Showing posts with label Krisis Perak. Show all posts

Kami tak dijemput - Nizar  

Posted by Kunta-Kinte

May 03, 2010 — Dato Seri Nizar menafikan bahawa ADUN-ADUN Pakatan Rakyat boikot Majlis Anugerah Pingat dan Bintang pada hari Keputeraan Sultan Perak pada 19 April 2010 yang lalu.


Timb Speaker Berat Sebelah, Hanya Bertindak Ke Atas MP Pakatan  

Posted by Kunta-Kinte

Dun Perak: ADUN PR Keluar Dewan Bantah Perlanggaran Peraturan  

Posted by Kunta-Kinte

Pakatan Rakyat Perak Pulau Notis Speaker Haram  

Posted by Kunta-Kinte

SHAH ALAM, 2 MAC - Kesemua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari Pakatan Rakyat tidak akan menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipanggil Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R. Ganesan pada 30 Mac ini. Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berkata Pakatan Rakyat tidak mengiktiraf notis yang dikeluarkan itu kerana Ganesan bukan Speaker yang sah, sebaliknya jawatan itu masih disandang Speaker V Sivakumar. Bagaimanapun, Nizar berkata, ADUN Pakatan Rakyat sedia menghadiri sidang dewan berkenaan jika notis dikeluarkan oleh Speaker S. Sivakumar. “Kalau dia panggil kita tidak hormat sebab dia bukan Speaker...kita tidak iktiraf surat dia. Jadi kita hanya hadir jika Speaker yang sah, Sivakumar panggil (sidang DUN),”katanya ketika dihubungi TVSelangor.

Terdahulu, Speaker lantikan Barisan Nasional, Datuk R Ganesan melalui notis yang ditandatangani Setiausaha DUN Perak, Rumaizi Baharin memanggil sidang Dewan 30 Mac ini. Sidang itu adalah yang pertama kali selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan kontroversi baru-baru ini, apabila mengisytiharkan Datuk Seri Zambry Kadir sebagai Menteri Besar yang sah. Semua wakil rakyat turut diminta menghantar soalan bertulis sebelum 15 Mac. Bagaimanapun, dalam sidang DUN berkenaan, setiap wakil rakyat hanya dibenar mengemukakan maksimum lima soalan bertulis dan tiga soalan lisan sahaja. Nizar menjelaskan keputusan ungtuk tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker dibuat kerana lantikan Speaker lantikan BN iyu telah melanggan peraturan 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak Ganesan sebelum ini gagal meletakkan jawatan sebagai Peguam selepas tiga bulan dilantik sebagai Speaker. “Dia telah melanggar peraturan 36A(5) Perlembagaan Negeri Perak yang dilanggar oleh Ganesan ini, dari segi peraturan juga dia melanggar Peraturan Dewan, dari segi Perlembagaan, dia melanggar Perlembagaan Perak...dia tidak patuh pada Perlembagaan Perak. Jadi semua ini menunjukkan dia adalah bukan Speaker,”katanya./TVSelangor


Zamry Di Buli 3 Ekor Katak - YB Ir.Nizar  

Posted by Kunta-Kinte

Ceramah Perdana YB Dato' Sri Nizar Jamaludin Bertempat Di Padang Majlis Daerah Machang,Kelantan
pada 24/2/2010. Antara Isu-isu yang di kupas Dato Sri Nizar ialah perancangan jahat UMNO sejak dari awal pemerintahan Pakatan rakyat di Perak sehingga membawa kepada Rampasan Kuasa oleh Zamry Abd Kadir. Diselitkan juga kisah lucu bagaimana Zamry telah di buli oleh 3 orang ADUN yang di belinya sendiri.


Apabila perlembangaan ditafsir seperti surat wasiat...  

Posted by Kunta-Kinte

Sarjana Perlembagaan menyatakan apabila Mahkamah menafsirkan Perlembagaan seperti menafsirkan surat wasiat ( a will ) , Perlembagaan akan mati. Pada 5/2/2010 yang lalu Perlembagaan Perak boleh dikatakan telah disytiharkan mati apabila 5 orang Hakim Mahkamah Persekutuan menafsirkan Perlembagaan Perak seperti menafsirkan surat wasiat.

Sebagai peguam kepada Nizar yang ada di Mahkamah pada hari itu dan mendengar Hakim membaca keputusan kes Nizar v Zambry ianya sama seperti mana Abdul Wahub mendengar peguam Abdul Wahab dan Abdul Wahib membaca wasiat bapa mereka Ismet Ulam Raja di dalam filem Tiga Abdul arahan Tan Sri P.Ramlee. Abdul Wahib dan Abdul Wahib tanpa segan silu menipu dan membuli Abdul Wahub dengan berselindung di atas kalimah demokrasi terpimpin.

Di dalam penghakimannya Mahkamah Persekutuan menolak hujah peguam Nzar tentang keperluan undi tidak percaya dibuat di dalam sidang DUN Perak bagi menentukan sama ada Nizar benar-benar kehilangan kepercayaan ahli-ahli DUN. Alasan Mahkamah menolak hujah itu amat lucu sekali. Alasannya adalah tiada dinyatakan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB mesti dibuat melalui undi tidak percaya.

Jawapan mudah kepada alasan itu adalah jika perkataan undi tidak percaya ada di dalam Artikel 16 ( 6 ) itu tidak perlulah Nizar pergi ke Mahkamah untuk meminta Mahkamah menafsirkan Perkara 16 ( 6 ) itu ?

Ya, benar memang tiada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak frasa yang menyatakan bahawa kehilangan kepercayaan ke atas MB dibuat mesti dibuat melalui undi tidak percaya di dalam sidang DUN. Tapi bukankah dalam Perlembagaan banyak perkara lain yang juga tidak dinyatakan secara spesifik. Sebagai contoh wujudkah di dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana peruntukkan mengenai jawatan Timbalan Perdana Menteri ( TPM ) ? Jawabnya tidak ada .

Kalau menggunakan logik Mahkamah Persekutuan jawatan yang disandang oleh Muhyiddin sekarang adalah tidak menepati Perlembagaan Persekutuan. Tetapi mengapakah Najib masih melantik Muhyiddin sebagai TPM –jawatan yang tidak wujud dalam Perlembagaan.

Mari kita lihat perkara lain yang juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan tetapi diamalkan selama ini di negara ini. Kewujudan pelbagai jawatankuasa di dalam Parlimen dan Kabinet juga tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan. Peruntukkan masa di dalam sidang Parlimen bagi ahli-ahli Parlimen khususnya pembangkang untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri dan Menteri-Menteri juga tidak ada di dalam Perlembagaan.

Persoalannya mengapakah dalam keadaan ketiadaan peruntukan khusus tentang perkara –perkara yang saya nyatakan tersebut , negara ini masih mengamalkan dan melaksanakan perkara-perkara tersebut ?

Jawapannya adalah “constitutional convention” ( amalan Perlembagaan ). Amalan Perlembagaan, menurut Sir Ivor Jennings adalah satu daripada sumber Perlembagaan. Amalan Perlembagaan , kata Ivor Jennings adalah “ the flesh which clothe the dry bones of the law” ( adalah daging yang menutupi tulang-tulang kering undang-undang ). Ia adalah sepertimana kata sarjana Perlembagaan “ peraturan yang bukan legal ( sah ) bagi menjadikan peraturan yang sah berfungsi.” ( “ the non legal rules which make the legal rules work.” ). Secara mudahnya amalan Perlembagan adalah menambah apa yang kurang di dalam Perlembagaan.

Jika Mahkamah Persekutuan menolak hujah Nizar bahawa tidak perlu ada undi tidak percaya di dalam sidang DUN bagi menentukan sama ada Nizar masih mendapat kepercayaan di atas alasan peruntukkan mengenai undi tidak percaya tidak ada di dalam Perkara 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak maka hujah yang sama juga kita boleh gunakan bahawa tidak ada juga dinyatakan di dalam Perkara 16 ( 6 ) bahawa cara menentukan Nizar hilang kepercayaan perlu dibuat di dalam Istana dengan kehadiran Najib ( yang bukan ADUN Perak ) tanpa kehadiran Nizar sebagai MB yang masih sah ketika itu. Bukankah Perlembagaan Perak menyatakan segala tindakan Sultan adalah atas nasihat seorang MB iaitu pada ketika itu nasihat Nizar wajar diambil terlebih dahulu.kerana beliau masih MB yang sah.

Dalam keadaan kedua-dua cara tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan ( sama ada undi tidak percaya dalam DUN atau dibuat di luar DUN seperti di Istana ) Mahkamah seharusnya melihat kepada amalan Perlembagaan. Sudah tentu amalan Perlembagaan yang boleh dikatakan diterima pakai di dalam semua negara di dunia ini adalah kaedah untuk menentukan seorang MB sudah hilang kepercayaan adalah dengan melalui undi tidak percaya di dalam DUN. Cara tersebut lebih bertamadun dan demokratik.

Satu lagi perkara lucu yang Mahkamah Persekutuan lakukan adalah apabila ia menerima pakai apa yang dikatakan oleh Y.M Raja Azlan Shah J. ( pada masa itu ) di dalam kes Loh Koi Choon v Kerajaan Malaysia bahawa di dalam menafsirkan Perlembagaan Mahkamah tidak perlu melihat atau terikat kepada kes-kes di negara lain seperti kes di India .

Tapi dalam masa yang sama Mahkamah Persekutuan telah merujuk dan menerima pakai satu kes di India iaitu kes Mahabir Chandra Prasad Sharma, petitioner v Prafulla Chandra Ghose and others, Respondents AIR 1960 Cal. 198 bagi menyokong penghakimannya bahawa seorang Gabenor ada kuasa memecat Ketua Menteri.

Yang lucunya bagaimanakah Mahkamah Persekutuan boleh dengan secara cuai mengguna pakai kes India tersebut untuk menyokong hujah bahawa Sultan juga boleh memecat Nizar jika Nizar enggan meletakkan jawatan

Tidakkah Mahkamah sedar bahawa di dalam Perlembagaan India ada peruntukkan yang jelas dan terang bahawa jika seorang Ketua Menteri enggan letak jawatan setelah diarahkan oleh Gabenor, Gabenor mempunyai kuasa untuk memecat Ketua Menteri. Wahai para hakim yang digelar orang bijaksana tunjukkan di dalam Artikel 16 ( 6 ) Perlembagaan Perak peruntukkan yang menyatakan bahawa Sultan ada kuasa memecat Nizar jika Nizar enggan letak jawatan ?

Kalau tidak ada bagaimanakah kamu boleh menggunakan analogi dengan kes di India yang secara jelas mempunyai peruntukkan yang berbeza.

Kalau inilah standard Mahkamah Persekutuan bagaimanakah rakyat boleh menghormati keputusan tersebut ? Masa akan menentukan bagaimana generasi akan datang akan pasti memandang jijik keputusan Mahkamah Persekutuan sepertimana generasi sekarang sedang mula melakukannya

Kes Perak menunjukkan bahawa betapa mudahnya sebuah Kerajaan boleh jatuh tanpa melalui proses yang berlaku di dalam sidang DUN. Di mana Kerajaan itu jatuh bergantung di mana ahli poltik itu bertemu Sultan. Jika dia bertemu Sultan di Istana, Kerajaan itu boleh jatuh di Istana. Jika ia bertemu Sultan di wad hospital di wad hospital itulah kerajaan itu akan jatuh. Begitulah kesan keputusan Mahkamah Persekutuan .

Hari ini Kerajaan Nizar jatuh di istana apabila Najib berjumpa Sultan di Istana . Siapa tahu akan datang Kerajaan Najib pula akan jatuh di padang golf jika ditakdirkan Anwar Ibrahim atau Ustaz Abdul Hadi Awang berjumpa Yang DiPertuan Agung di atas padang golf. Ketika itu Najib hanya boleh perhatikan kerajaannya bergolek sepertimana bergoleknya bola golf masuk ke dalam lubang !!!


Mohamed Hanipa Maidin,
AJK PAS Pusat.
http://peguampas.blogspot.com/

Sidang Media PR Perak - Kerajaan Mahkamah BN enggan kerjasama 22 Feb 2010 (Video Inside)  

Posted by Kunta-Kinte

23.02.2010 IPOH : Pagi ini bertempat di Pejabat Pakatan Rakyat Perak telah diadakan satu sidang media bagi menjawab tomahan dan fitnah yang dilemparkan oleh Kerajaan UBN yang menyatakan bahawa ketika Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah dahulu mereka telah meminggirkan Adun-Adun UBN dalam mesyuarat-mesyuarat jawatankuasa Daerah.

Namun Dato Seri Nizar dan Adun-Adun yang lain telah menyangkal tuduhan tersebut.Ini terbukti selepas mereka mengemukakan bukti bahawa ada dikalangan adun dan MP UBN turut dijemput dalam setiap mesyuarat yang diadakan namun mereka gagal hadir dan tidak menghantar wakil bagi tujuan tersebut.

Dato Seri Nizar ketika ditanya mengenai hasrat kerjasama antara PR dan UBN dalam menjaga kebajikan rakyat akan tetapi dilihat seolah-olah dirumitkan oleh Kerajaan UBN menjawab bahawa Adun-Adun PR akan terus berusaha bagi memberikan khidmat dan bantuan kepada Rakyat mengikut kemampuan mereka.Beliau menambah ia tidak akan menjadi halangan buat PR terus berkhidmat kepada Rakyat.





Give Zambry a chance, says Najib  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Roslan SMS

Saya tertarik dengan tajuk akhbar The Star hari ini yang menyiarkan ulasan Perdana Menteri Najib Tun Razak terhadap keputusan 5-0 Mahkamah Persekutuan semalam. Akhbar itu membawa tajuk:

Give Zambry a chance, says Najib
(Beri Zambry peluang kata Najib)

Beliau berkata dengan keputusan ini Zambry sepatutunya diberi peluang memimpin Perak dan sebarang masalah atau ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran BN Perak dibawa pada PRU akan datang.

Bagi saya itu saranan yang bijak cuma malangnya kenapa hanya di Perak? Kenapa tidak begitu juga di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor? Sepatutnya beliau juga menyarankan:

Give Nik Aziz, Azizan, Guan Eng and Tan Sri Khalid a chance!

Macam mengapa di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini kerajaan Persekutuan BN terus menganggu dan tidak memberi kebebasan pada kerajaan-kerajaan negeri pilihan rakyat mentadbir negeri masing-masing.

Contohnya mengapa perlu ada JKKKP apabila kerajaan negeri sudah melantik JKKK nya? Mengapa peruntukkan kepada kerajaan-kerajaan negeri ini disekat-sekat? Mengapa kerajaan negeri tidak dilibatkan dalam program Persekutuan di negeri masing-masing? Mengapa apabila PM dan Menteri turun ke negeri-negeri ini, kerajaan negeri dianak-tirikan?

Benar beri peluang pada Zambry, tapi jangan pula dipinggirkan Nik Aziz, Azizan,Guan Eng dan Tan Sr Khalid. Sebagai PM Najib perlu sedar bahawa kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor juga sah dan perlu dihormati dan diberi pengiktirafan. Negeri-negeri ini semua membentuk Persekutuan Malaysia,oleh itu sebagai PM Persekutuan beliau perlu adil dan saksama pada semua negeri-negeri yang bernaung di bawah Persekutuan.

Kalau BN Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor ghairah sangat mahukan kuasa, tunggu-tunggulah sehingga PRU ke 13 nanti apabila rakyat keluar kembali untuk membuat keputusan. Sementara itu hormatilah keputusan rakyat dimana-mana pun.

Kerajaan negeri Perak terus goyah  

Posted by Kunta-Kinte

Feb 10, 2010 - Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, namun kedudukan menteri besar Perak itu ternyata goyah.

Zambry masih bergantung kepada tiga ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat yang berpaling tadah dan mendakwa mereka mesra dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi di dun Perak manakala tiga lagi diduduki oleh tiga wakil 'bebas' berkenaan.

"Kedudukan Zambry ternyata goyah dan dia terpaksa menari mengikut rentak dan irama serta tuntutan daripada tiga 'katak' berkenaan, jika ingin meneruskan kuasa sehingga pilihan raya sdiadakan," kata menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Pilihan terbaik bagi beliau ialah mengumumkan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan (Jelapang, Changkat Jering dan Behrang) untuk memperkuatkan pegangan politiknya bagi mentadbir Perak," katanya lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohammad Nizar sebagai berkata Pakatan Rakyat sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Beliau berkata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti gabungan pembangkang yang bermesyuarat malam semalam juga menetapkan supaya mereka dibenarkan menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya kepada pemberita di Ipoh malam semalam.

Beliau juga berkata: "Kami merayu ADUN pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat."

Mohammad Nizar berkata walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Hari yang gelap bagi demokrasi Malaysia  

Posted by Kunta-Kinte

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebagai hari yang gelap dalam masa depan demokrasi Malaysia.

Katanya, rakyat sangat kecewa dengan keputusan itu tetapi bagi PAS, mereka tidak akan patah semangat dan berkempen supaya rakyat lebih memahami isu berkenaan.

“Keputusan ini sudah dijangkakan berdasarkan perjalanan sejarah. Kemelut di Perak tidak akan reda (ekoran keputusan ini), kata Salahuddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya lagi, ia akan terus cetuskan semangat baru dan memberikan kesedaran kepada rakyat supaya menolak BN.

Anwar: Umno takut berdepan rakyat

Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan mahkamah itu sudah dijangkakan.

Menurutnya, keputusan itu menunjukkan Umno tidak berani untuk berdepan dengan rakyat bagi menghadapi pilihan raya.

“Kami secara konsisten menuntut pilihan raya baru dan bebas diadakan bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan (negeri) baru yang sah,” katanya.

Buat masa ini, Anwar meminta rakyat di Perak untuk mematuhi undang-undang dan memastikan semua pihak memahami isu berkenaan.

“Ini adalah isu demokrasi. Siapa yang disokong oleh rakyat? Kita tidak boleh berselindung di sebalik institusi atau sistem-sistem, kecuali kembali mendapat mandat daripada rakyat.

“Saya juga menggesa rakan-rakan di Perak supaya bersabar dan bekerjasama erat bagi memperkuatkan parti kerana media-media yang dimiliki Umno sedang menyerang kita dengan bertubi-tubi,” kata Anwar.

Mahfuz: Kes satu konspirasi

Naib Presiden PAS Mahfuz Omar pula berkata pihaknya tidak mempersoalkan keputusan mahkamah tetapi persepsi rakyat dan masyarakat melihat bahawa kes tersebut bermula dengan konspirasi dan sudah tentu juga berakhir dengan konspirasi juga.

Rakyat dan masyarakat antarabangsa tidak melihat hujah-hujah di mahkamah, tetapi mereka melihat keputusan itu mesti mengiyakan konspirasi tersebut.

“Keputusan itu membetuk persepsi bahawa mahkamah mahu mempertahankan maruah dan kedaulatan sultan berbanding dengan kedaulatan rakyat. Kalau mahkamah memutuskan kemenangan kepada Nizar, adakah bermakna tindakan sultan memilih Zambry tidak rasional?” soal Mahfuz.

Beliau berkata persepsi rakyat juga melihat bahawa mahkamah telah merampas hak rakyat dan sesuatu kerajaan itu mestilah berdiri di atas mahkamah rakyat.

Ahmad: Mengapa 5- 0?

Bekas pesuruhjaya PAS Perak yang juga ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang pula mempersoalkan mengapa panel hakim hanya terdiri daripada lima panel penilai dan tidak tujuh.

“Kenapa tidak tujuh? Keputusan ini memang sudah dijangkakan, tetapi takkanlah sampai 5-0, sekurang-kuranganya 4-1.

“Bila sebulat suara, kita lihat maca (hakim) pakat. Majoriti rakyat tidak dapat terima keputusan ini,” katanya.

Karpal: Biar rakyat tentukan

Bagi pengerusi DAP, Karpal Singh, keputusan mahkamah persekutuan itu masih boleh dirayu.

“Kita sepatutnya kembali kepada rakyat, rakyat yang seharusnya membuat keputusan, bukannya mahkamah. Biarkan rakyat yang menentukannya,” kata beliau.

Anwar mahu kes Nizar dibawa ke ‘mahkamah rakyat’  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR, Feb 9 — Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak dalam kes yang dibawa Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata apa yang penting ialah perkara itu perlu dirujuk ke “mahkamah rakyat” untuk membuat keputusan siapakah layak untuk memimpin negeri Perak.

Anwar berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Kompleks Mahkamah di sini di mana beliau sedang menghadapi kes perbicaraan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ditanya apakah nasihat beliau kepada penyokong pakatan pembangkang terutamanya di Perak, beliau meminta mereka menggunakan masa yang ada untuk memperkemaskan jentera parti masing-masing dan menjelaskan isu-isu semasa kepada rakyat.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata parti itu kecewa dengan keputusan mahkamah itu yang disifatkan bercanggah dengan prinsip asas demokrasi iaitu kerajaan perlu dipilih oleh rakyat.

Beliau berkata mana-mana kerajaan yang mendapat mandat tidak melalui undi secara langsung adalah melanggar prinsip demokrasi kuasa rakyat.

Sehubungan itu, DAP mengulangi gesaan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan dan mengembalikan kuasa kepada rakyat dengan mengadakan pilihan raya negeri yang baru, katanya dalam kenyataan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Nizar daripada pakatan DAP-PAS-PKR setelah berpuas hati bahawa Nizar tidak lagi menikmati kelebihan undi dalam Dewan Undangan Negeri.

MB Perak: PAS sudah duga keputusan  

Posted by Kunta-Kinte

KOTA BARU, Feb 9 — PAS akui telah menduga keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini dalam pertikaian Menteri Besar Perak yang sahih membabitkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir tidak akan berpihak kepada mereka.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata berdasarkan pengalaman lepas yang membabitkan isu-isu kontroversi memang “kita telah menduga keputusan Mahkamah Persekutuan pagi ini”.

“Rasionalnya kita terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Ia sesekali tidak melemahkan semangat dalam Pakatan untuk meningkatkan lagi tahap keperkasaan perjuangan ke arah yang lebih mantap.

“Meskipun keputusan hari ini dianggap sebagai suatu hari yang gelap bagi kami, namun kita yakin, malah saya sendiri merasai keputusan itu bakal mencetuskan satu fenomena atau kesedaran baru di kalangan rakyat tentang hak-hak atau keadilan rakyat dalam negara ini,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata agenda utama PR selepas ini memberi tumpuan dalam usaha membangkitkan kesedaran serta kefahaman rakyat tatkala menghadapi pelbagai isu mahupun kontroversi yang kadang-kadang dilihat agak mengelirukan.

Krisis politik Perak bermula apabila dua Adun PKR Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) serta Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP keluar parti masing-masing untuk bertindak sebagai wakil rakyat Bebas dan menyokong Barisan Nasional.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff membuat keputusan sebulat suara bahawa Sultan Azlan Shah telah menggunakan bidang kuasa baginda untuk melantik Zambry bagi menggantikan Nizar setelah berpuas hati Nizar tidak lagi mempunyai kelebihan undi dalam Dewan Undangan negeri.

Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak meminta semua pihak menerima dengan hati terbuka keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak.

Azizan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, para penyokong pakatan pembangkang khususnya di Perak tidak harus mempertikaikan keputusan mahkamah dan menerimanya daripada aspek undang-undang.

“Tak pa lah, itu kerja mahkamah, kita berharap ia adalah satu keputusan yang adil dan saya tiada apa yang nak komen kerana mahkamah telah buat kerja dia dan Zambry adalah menteri besar yang diumumkan oleh mahkamah,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Azizan berkata, Kedah juga sedang menunggu satu keputusan mahkamah mengenai kedudukan kawasan Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh dan mengharapkan satu keputusan yang adil juga.

Kota Siputeh kini menjadi perhatian sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan terhadap status Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarip sama ada akan kekal sebagai wakil rakyat kawasan DUN itu atau pilihan raya kecil diadakan.

Menulis semula perlembagaan  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Zukri Aksah

Hari ini termaktub satu sejarah dalam perjalanan demokrasi di negara kita bilamana Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan menolak keputusan Mahkamah Tinggi serta mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, bahawasanya Datuk Seri Zambry Abd Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah dari segi undang-undang.

Penghakiman oleh panel lima orang hakim menyorot dua perkara penting dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak iaitu Perkara 16 (6) dan 36 (2). Perkara 16 (6) menerangkan keadaan bilamana seorang Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, maka beliau sama ada menghadap Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak memohon perkenan membubarkan DUN atau beliau secara bertanggungjawab meletak jawatan.

Nizar membawa kesnya ke mahkamah menggunakan Perkara ini, bahawa beliau telah menghadap Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak memohon pembubaran DUN tetapi tidak diperkenankan. Dalam keadaan begini Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak telah mengambil tindakan melantik Menteri Besar yang baru iaitu Zambry, pada ketika Nizar belum meletak jawatan. Berdasarkan Perkara 16 (6) ini, sebelum Nizar meletak jawatan, beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang mengizinkan beliau, selagimana tidak hilang kelayakan di sisi undang-undang, dipecat oleh sesiapa, wa’ima oleh Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak sekalipun. Dari sinilah krisis bermula…

Perkara 36 (2) pula adalah pernyataan umum tentang kuasa Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak untuk membubarkan DUN, kerana ia umum, maka ia boleh digunakan sama ada dalam keadaan biasa atau luar biasa, sama ada untuk keperluan pilihanraya lima tahun sekali atau untuk keperluan-keperluan mendesak seperti yang berlaku di Perak.

Yang menarik untuk dibincangkan adalah bagaimana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Nizar telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri hanya semata-mata berasaskan sebuah “pertemuan” di antara Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak dengan 31 orang ADUN. Mahkamah mencatatkan bahawa adalah memadai dengan pertemuan tersebut untuk menjadi tanda bahawa DUN telah hilang kepercayaan terhadap Nizar.

Ini yang ditulis, dan ini untuk berpuluh atau beratus tahun akan datang bakal kekal sebagai sebahagian dari Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Tetapi kesan keputusan Mahkamah Persekutuan ini bukan hanya terhadap Negeri Perak tetapi ia juga “mencederakan” pemerintahan negeri lain.

Jika proses menentukan hilang kepercayaan terhadap seorang Menteri Besar begitu mudah boleh dilakukan hanya melalui sebuah “pertemuan,” bagaimana halnya bila pada 23 Mac 2008, Rosol Wahid yang mengetuai sekumpulan 22 orang ADUN BN di Terengganu menghantar memorandum kepada Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, membantah perlantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar yang baru. Pada hari yang sama juga Ahmad Said menerima watikah perlantikan Menteri Besar dari MPPR. Abdullah Ahmad Badawi yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia menyifatkan perlantikan Ahmad Said tidak mengikut perlembagaan kerana tidak mendapat sokongan majoriti ADUN BN.

Nah… jika status sebuah “pertemuan” boleh dipakai untuk mengesahkan bahawa Nizar telah hilang kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri Perak, apa bezanya sebuah memorandum yang menggabungkan suara 22 orang ADUN? Kalau mengikut logik Mahkamah Persekutuan hari ini (yang sedang menulis semula perlembagaan), Ahmad Said menerima watikah perlantikan sebagai Menteri Besar dalam keadaan beliau, bukan sahaja hilang, tetapi tiada kepercayaan dari majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu. Salah? Rosol kena buat usul undi tidak percaya di DUN, memorandum tidak terpakai? Kalau memorandum tidak boleh pakai, maka “pertemuan” itu juga tidak bererti apa-apa.

Mahkamah Persekutuan hari ini juga menghukum rasionalnya “pertemuan” boleh menjadi penentu bahawa Nizar telah hilang kepercayaan DUN kerana tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tentang usul undi tidak percaya. Memang tiada, kerana undang-undang kita digarap berkiblatkan gaya Westminster, seperti United Kingdom, Kanada dan Australia, terutamanya United Kingdom yang merupakan bekas penjajah kita. Mengikut gaya ini, usul undi tidak percaya diformalisasikan mengikut konvensyen berperlembagaan (constitutional convention). Maka Mahkamah Persekutuan hari ini telah lari dari gaya Westminster dan merujuk perlembagaan negara-negara seperti Jerman dan Sepanyol yang punya undang-undang bertulis tentang usul undi tidak percaya. Sekali lagi perlembagaan kita sedang ditulis semula…

Kalau benarpun keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini berasaskan kepada kepercayaan Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak bahawa Nizar telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri, bagaimana mungkin di ketika Nizar belum meletak jawatannya, seorang Menteri Besar baru boleh dilantik? Jika Mahkamah Persekutuan mengatakan tiada peruntukan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perak tentang perlunya usul undi tidak percaya, maka Undang-Undang Tubuh yang sama tidak juga langsung memperuntukkan yang seorang Menteri Besar boleh dipecat oleh Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak, tidak pula memperuntukkan yang seorang Menteri Besar boleh terlucut jawatannya semata-mata kerana sebuah “pertemuan.”

Kalaupun benar kata Mahkamah Persekutuan bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti, 31 dari 59 orang ADUN, bolehkah beliau dilantik sebagai Menteri Besar dalam keadaan Nizar belum meletak jawatan? Berdasarkan konvensyen berperlembagaan gaya Westminster yang selama ini menjadi rujukan kita sebagai salah sebuah negara Komanwel, dan ia juga selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, andai berlakunya usul undi tidak percaya, Nizar ada dua pilihan, pertama meletak jawatan, kedua mendapatkan kelulusan pembubaran DUN dan memanggil satu pilihanraya baru. Masalahnya, usul undi tidak percaya tidak pernah berlaku, Nizar tidak mahu meletak jawatan dan lebih cenderung dengan pilihan kedua iaitu pembubaran DUN dan pilihanraya baru, tiada masalah sama ada Nizar memohon perkenan Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak berdasarkan Perkara 16 (6) atau 36 (2). Disinilah perkenan Yang Amat Mulia Tuanku Sultan Perak memainkan peranannya. Selagi Nizar belum meletak jawatan, selagi DUN belum dibubarkan dan pilihanraya baru tidak dipanggil, selagi itulah Nizar masih Menteri Besar Perak.

Nampaknya. bukan hanya sejarah ditulis oleh orang yang menang, undang-undang juga begitu! Selepas Nizar nanti tiba pula giliran Anwar yang menyerahkan nasib mereka kepada mahkamah. Apa yang saya mampu harapkan, teringat sebaris dialog dalam siri drama West Wing yang saya pernah tonton dahulu, “… sometimes opposition win…” Kadang-kadang sahaja, yang kadang-kadang itupun kadangkala dirampas, ingatlah itu.

Hanya rakyat yang tentukan siapa benar  

Posted by Kunta-Kinte

Sebagaimana yang dijangkakan, keputusan telah memihak kepada Zambry. Demikian menurut YB Khalil Idham Lim yang berada di mahkamah bagi mengikuti sidang penghakiman yang dibuat oleh hakim Mahkamah Federal. Lima hakim membuat penghakiman 5 - 0 ke atas kes Nizar vs Zambry.

Isyarat Zambry akan menang sudah tercium sejak awal lagi, kehadiran para EXCO, ADUN dan penyokong-penyokongnya yang ramai menyakinkan bahawa mereka akan menang. Hampir mustahil mereka tidak mendapat maklumat dari sumber dalaman yang keputusan menyebelahi mereka. Lantaran itulah, meraka datang beramai-ramai untuk menunggu keputusan dan meraikan kemenangan.

Kita menghormati keputusan hakim, menghormati keputusan bukan bermakna menyokong kemenangan mereka, keputusan hakim juga belum pasti menunjukkan Zambry di pihak yang benar. Hanya hakim rakyat sahaja yang menentukan siapa yang benar.

Keputusan ini mengundang implikasi yang sebahagian besar rakyat Perak kemungkinan tidak puas hati dengan keputusan. Ia juga mengundang keraguan rakyat terhadap sistem penghakiman negara. Hj Nizar yang menang sekalipun, penyokong BN juga tidak berpuas hati.

Justeru itu, keadilan hanya dapat diputuskan oleh rakyat melalui melalui pilihanraya. Zamnry yang diisytihar sebagai MB yang sah, mengadaplah Tuanku untuk mohon DUN Perak dibubarkan. Kalau kamu yakin dengan sokongan rakyat, dan mahukan mandat rakyat yang lebih sah, bubarkanlah DUN Perak.

Saya yakin, keputusan hakim tidak boleh menghalang keraguan rakyat kepada UMNO BN untuk terus menerajui negeri Perak. Tindakan tiga orang pengkhianat ini tidak akan dimaafkan oleh rakyat melainkan mereka mengosongkan kerusi dan beri peluang rakyat di dun mereka memilih adunnya yang baru.

Penyokong PR harap bersabar menerima keputusan ini. Kita ada hak untuk tidak puas hati, luahkanlah ketidak puashatian itu melalui gerak kerja bagi menawan hati rakyat supaya pilihanraya akan datang, UMNO BN akan dihukum dengan seberat-beratnya.

Jentera pilihanraya pula tidak akan berdiam diri, teruskan perancangan bagi menawan DUN Perak denga penyusuan kerja yang mantap, tersusun dan rapi.

Misbahul Munir Masduki,
Setiausaha Politik YAB Nizar.

Bertarung di `mahkamah rakyat' – Nizar  

Posted by Kunta-Kinte

PUTRAJAYA, 9 Feb: Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin mencabar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir supaya membubarkan Dun Perak dan bertarung di 'mahkamah rakyat'.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap di hadapan ratusan penyokong Pakatan Rakyat (PR) yang masih berkumpul di pekarangan Mahkamah Persekutuan tengah hari ini.

Bercakap pada sidang media sebelum itu, beliau berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya berhubung Menteri Besar Perak yang sah tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku di negeri itu.

Sehubungan itu, katanya Dun Perak perlu dibubarkan supaya dipilih semula wakil untuk menyelesaikan masalah yang berlaku itu. Begitupun, beliau menerima keputusan mahkamah itu.

“Kita terima keputusan mahkamah walaupun ia menyedihkan bagi kita,” ujarnya yang juga Adun Pasir Panjang.

Beliau juga menyeru rakyat supaya bertenang dan jangan ada yang bertindak dan melakukan provokasi.

Baginya, keputusan itu merupakan petanda amat hitam di Malaysia kerana rakyat negeri Perak mahu diberi ruang sebesar-besarnya untuk memilih pemimpin negeri.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang menyifatkan mahkamah belum lagi bebas daripada pengaruh pihak-pihak tertentu.

“Keputusan ini tidak menyelesaikan kemelut negeri Perak. Keputusan ini juga ketepikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia, ia juga menjadi demokrasi lebih kusut,” katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat (PR) akan memperhalusi dan meneliti keputusan tersebut. Para penyokong PR bersurai sekitar jam 12.05 tengah hari.


Gambar di sekitar mahkamah...





Panel 5 hakim sebulat suara: Zambry Menteri Besar Perak sah!  

Posted by Kunta-Kinte

PUTRAJAYA, Feb 9 — Penantian hampir setahun siapakah yang menerajui Perak sebagai Menteri Besar yang sah terjawab hari ini dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan kedudukan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN). Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah di sisi undang-undang.

Zambry dilantik sebagai menteri besar selepas BN memperoleh majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran sokongan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) keluar parti masing-masing akhir Januari 2009.

Pada 13 Feb tahun lalu, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan perisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar Perak yang sah dan memohon perintah mahkamah bagi menghalang Zambry daripada menunaikan tugas sebagai Menteri Besar.

Pada Mei 2009, Mahkamah Tinggi mengembalikan kedudukan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah, sebelum Mahkamah Rayuan mengubah keputusan itu dan mengisytiharkan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak adalah sah mengikut perlembagaan.

Berita selanjutnya akan menyusul lagi....