tanpa memahami apa yang dicakapnya. Lim Kit Siang adalah sang kancil.

Secara psikologi juga bila beliau melenting dengan menempelak Lim Kit Siang di dalam kepalanya penuh masalah, orang akan mempercayai atau pun orang akan mula membelek dari juring dan sudut manakah Muhyiddin tidak suka dengan gagasan 1 Malaysia. Selepas ini semua orang akan memerhati gerakan body, kata-kata dan hubungan ghaib antara keduanya. Hatta kalau mereka berdua berada di meja makan ianya akan diperhatikan.

Orang juga kini akan mulai teperasaan yang Muhyiddin tidak begitu bersungguh dalam memprojekkan 1 Malaysia. Memangpun dalam ucapan politiknya jarang Muhyiddin menyebut perkataan 1 Malaysia. Hanya semasa bersama Najib di satu-satu majlis sahaja Muhyiddin mengangkat tanggan meluruskan telunjuk sambil melaungkan “1 Malaysia”. Itu belum dapat ditentukan apakah laungan Muhyiddin itu senyaring dan sekuat Najib dan Rosmah Mansor.

Apa lagi sebelum ini pun sudah terdengar dari kalangan ahli politik Umno sendiri yang Muhyiddin tidak berapa berminat dengan 1 Malaysia. Mislanya beberapa perubahan dasar dan polisi Najib yang memberi ruang luas kepada bukan Melayu dalam bidang pendidikan dan iktisad tidak disetujui oleh Muhyiddin. Ada yang mengadaikan Muhyiddin tidak setuju cara Najib mengadaikan kepentingan Melayu kerana ghairah untuk mengekalkan kuasa.

Bagi Muhyiddin langkah Najib itu dilihat begitu liberal sehinggakan pihak parti lawan beranggapan Umno sudah terdesak.

Secara diam Muhyiddin dikatakan sudah membuat protes dalaman. Muhyiddin yang dikatakan di remote control oleh Mahathir Mohamad kurang selesa dengan tindakan Najib. Mahathir pula telah menggunakan Muhyiddin untuk menzahirkan rasa tidak senang beliau atas beberapa polisi dan dasar yang diperkenalkan oleh Najib. Beliau tidak bersuara sendiri kerana dia juga ada kepentingan di mana mengharapkan anaknya dibela sebaik mungkin oleh Najib.

Sebenarnya cerita pertentangan antara perdana menteri dengan timbalan perdana menteri sudah meluas dalam kalangan Umno atasan. Apa lagi di kalangan ‘god father’ sudah pun diperbicangan dari masa ke semasa. Misalnya satu majlis yang berlangsung di Bangsar, Kuala Lumpur beberapa bulan lalu telah menyebut secara terang yang kumpulan itu kurang senang dengan tindak tanduk Najib. Sudah ada suara kurang percaya kepada Najib dalam soal menjaga kepentingan Melayu.

Seorang veteran Umno yang sebelum ini begitu beriya mahukan Najib sudah mula berkata; Najib kini sudah mulai buat onar, maka beliau perlu dijatuhkan.

Apakah perbicangan dalam majlis berkenaan sudah terhidu oleh Kit Sing menyebabkan beliau berani mengatakan bahawa hubungan Muhyiddin dengan Najib mula bermasalah!


http://www.msomelayu.blogspot.com/

Penderhaka: Tok Pa Ungkit RM9.3 Juta,tapi rampas RM 1 bilion  

Posted by Kunta-Kinte

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong dakwaan rakyat Kelantan bahawa Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed adalah penderhaka kerana enggan menyokong perjuangan rakyat Kelantan menuntut royalti minyak dari Kerajaan Persekutuan yang bernilai RM 1 Bilion.

Beliau sepatutnya malu kepada ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang begitu nekad menyokong perjuangan rakyat Kelantan walaupun tahu akibat perbuatannya itu boleh menyebabkannya dipecat dari Umno. Tengku Razaleigh tahu untuk membezakan yang mana satu hak rakyat dan yang mana satu hak Kerajaan Persekutuan.

PAS mengecam surat layang di edarkan bagi memburuk-burukan imej ahli parlimen Gua Musang itu. Adalah tidak wajar beliau menjadi mangsa sedangkan seluruh rakyat berdiri diatas perjuangan yang sama dan menolak pandangan Mustapa yang jelas menyeleweng dari fakta sebenar.

PAS juga kesal kerana Mustapa mengungkit dana RM 9.3 juta yang digunakan bagi projek pembangunan Medan Tuan Padang, Pasar Siti Khadijah dan Medan Usahawan Perbadanan Stadium Kelantan, walhal itu sememangnya hak dan duit rakyat Kelantan bukan Umno.

Mustapa lupa bahawa segala hasil cukai kastam, hasil saman trafik dan pelbagai hasil lain yang dikutip dinegeri Kelantan telah banyak disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan. Dan tidak sepatutnya menjadi isu jika Kelantan menerima semula peruntukan itu dari Persekutuan dan kerana duit itu bukan datang dari poket Mustapa untuk diungkit-ungkit.

Amat memalukan kena pemberian kecil itu diungkit semula sedangkan rakyat Kelantan kini menuntut dana yang menjadi hak mereka iaitu duit royalti minyak bernilai RM 1 Bilion.

Hanya kerana Kelantan diperintah oleh PAS, Mustapa dan Umno mencipta pelbagai alasan untuk menjustifikasikan tindakan mereka. Hakikatnya rakyat sedar bahawa tindakan itu dibuat atas dasar politik, sama seperti apa yang dilalui oleh Terengganu ketika diperintah PAS.

Jika di Perak Umno merampas kuasa rakyat, di Kelantan Umno merampas wang rakyat. Begitulah Umno yang tidak pernah mengenal erti kesusahan rakyat melainkan ingin mengumpul kuasa dan kekayaan untuk kepentingan mereka sendiri

Penderhakaan Mustapa dan Umno ini akan terus tercatat dalam sejarah pembangunan negeri Kelantan dan generasi akan datang harus diperingatkan tentang tragedi paling zalim ini.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.
Sumber: http://idrisahmad.wordpress.com

Awas, Najib dekat masyarakat Cina  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Selena Tay

Pada masa perayaan Tahun Baru Cina ini, Perdana Menteri Najib Razak asyik sahaja membuat lawatan ke rumah terbuka di sana sini. Beliau sendiri pun telah menganjurkan satu rumah terbuka secara besar-besaran di Pandamaran di mana kebanyakan penduduknya adalah berbangsa Cina dan telah dilaporkan bahawa rumah terbuka ini mendapat sambutan hangat dari rakyat berbilang kaum.

Beliau telah mengambil kesempatan masa Tahun Baru Cina ini untuk cuba meraih kembali sokongan orang Cina. Oleh itu, pada masa inilah beliau telah bertubi-tubi melaung slogan 1Malaysia setiap hari.

Pada masa yang sama pula kelihatan Pakatan Rakyat macam diam sahaja, tidak banyak publisiti yang diberikan mengenai rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Rakyat ataupun lawatan ke rumah terbuka yang dibuat oleh anggota Parlimen dan Adun Pakatan. Penulis rasa ini adalah tidak berapa baik memandangkan bahawa pihak BN sekarang secara besar-besaran sedang mempromosikan imej Perdana Menteri Malaysia yang sedang melawat ke sana sini. Tidak ketinggalan juga ialah lawatan ke Sarawak yang baru sahaja dibuat oleh beliau dengan bertaburan janji-janji wang dan pembangunan yang akan diberi untuk membangun negeri tersebut serta ceramah terbuka mengutuk Pakatan Rakyat sebagai satu pakatan yang rapuh dan tidak mempunyai kebolehan mentadbir.

Promosi imej Najib ini bukanlah satu perkara yang patut dipandang remeh oleh pakar strategi Pakatan Rakyat. Ini adalah kerana apabila rakyat nampak bahawa Perdana Menteri Malaysia sanggup melawat rumah individu, maka mereka pun akan rasa terpegun dengan sikap beliau yang peramah dan sanggup merendahkan diri untuk bercampur-gaul dengan rakyat jelata.

Penulis berharap anggota Parlimen dan Adun Pakatan Rakyat pun akan mengambil kesempatan perayaan Tahun Baru Cina ini untuk bercampur-gaul dan melawat rumah Cina dalam kawasan Parlimen atau kawasan DUN mereka. Jangan melepaskan peluang ini untuk bersembang dengan para penduduk yang telah mengundi mereka pada masa pilihanraya yang lalu dan bercampur-gaul dengan penduduk yang mungkin akan mengundi mereka pada pilihanraya yang akan datang.

Dijangka Pilihanraya Umum yang ke-13 akan diadakan pada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya sebelum pertengahan tahun 2011 (iaitu sebelum perlancaran sistem cukai GST). Walaupun ini adalah satu jangkaan sahaja, Pakatan Rakyat mesti sudah mula mengorak langkah dan merancang strategi untuk Pilihanraya Umum tersebut. Dapat dilihat dari situasi politik yang berlaku pada masa kini, mungkin jangkaan diatas adalah tepat.

Penulis berharap pakar strategi Pakatan Rakyat telahpun mengadakan perjumpaan untuk membuat perancangan strategi dan jika belum berbuat demikian, harap-harap akan diadakan perjumpaan dalam masa yang terdekat. Jangan berlengah-lengah lagi. Masa telah suntuk!

Dosa zina tidak berkurang dengan pakai kondom  

Posted by Kunta-Kinte

Ustaz Nasrudin Hassan at Tantawi,
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.


1. Tahap gejala sosial negara kita hari ini kian parah . Pergaulan bebas , penzinaan [ pelacuran ] , arak dan aneka maksiat tumbuh subur bagai cendawan selepas hujan .

2. Lebih malang apabila gejala sosial yang negatif ini bagai ada penaung dan pihak yang menyuburkannya dengan pelbagai aktiviti maksiat dan mungkar tanpa kawal .

3. Kelab malam , karaoke , pub , rumah urut dan pusat - pusat hiburan bercambah mengatasi bilangan masjid surau . Dalam satu qariah tentunya hanya dibenarkan sebuah masjid berasaskan mazhab Imam Syafie tetapi entah mazhab apa yang digunakan untuk memberi keizinan [ lesen ] kepada pengusaha pusat hiburan yang banyak dalam satu qariah . [ sebagai sample kes saya rujuk qariah Kuantan ]

4. Rancangan televisyen , filem dan internet tanpa kawal antara yang menyumbang secara aktif ke arah suburnya maksiat dan mungkar dalam negara kita . Inilah musibah besar yang sedang melanda negara kita malah mampu meruntuhkan sebuah peradaban kemanusiaan . manakan tidak , setelah mereka rangsang nafsu dan syahwah melalui aktiviti - aktiviti maksiat dan mungkar , disuburkan lagi dengan kemudahan untuk mendapat pil - pil khayal , arak dan dadah malah disediakan pula tempat mereka beroperasi secara selamat di dalam premis berlesen maka ...............

5. ...... berlakulah zina dan lahirlah anak luar nikah . Akhirnya manusia menjadi binatang yang kejam lalu membakar bayi yang tidak berdosa hidup - hidup , sebahagiannya dicampak menjadi makanan anjing liar . Mereka akhirnya menjadi penjenayah dan mangsa jenayah kejam mereka ialah anak mereka sendiri .

6. Semua pihak bertanggungjawab menangani perkara ini . Selamatkan negara dan selamatkan masyarakat kita dari terus menjadi mangsa maksiat dan mungkar yang keji ini . Pihak berwajib mesti segera mengambil langkah berkesan secara drastik dan tentunya antara pendekatan berkesan untuk mengatasi perkara ini ialah melalui pendekatan holistik .

7. Kerajaan mesti mempunyai agenda yang jelas dan serius untuk membasmi gejala zina , pergaulan bebas dan penagihan arak yang semakin ketara ini .

a ] Perbanyakkan institusi pengajian agama dan wajibkan pelajar menyertainya
b ] Hapuskan pusat - pusat hiburan yang hanya memusnahkan akhlak dan moral
c ] Benteras aktiviti pelacuran secara serius dan bersungguh - sungguh .
d ] Bimbingan kerjaya buat remaja dan belia .
e ] Kempen perkahwinan digiatkan serta mudahkan proses berkahwin .
f ] Beri bantuan kewangan dan khidmat kaunseling yang pasangan yang memerlukan
g ] Batalkan semua konsert hiburan yang melampau
h ] Tapis semua rancangan televisyen dan filem dalam negara
i ] Biayai masjid surau dan anjurkan program ilmu untuk masyarakat .
j ] dan lain - lain yang positif dan boleh menyelamatkan masyarakat dari terus terjebak dalam perangkap nafsu dan syahwah yang membinasakan .

8. Sungguh hairan jika kerajaan gagal mengawal dan membendung aktiviti maksiat dan mungkar ini sedang kerajaan mempunyai segala keupayaan dan kemampuan untuk melakukannya . FRU boleh digunakan bertrak - trak untuk membatalkan majlis ceramah dan himpunan aman tetapi mereka seperti lumpuh tidak mempunyai anggota apabila berdepan dengan pelacuran dan maksiat yang lain .

9. Saya juga kesal melihat bagaimana wanita UMNO bertindak untuk menangani perkara ini . Mereka seperti berpura - pura dan bersikap acuh tak acuh dalam bertindak . Menangani kes buang bayi tidak terhendi setakat melancarkan kempen selamatkan bayi dan menawarkan Wanita UMNO sanggup menjadi ibu yang memelihara bayi - bayi tersebut tetapi mestilah dilihat malah dibenteras puncanya iaitu zina .

10. Samalah kes menangani penyakit Aids, saya tidak faham bagaimana mereka berfikir bahawa menangani penyakit aids ialah dengan menggalakkan penggunaan kondom .

Ertinya mereka dalam sedar atau tidak seperti bersetuju dengan zina cuma perlu menggunakan kondom. Dosa zina tidak menjadi kurang dengan pemakaian kondom sebagaimana dosa zina juga tidak terhapus semata - mata menyerahkan bayi yang dilahirkan kepada wanita umno untuk dipelihara .

Kalau nak bersihkan semak samun tebaslah dipangkalnya atau racunlah diperdunya bukan hanya menggunting dipucuknya .