Hentikan Segera!  

Posted by Kunta-Kinte

Salam 2 all.

Saya bersama dengan pimpinan Pakatan Rakyat telah menyatakan dengan jelas mengutuk serangan dan pembakaran ke atas beberapa gereja di negara ini mutakhir ini.

Saya telah menegaskan bahawa cara dan tindakan ini langsung tidak menggambarkan nilai pekerti dan akhlak pejuang-pejuang Islam. Kita kagum dan bangga dengan sejarah Islam yang penuh dengan bukti serta toleransi terhadap penganut agama lain termasuk rumah 'ibadat mereka.

Saya percaya mereka yang terlibat ini mempunyai kepentingan tertentu dan mempunyai agenda yang jahat untuk memporak-perandakan negara. Apa yang jelas, ianya tidak memberi sebarang kebaikan kepada umat Islam.

Oleh itu saya menyeru supaya pihak-pihak yang terlibat supaya menghentikan serta-merta perbuatan tidak bertamaddun dan tidak bertanggungjawab ini.

Saya juga menyeru supaya pihak polis menyegerakan siasatan untuk mengenal pasti mereka yang terlibat dan mengambil tindakan sewajarnya menurut lunas undang-undang.

Saya juga menyeru supaya Majlis Raja-Raja segera mengadakan sidang khas bagi membincangkan isu ini dan isu penggunaan kalimah ALLAH supaya satu penyelesaian yang terbaik dapat dirumus dan dilaksanakan dengan segera.

Saya juga menyeru pihak Kementerian Dalam Negeri dan Herald menarik balik kes daripada Mahkamah kerana badan kehakiman bukan venue yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut ini, sebaliknya suatu dialog tertutup perlu diadakan segera oleh kesemua pihak yang berkepentingan untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Saya juga mencadangkan agar Parlimen Malaysia mengadakan sidang khas untuk membincangkan isu ini dengan segera dan mencari kata sepakat dan penyelesaian yang boleh menjadi garis panduan kepada pihak-pihak yang terbabit menghadapi masalah ini. Parlimen sebagai sumber tetinggi perundangan negara dan mewakili hasrat, suara dan aspirasi seluruh rakyat adalah tempat yang paling wajar untuk membahaskan isu ini secara bertamaddun dan mendapat kata putus yang boleh mengikat kesemua pihak yang terbabit.

Saya juga menyeru semua pihak yang terlibat supaya menghentikan segera segala pernyataan dan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. Oleh itu saya menyokong penuh kenyataan akhbar Ketua Pembangkang YB Dato' Seri Anwar Ibrahim yang menyentuh perkara yang sama dan saya lampirkan dibawah.

Wassalam.

Zulkifli Bin Noordin
Isnin
24 Muharram 1431
11 Januari 2009

This entry was posted on Tuesday, January 12, 2010 and is filed under , . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments