KUALA LUMPUR, 1 Feb: Apa yang ingin dilakukan oleh Umno terhadap Tengku Razaleigh Hamzah adalah tidak relevan kerana isu sebenar ialah ketetapan undang-undang bahawa Kelantan dan Terengganu berhak mendapat royalti.
"Siapa saya berbanding isu sebenarnya, iaitu undang-undang dan hak rakyat. Umno boleh buat apa yang mereka mahu.
Tetapi selepas itu mereka tetap terpaksa berhadapan dengan undang-undang negara dan berhadapan dengan rakyat," Malaysiakini memetik bekas Menteri Kewangan itu berkata ketika mengulas kemungkinan tindakan Umno terhadapnya.
Beliau mengulangi penegasan bahawa Akta Kemajuan Petroleum memberikan hak di sisi undang-undang kepada Kelantan dan Terengganu untuk mendapat bayaran tunai royalti sebanyak lima peratus hasil keuntungan minyak di luar pesisir.
"Sebagai Pengerusi Petronas pada waktu itu, saya yang merangkakan undang-undang tersebut dan menandatangani perjanjian atas arahan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.
"Beliau mahu memastikan negeri-negeri yang miskin di Semenanjung mendapat faedah dari minyak yang diperolehi di luar pesisir," kata bekas Naib Presiden Umno itu. Razaleigh berkata, beliau tahu negeri-negeri tersebut tidak mempunyai minyak di pesisirnya.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kenyataan yang dibuat oleh Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sebelum menentukan adakah ia melanggar disiplin parti. Katanya, Umno juga akan meneliti terlebih dahulu kenyataan yang dibuat oleh Razaleigh mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
Menurut Tengku Razaleigh pula, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.
This entry was posted
on Tuesday, February 02, 2010
and is filed under
Isu royalti minyak,
Politik
.
You can leave a response
and follow any responses to this entry through the
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.





0 comments