Kontraktor mengadu diugut ADUN PAS  

Posted by Kunta-Kinte

TUMPAT, Jan 22 — Seorang kontraktor membuat laporan polis terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerana mendakwa menerima ugutan akan dikasari daripada pemimpin PAS itu.

Wan Din Wan Mamat, 49, mendakwa beliau diugut oleh ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, dengan pelbagai ugutan termasuk akan menggunakan pengikutnya untuk bertindak kasar ke atasnya.

Katanya, ugutan itu dibuat melalui telefon bimbitnya kira-kira pukul 1 tengah hari semalam ketika dalam perjalanan menaiki kereta dari bandar Tumpat ke Pasir Pekan dekat Wakaf Baharu di sini. Zaki juga merupakan setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan.

Wan Din berkata beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada pukul 5 petang semalam kerana takut dan bimbang dengan keselamatannya.

“Dalam perbualan telefon dia telah mengugut saya dengan pelbagai ugutan termasuk dia mempunyai pengikut yang ramai dan sekiranya pengikutnya bertindak, dia tidak akan bertanggungjawab apa jua yang berlaku ke atas saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, hari ini.

Wan Din berkata ugutan itu dibuat setelah beliau membuat kenyataan balas terhadap cabaran ADUN terbabit yang dikatakan mempertikaikan kewibawaannya mendapat kontrak membersih Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubur.

“Dia suruh saya serah balik kontrak yang diperolehi itu, dia juga kata boleh batalkan kontrak saya itu,” katanya. Seorang jurucakap polis daerah Tumpat mengesahkan menerima laporan daripada kontraktor tersebut.


Malaysian Insider

This entry was posted on Saturday, January 23, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments