Pak Lah: Segera jelaskan isu kalimah Allah  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR, Jan 4 — Isu penggunaan kalimah Allah dalam majalah mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, perlu diperjelaskan dan diterangkan kepada masyarakat termasuk bukan Islam dengan segera agar ia tidak menimbulkan sebarang ketegangan dan kekeliruan, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), berkata dalam mesyuarat Ikim yang dipengerusikan beliau kira-kira tiga jam hari ini berpendirian isu itu perlu diberi penerangan dan penjelasan yang baik.

“Isu itu perlu difahami dengan baik. Mesti dijelaskan seterang-terangnya dengan fakta-faktanya,” kata Abdullah kepada Bernama hari ini. Beliau berkata Ikim mempunyai pakar dan ilmuan yang bersedia dan mampu memberikan penjelasan dan penerangan yang baik mengenai isu tersebut.

Katanya proses penerangan itu boleh diadakan dalam bentuk penghasilan artikel dan mengadakan pertemuan serta forum kepada pihak yang berminat. “Dengan kadar segera kita boleh lakukan. Jika ada bukan Islam yang mahu berjumpa mengenai isu ini, Ikim sedia berjumpa,” katanya.

Abdullah berkata beliau bimbang jika isu itu tidak difahami dengan jelas ia boleh membawa kemudaratan seperti ketegangan dan perbalahan kaum. Beliau juga berharap agar orang ramai dapat “mengawal diri” agar tidak mencelarukan keadaan hingga membawa kepada tindakan dan reaksi yang tidak sepatutnya.

Abdullah berkata memandangkan isu itu dibawa ke mahkamah, proses itu tidak harus diganggu.
Dalam pada itu, Pergerakan Pemuda Umno Selangor menangguhkan perhimpunan besar-besaran bagi membantah penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald yang dirancang diadakan di masjid seluruh negeri ini pada Jumaat ini.

Ketuanya, Suhaimi Mohd Ghazali berkata keputusan itu sebagai menghormati saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta semua umat Islam bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Kami menghormati saranan Perdana Menteri yang tidak mahu isu itu penggunaan kalimah Allah) diburukkan lagi dengan pelbagai demonstrasi ataupun perhimpunan,”katanya dalam satu sidang akhbar yang turut hadiri oleh beberapa pimpinan tertinggi Pergerakan Pemuda Umno Selangor.


The Malaysian Insider

This entry was posted on Tuesday, January 05, 2010 and is filed under , . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments