Khaled Nordin, Dengarlah Hasrat Mahasiswa!  

Posted by Kunta-Kinte

Setiausaha Publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Selangor, Tiew Way Keng menggesa Kerajaan Pusat, terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi bersikap terbuka dan sedia mendengar hasrat Mahasiswa dengan memansuhkan sistem E-Undi yang akan dilaksanakan di Pilihanraya Campus Universiti.

SMM,Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Pro-Mahasiswa Nasional, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Malaysia Youth and Student Democratic Movement (Dema) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah) hanya pergi ke Putrajaya supaya menyerahkan Memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin.  Jadi, mereka hanyalah berhimpun secara aman sebelum mereka dapat bertemu dengan Mohamed Khaled Nordin Menteri Pengajian Tinggi.

Akan tetapi, kumpulan mahasiswa tersebut bukan sahaja tidak dapat bertemu dengan Mohamed Khaled Nordin tetapi dua orang mahasiswa telah ditangkap dan ditahan, iaitu Shazni Munir Mohd Ithnin dan Mohd Shahruddin Mohd Rosli.  Tangkapan ini  hanya dilakukan sebaik sahaja golongan mahasiswa bertemu dengan pegawai Kementerian Pengajian Tinggi.

Menurut Artikel 10(1) (b) Perlembagaan Persekutuan, hak berkumpul secara aman tanpa senjata adalah dibenarkan.  Apa yang berlaku pada ketika itu, kumpulan mahasiswa hanyalah berkumpul secara aman tanpa memegang sebarang senjata manakala pihak polislah yang berkumpul di situ dengan memegang sebatang kayu yang boleh dijadikan senjata.

Tiew juga berasa kecewa dengan tindakan tangkapan seorang wartawan akhbar rasmi PAS - Harakah - Zainulfaqar Yaacob yang mana juga telah menghalang beliau menjalankan tugas sebagai seorang wartawan.

Menurut laporan, perhimpunan tersebut bersurai apabila pihak polis menghalang kumpulan mahasiswa daripada berkumpul di hadapan pejabat Kementerian Pengajian Tinggi.  Jadi, mengapakah pihak polis masih menyiasat dua orang mahasiswa yang ditangkap dan ditahan tersebut di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam?

Tiew menggesa supaya Kementerian Pengajian Tinggi memansuhkan sistem e-undi dan memastikan pilihanraya kampus dijalankan dengan adil dan bersih yang mana menunjukkan Kerajaan Pusat sememangnya mengambil berat tentang hasrat kumpulan mahasiswa.

Kenyataan media oleh Tiew Way Keng, selaku Setiausaha Publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Selangor.

This entry was posted on Monday, January 18, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments