Sekolah- sekolah dikehendaki bayar bil air dan elektrik sendiri?  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Dr Mohamad Khir Toyo

Kerajaan Tidak harus Bebankan Bil Elektrik Kepada Sekolah

1. Saya berterima kasih kepada Menteri pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini memberi respon yang baik mengenai kritikan terhadap Sekolah Berprestasi Tinggi, Skim baucer Tuisyen dan masalah pengurangan bajet Makanan di Sekolah Berasrama.

2. Namun pada minggu lalu saya dimaklumkan oleh Guru Besar dan Pegawai Pendidikan Daerah di kawasan saya bahawa mulai sekarang sekolah-sekolah dikehendaki membayar sendiri bil air dan elektrik.

3. Saya tertanya-tanya mengapa sekolah yang sepatutnya sebagai tempat belajar dan guru sebagai pengajar harus dibebani dengan kerja-kerja sebegini sedangkan sebelum ini penyelesaian bil-bil ini dibuat di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah.

4. Lebih serius ialah pentadbiran sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)perlu mencari dana untuk membayar bil elektrik dan air sekolah masing-masing.

5. Sesetengah sekolah telah memulakan langkah berjimat cermat termasuk mengehadkan penggunaan kipas angin, penghawa dingin, komputer dan makmal. Malahan dalam satu majlis perasmian mesyuarat PIBG, Guru Besar secara terbuka menyatakan bahawa sekolah perlu mengurangkan penggunaan makmal komputer dan perpustakaan bagi mengurangkan kos elektrik.

6. Bagi sekolah di bandar-bandar besar yang PIBGnya mempunyai kewangan yang kukuh ia mungkin bukan satu hal yang besar. Namun bagi sekolah di luar bandar bebanan mencari dana untuk membayar bil elektrik merupakan satu isu besar.

7. Saya khuatir usaha mengehadkan penggunaan elektrik di sekolah-sekolah akan menjejaskan waktu, suasana dan kemudahan pembelajaran. Ini sekaligus akan menjejaskan kualiti pelajar pada masa akan datang.

8. Tentulah pihak pentadbiran sekolah tidak boleh dipersalahkan kerana mereka dibebankan dengan perkara yang tidak sepatutnya menjadi tanggung jawab mereka.

9. Justeru saya berharap kerajaan atau lebih tepat Kementerian Pelajaran menarik balik arahan supaya sekolah membayar sendiri bil elektrik. Ia sepatutnya kembali kepada sistem asal iaitu di bayar oleh PPD.

10. Mungkin kementerian juga boleh berbincang dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membayar bil elektrik secara pukal pada setiap bulan membabitkan semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

11. Saya juga merayu kepada Tan Sri Muhyiddin agar meneliti lebih mendalam cadangan-cadangan yang dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran sebelum dilaksanakan agar ia tidak menjadi beban politik kepada beliau dan juga Barisan Nasional kemudiannya.

12. Akhirnya sebelum sesuatu polisi dilaksanakan perhalusilah implikasinya secara serius. Jika ia membabitkan kepentingan rakyat banyak, bawalah berbincang di peringkat Majlis Tertinggi UMNO dan Barisan Nasional terlebih dahulu.

13. Jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Jangan kerana kerosakan yang sedikit seperti ini akan merosakkan kebaikan besar kita perbuat selama ini.

This entry was posted on Thursday, February 11, 2010 and is filed under , . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments