PAS jangan terperangkap hukuman sebat wanita  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR, 19 Feb: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad meminta parti itu tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat yang sedang dimainkan Umno Barisan Nasional untuk menunjukkan mereka lebih ke hadapan dalam menonjolkan agenda Islam.

Dzulkefly ketika diminta mengulas mengenai hukuman sebat yang dikenakan terhadap tiga wanita dan empat lelaki yang melakukan kesalahan jenayah syariah pada 9 Februari lepas berkata, Umno ketika ini sangat tertekan untuk meraih sokongan rakyat menggunakan isu ini untuk menunjukkan bahawa mereka komited dengan Islam. Malaysia ditanggapi umum, khususnya media Barat, sedang mengalami proses Islaminisasi yang serius.

“Saya melihat ada semacam politik di sebalik penonjolan perkara (hukuman sebat) ini. Kita jangan terperangkap dalam kerangka pemikiran mereka (Umno-BN) ini.

“Negara ini ada undang-undang, mengamalkan apa yang dikatakan pelaksanaan undang-undang yang selari iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Yang dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang ialah apabila kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang dibina melalui proses legislatif iaitu penggubalan undang-undang yang tertakluk kepada perbahasan di Dewan Rakyat dan dewan Negara.ketika semua ini sudah termaktub, maka inilah undang-undang yang menjadi undang-undang dalam perlembagaan persekutuan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menegaskan, PAS berpendirian bahawa segala bentuk undang-undang syariah dan sistem perundangan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia mesti dilaksanakan secara telus dan adil terhadap sesiapa jua yang melakukan kesalahan, tanpa mengira kedudukan dan jantina.

“PAS tetap mengatakan bahawa apa jua undang-undang syariah walaupun sedikit dalam sistem perundangan yang ada di Malaysia ini hendaklah dilaksanakan secara adil dan telus.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, pelaksanaan undang-undang jenayah Islam perlu didahului oleh suasana sosio politik yang baik dan adil,di mana keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat seluruhnya.

Dalam konteks negara ini katanya, Kerajaan haruslah memastikan kebajikan dari segi kos sara hidup, pekerjaan, taraf pendidikan rakyat terpelihara.

“Sebelum datangnya sesuatu hukuman itu, Kerajaan harus menitik beratkan semua aspek dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Menurutnya juga, sebelum seorang pesalah itu dijatuhi hukuman menurut undang-undang Islam, ianya harus melalui proses pengadilan yang benar-benar adil dan telus bagi mengelakkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.

“Orang yang dibicarakan itu mesti mendapat keadilan yang sewajarnya. Biar cukup bukti, baru boleh kenakan hukuman sebat. Jangan terus jatuhkan hukuman begitu sahaja. Diam-diam, tiba-tiba jatuhkan hukuman,” katanya.

Namun apa yang lebih penting, PAS bersama Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan tegas dalam membasmi segala perbuatan jenayah yang melanggar prinsip Islam seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa.

“PAS menekankan bahawa yang lebih penting sekarang ini,perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang memperjuangkan islam adalah menuntut supaya negara negara ini bebas dan serentak membanteras segala perbuatan jenayah yang melanggar perinsip islam iaitu rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan membolot kekayaan negara dengan mengagihkan kekayaan kepada suku sakat dalam amalan kronisme dan pelbagai keruntuhan akhlak,” tegasnya.

Sehubungan itu ujarnya, PAS tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan yang melanggar syariah dan menentang kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan adil.

“saya sekali lagi menegaskan bahawa yang paling mustahak bagi pandangan PAS adalah terus membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan selama ini khususnya kezaliman yang bertentangan dengan syariah, dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat dan bertentangan dengan kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih adil dan telus,” katanya.


http://drdzul.wordpress.com/

This entry was posted on Friday, February 19, 2010 and is filed under , . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments