Pulangkan wang RM70,192 kerana ibu  

Posted by Kunta-Kinte


MOHAMMAD ditemu ramah oleh pemberita di rumahnya di New York kelmarin.

NEW YORK – Seorang pemandu teksi rakyat Bangladesh di New York, Mohammad Mukal Asadujjaman menyatakan dia memulangkan sebuah dompet yang mengandungi wang tunai lebih AS$21,000 (RM70,192) dan barang kemas kerana ibunya kerap menasihatkan dia supaya selalu berlaku jujur.


Mohammad menyatakan demikian selepas dia memulangkan sebuah dompet mengandungi wang tunai dan barang kemas yang ditemui dalam teksinya kepada sekumpulan pelancong Itali.

Salah seorang pelancong itu, Felicia Lettieri berumur 72 tahun tertinggal dompet tersebut yang mengandungi wang, barang kemas dan pasport rakan-rakannya pada Krismas lalu.

Kakak Lettieri, 72, dari Long Island memberitahu bahawa pemandu teksi itu menyelamatkan percutian mereka dan berkata: “Kami amat menyukai apa yang telah dilakukannya.”

Mohammad melihat wang kertas euro dalam dompet itu selepas dia membukanya untuk mengambil alamat tempat tinggal pelancong tersebut.

“Ibu saya ialah sumber inspirasi saya. Dia (ibunya) menyatakan selalu berlaku jujur dan bekerja keras,” katanya.

Mohammad menghubungi seorang rakannya dan memandu sebuah kereta sejauh 80 kilometer menuju ke alamat yang ditemui di dalam dompet tersebut. Namun, mereka mendapati tidak ada sesiapa pun berada di rumah itu. Mohammad kemudian meninggalkan nombor telefonnya dan sekeping nota.

Telefon bimbit pemandu teksi itu kemudian berbunyi dan dia kembali ke rumah tersebut untuk memulangkan dompet berkenaan.

“Mereka berasa cukup gembira,” kata Mohammad.

Dia merupakan imigran dan pelajar sebuah kolej sepenuh masa dekat apartmennya di Queens. Mohammad mula memandu teksi beberapa hari dalam seminggu kira-kira tiga bulan lalu. Pemandu teksi itu mengakui bahawa wang itu boleh membiayai pengajiannya tetapi berkata: “Hati saya menyatakan ia (mengambil wang itu) tidak baik.”

Mohammad turut enggan menerima sebarang ganjaran dengan menyatakan dia bukannya tamak. – AP

This entry was posted on Thursday, January 14, 2010 and is filed under , . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments