Zahrain keluar PKR, bertindak MP Bebas  

Posted by Kunta-Kinte

PETALING JAYA, Feb 12 — Setelah dua minggu menafikan akan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Zahrain Hashim (gambar) hari ini mengumumkan pendiriannya meninggalkan parti itu dan akan berperanan sebagai wakil rakyat Bebas.

Ia diumumkan oleh bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu di sini pagi ini. Beliau merupakan Ahli Parlimen PKR pertama berbuat demikian. Sejak mengkritik keras kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Zahrain telah beberapa kali menafikan akan keluar PKR.

Hari ini Zahrain memberitahu wartawan beliau mula meragui kepimpinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan merujuk tindakan-tindakan Lim yang menurutnya “cauvinis, diktator dan berfikiran komunis.”

Selain beliau beberapa Ahli Parlimen yang lain dikatakan akan keluar menjelang sambutan Tahun Baru Cina.

“Atas nama Allah, saya ingin umumkan peletakan jawatan saya dari PKR,” kata Zahrain sambil menambah akan bertindak sebagai wakil rakyat bebas di Parlimen. Zahrain merupakan pemimpin PKR yang telah dirujuk kepada lembaga disiplin akhir bulan lalu. Selain Zahrain yang lain dirujuk kepada lembaga disiplin ialah Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin, Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Datuk Zaid Ibrahim.

Zahrain berkata, “semasa saya dijempt oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Parti Keadilan Rakyat, saya meletakkan keyakinan dan kepercayaan bahawa perjuangannya untuk reformasi dan perubahan adalah ikhlas dan akan dilaksanakan dengan bertanggungjawab, bertamadun dan tanpa kompromi kepada agama, bangsa dan prinsip-prinsip keadilan.”

“Apatah lagi saya mengenali YB Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi lebih daripada 30 tahun.

“Namun keyakinan dan kepercayaan saya hari ini terhakis dan diselubungi keraguan.

“Malahan keraguan itu telah mengatasi keyakinan saya terhadap matlamat dan cara perjuangan yang dibawa oleh PKR khasnya dan Pakatan Rakyat umumnya,” katanya. Zahrain berkata beliau telah melakukan apa yang terdaya dalam kemampuannya untuk mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku di peringkat kepimpinan Pakatan Rakyat.

“Namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan.

“Oleh itu dengan lafaz Bismillah hirrohmanirrohim, saya dengan penuh ikhlas mengumumkan peletakan semua jawatan dalam parti dan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat berkuat kuasa serta-merta,” katanya.

Mengenai tuduhan beli Ahli Parlimen, Zahrain berkata, “beli MP apa? Yang 16 September tu apa cerita?”

“Saya kecewa dengan kata-kata akan berlaku perubahan besar selepas 16 September, jadi jangan cakaplah soal beli Ahli Parlimen,” katanya.

Pada 31 Jan lalu tiga orang daripada sekumpulan ahli Parlimen PKR termasuk Zahrain, yang disebut-sebut akan meninggalkan parti itu untuk menyokong BN, menafikan khabar angin sedemikian.

Ketiga-tiga wakil berkenaan – masing-masing dari Bayan Baru, Pulau Pinang, Merbok, Kedah dan Indera Mahkota, Pahang menyangkal spekulasi mereka sudah memutuskan untuk meninggalkan PKR. Ketika itu Zahrain berkata “belum terlintas” untuk keluar PKR.

“Walaupun saya kurang senang dengan perkembangan yang berlaku dalam PKR, saya belum terlintas untuk keluar parti kerana masih mahu menjayakan agenda perjuangan,” kata beliau.

“Saya akan bersama PKR walaupun banyak perkara yang saya tidak setuju.

“Saya harap akan berlaku perubahan dalam PKR seperti yang dijanjikan kepada rakyat,” kata Zahrain lagi.




This entry was posted on Friday, February 12, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments