BN berjaya hambat janji kosong PR: Penganalisis  

Posted by Kunta-Kinte

SHAH ALAM – Keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berjaya memikat rakyat dan menghambat janji kosong pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Zainal Kling berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), semua negeri di bawah kepimpinan PR hanya membuat janji kosong.

Beliau menyifatkan tindakan politik PR sebagai ‘no-no’, yakni menutup kelemahan mereka melaksanakan pembangunan negeri dengan membuka ‘pekung’ pentadbiran BN terdahulu.

“Paling-paling yang dapat dilakukan ialah menyalahkan kerajaan pusat ‘yang tidak memberi wang’ namun sebagai kerajaan negeri mereka tidak tahu dan tidak sanggup mencari dan membuat wang demi kesejahteraan dan pembangunan negeri masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan kepada :Sinar Harian: semalam.

Zainal berkata, lebih parah lagi adalah sikap dan kelakuan wakil rakyat PR dalam semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Mereka adalah ‘bocah’ - kanak-kanak yang suka bermain ‘pijak kepala’, tanak nasi ‘di bawah pokok’, dan membuli orang kecil,”

“Baik di Selangor mahupun di Perak dahulu, mereka akan menindas sehabisnya pembangkang, mengkritik Speaker dan semua akhbar yang mengkritik mereka akan diboikot dan digantung dari edaran dalam negeri,” katanya.

Zainal berkata, pendekatan itu dinamakan telus dan demokrasi ala PR yang menggambarkan trend dan masa depan pemerintahan PR yang bersifat autokratik.

Katanya, amat jelas sikap dan tindakan politik ini sama dengan model pemerintahan di negeri asing, iaitu pemerintahan autokratik yang menjadi akar umbi DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) .

Katanya, rakyat harus berwaspada kepada semua politik yang menjanjikan pembelaan dan kesejahteraan terhadap rakyat.

“Rakyat harus berwaspada dengan janji kosong pemimpin yang kononnya menolak autokrasi seperti dalam Dasar Bersama PR,” katanya.

This entry was posted on Saturday, January 23, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments