Tragedi tukul besi di Sydney  

Posted by Kunta-Kinte

SEMUANYA berpunca daripada perasaan cemburu tetapi adegan kemalangan yang diada-adakan akhirnya meragut nyawa Mohd. Shah Saemin, 43, di Sydney, Australia pada 21 Februari lalu. Mohd. Shah yang bertugas sebagai pemandu di pejabat Konsulat Malaysia Sydney diserang pemandu teksi, Hazairin Iskandar, 55, dan anaknya, Andrew Harizan menggunakan tukul besi sebelum ditikam di luar kediamannya di Marion Street, Leichardt.  Isteri suspek, Nita Eriza Iskandar, 46, merupakan rakan sepejabat Mohd. Shah yang dipercayai ‘berkawan baik’, lapor akhbar Sydney Morning Herald.

Cerita tragis duda tanpa anak itu tidak berakhir di situ. Mohd. Shah baru sahaja menefon ibunya, Misnah Kasri, 61, dua hari sebelum kejadian. “Saya tidak sangka kejadian ini boleh berlaku.  Kami sekeluarga rindu menatap wajahnya selepas tiga tahun dia tidak balik ke Malaysia,” luah adik bongsu Allahyarham, Mohd. Fairuz, 32.  Menurut Fairuz, terlalu banyak memori indah ditinggalkan Mohd. Shah kerana Allahyarham sangat penyayang pada keluarganya.  Meskipun Mohd. Shah menetap di Australia sejak 20 tahun lalu, anak kedua daripada lima beradik tidak mudah lupa diri.  “Dia seorang lelaki yang cukup kuat semangat, tidak mudah putus asa dan dia mahu setiap perasaan gembiranya dikongsi ahli keluarga terutama ibu dan bapa saya. “Segala kemewahan yang dimiliki tidak pernah melunturkan ingatan Abang Shah pada keluarganya,” katanya dalam nada sedih ketika ditemui Jurnal di Air Molek, Jasin baru-baru ini. ALLAHYARHAM Mohd. Shah sentiasa berkongsi rasa gembira bersama keluarganya.

Masakan ibu

Mohd. Shah dibesarkan di Kampung Tambak Paya dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Paya sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Tun Perak.  Selepas tamat pendidikan menengah, Allahyarham melanjutkan pelajaran di Akademi Laut Malaysia (Alam) di Kuala Sungai Baru.  Misi perantauan Mohd. Shah ke Tasmania menemukannya dengan seorang wanita negara itu yang dikenali dengan nama Islamnya, Jamalina Abdullah, 58.  Selepas mendirikan rumah tangga pada 1990, Allahyarham mengambil keputusan untuk menetap di Sydney dan ketika itu dia bekerja di Rumah Orang-Orang Tua di negara itu.  Perkahwinan Allahyarham dan Jamalina bagaimanapun berakhir pada 2007 tanpa dikurniakan cahaya mata.  Selepas 17 tahun bekerja di rumah kebajikan masyarakat tersebut, Allahyarham mengambil keputusan untuk berhenti lalu bekerja sebagai pemandu Konsulat Malaysia di Sydney pada 2007 sehingga akhir hayatnya.


ALLAHYARHAM Mohd. Shah (kiri) sentiasa berkongsi rasa gembira bersama keluarganya.

“Semangat Melayu Allahyarham tidak pernah luntur.  Malah dia berusaha sedaya upaya mengajar Jamalina bahasa Melayu,” kata fairuz.  Mengimbas kembali kenangan dengan Allahyarham ujar Fairuz, memori terindah yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila apabila mereka berdua mengecat rumah pusaka milik datuk mereka pada 2006.  Menurut Fairuz, Allahyarham penggemar fanatik ikan terutama daripada masakan ibunya.

Bekas isteri

“Jika tidak suka sesuatu dia akan diam, namun tidak sesekali ‘tarik muka’. “Saya percaya tidak semua orang mampu mengawal perasaan seperti Abang Shah.  Tetapi dia boleh dan sebab itu semua sayang dengan dia,’’ kata Fairuz.  Fairuz berkata, keluarganya tersentuh kerana Jamalina meluangkan masa singgah ke rumah keluarganya untuk menyampaikan ucapan takziah.  “Saya percaya Abang Shah merupakan lelaki dan suami yang baik, sebab itu walaupun sudah berpisah,  Kak Ina tetap datang ke rumah untuk melawat keluarga kami selepas mengetahui Abang Shah mati dibunuh,” katanya lagi.  Sementara itu bapanya, Saemin Mongjin berkata, dia tidak sesekali akan memaafkan pembunuh itu sampai bila-bila.  Katanya, dia percaya anaknya merupakan seorang lelaki yang baik dan menghormati orang lain malah jauh sekali untuk membuatkan orang marah padanya.  “Saya reda dengan apa yang berlaku, cuma dalam hati ini sukar untuk saya memaafkan penjenayah yang membunuh Mohd. Shah tanpa belas kasihan,” katanya.

Tambah Saemin, Allahyarham dalam perbualan terkakhirnya sempat memberi tahu dia akan berhari raya di Melaka pada September ini. Saemin, 71, yang juga bilal Masjid Kampung Tambak Paya berkata, dia tetap bersyukur apabila penjenayah yang melakukan pembunuhan kejam itu berjaya diberkas polis Australia. “Saya harap si pembunuh itu menerima balasan yang setimpal seperti apa yang dilakukannya terhadap anak saya,’’ katanya Saemin.  Mayat Allahyarham yang tiba di tanah air lewat Khamis lalu selamat dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Tambak Paya.


This entry was posted on Sunday, February 28, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments