Memang tepat kepercayaan bahawa anjing adalah teman baik manusia. Angel, seekor anjing spesies Golden Retriever telah membuktikan kesetiaan dan keberaniannya untuk menyelamatkan nyawa tuannya daripada menjadi mangsa seekor kugar.
Angel yang masih menerima rawatan
Angel mempertaruhkan nyawanya dengan melompat satu setengah meter ke udara merentasi sebuah mesin pemotong rumput untuk menghalang kugar tersebut yang cuba menerkam anak tuannya yang berumur 11 tahun.
Walaupun Angel berjaya menghalang kugar tersebut, malangnya binatang buas itu sempat menerkam leher Golden Retriever putih itu di udara sebelum kedua-dua ekor binatang itu rebah ke bumi dalam kejadian yang berlaku pada 4 Januari lalu.
Melihat kejadian itu Austin Forman, kanak-kanak yang nyaris menjadi mangsa kugar tersebut berlari ke dalam rumah sambil menjerit.
“Saya sangat takut pada masa itu. Angel telah menyelamatkan saya, tetapi ia pula menjadi mangsa,” kata Austin.
Ketika kejadian berlaku, Austin sedang menjalankan tugas hariannya mengangkut kayu api dari bangsal di belakang rumahnya di Boston Bar pada hari Sabtu kira-kira jam 5.30 petang. Sambil menolak kereta sorong yang dimuatkan dengan kayu api, tiba-tiba Austin terdengar bunyi salji berderap dipijak sesuatu. Bila menoleh ke belakang dia ternampak bayangan gelap setengah depa daripadanya. Pada saat itulah Angel melompat dan menyelematkan nyawa Austin.
Sementara itu, ibu Austin yang panik, Sherri menghubungi suaminya yang ketika itu berada di rumah bapanya, sebelum menghubungi talian kecemasan 911. Dalam beberapa minit sahaja, bunyi laungan dan jeritan kedua-dua binatang berganduh itu terhenti.
“Dari dalam rumah, kami dapat mendengar bunyi nafas kugar yang tercungap itu,” kata kakak Austin, Holly yang berumur 17 tahun. Tambahnya, kepala Angel berada dalam mulut kugar itu menyebabkan anjing mereka kelemasan kerana tidak dapat bernafas.
Konstabel Chad Gravelle yang sedang bertugas di pejabat tidak jauh dari tempat kejadian bergegas datang selepas mendapat panggilan kecemasan mengatakan seorang kanak-kanak, iaitu Austin telah dibaham kugar.
Setibanya di rumah itu, Chad ternampak kakak, ibu dan Austin sedang menangis sambil memberitahu tentang Angel.
Tanpa membuang masa, dia terus ke belakang rumah dan menyuruh semua yang lain supaya jangan keluar dari rumah. Chad melepaskan sedas tembakan ke arah kaki belakang haiwan itu dengan harapan ia cukup untuk membuat binatang buas itu melepaskan cengkamannya pada leher Angel.
Malangnya, ia terus mencengkam Angel dengan lebih kuat lagi. Ini memaksa Chad menembak kepala haiwan liar itu. “Kami sekeluarga teruja melihat aksi Chad yang menembak harimau kumbang itu dengan pantas sekali tanpa melengahkan masa,” kata Austin.
Tetapi ketika bila bapa Austin, Jaya dengan bantuan Chad menarik Angel ke halaman rumah, ia tidak bergerak. “Kami menyangka Angel sudah mati. Selepas mengeluarkannya dari mulut haiwan buas itu, Angel hampir tidak bernafas," kata Jay.
Angel meyeret dirinya dari laman yang diliputi salji sambil menggosok mukanya yang berlumuran darah dan bangun perlahan-lahan. “Ia kemudiannya bangun bagaikan baru bangkit daripada tidur,” kata Chad.
Sejurus itu, Angel pergi ke arah Austin untuk memastikan keselamatannya.
“Selepas menghidu saya, Angel rebah. Saya terus memeluk dan menepuknya kerana gembira anjing kesayangan dan ahli keluarga lain terselamat,” kata Austin. Dalam pada itu, Angel masih dirawat sebuah hospital veterinar di Chilliwack selepas menjalani pembedahan di bahagian tengkoraknya.-mStar
This entry was posted
on Wednesday, January 13, 2010
and is filed under
Luar Negara,
Macam-macam ada
.
You can leave a response
and follow any responses to this entry through the
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.






0 comments