KUALA LUMPUR, Feb 2 — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tindakan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang menggunakan platform pembangkang untuk menyatakan pendirian berkenaan isu royalti minyak adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu sepatutnya menggunakan medium lain yang lebih sesuai seperti forum untuk menyatakan sesuatu pandangan.
“Saya rasa ini tidak boleh diterima, saya sendiri akan menggunakan saluran seperti forum untuk menyuarakan pandangan saya.
“(Malahan) beliau boleh bercakap dengan Perdana Menteri jika Perdana Menteri mahu berjumpa beliau,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk “Asean: Present and Future Challenges” pada Persidangan Asean Logics 2010 di Universiti Islam Antarabangsa Malayaia (UIAM) di Gombak di sini hari ini.
Dr Mahathir (gambar) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian terbaru anggota Parlimen Gua Musang itu bahawa Kelantan berhak mendapat royalti minyak yang berbeza dengan pendiriannya sebelum ini.
Kenyataan itu dibuat Tengku Razaleigh semasa berucap pada majlis solat hajat dan ceramah perdana royalti petroleum di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Baharu, Kelantan minggu lepas yang turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Dr Mahathir berkata beliau fikir Tengku Razaleigh sebagai orang Kelantan tentu mahu melihat Kelantan mendapat wang royalti minyak itu. Ketika ditanya sama ada tindakan Tengku Razaleigh itu boleh memberi kesan kepada pengundi di Kelantan, Dr Mahathir berkata : “Mungkin boleh beri kesan, macamana pun kita (Barisan Nasional) tidak boleh dapat (Kelantan) kerana orang Kelantan ada dia punya idea sendiri.” — Bernama
**************************************************************
Apa pula kata Ku Li.....
KUALA LUMPUR, 2 Feb: Mantan Pengerusi Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah tidak bermasalah biarpun Umno mahu mengambil tindakan terhadapnya ekoran sokongannya kepada kerajaan Kelantan menuntut royalti minyak.Beliau berkata, sokongan terhadap kerajaan Kelantan dibuat berdasarkan undang-undang bahawa Kelantan berhak mendapat royalti seperti perjanjian yang dibuat dengan Petronas.
"Saya tidak kisah, saya buat keputusan ikut apa yang benar berdasarkan undang-undang bukan nafsu, kalau Umno nak marah, marah lah.
"Dengan Mahathir pun saya berani lawan, saya tidak takut siapa,” katanya berseloroh.
Isu hak Kelantan mendapat royalti juga, jelasnya tidak perlu dipolemikkan dan tidak perlu dijadikan isu kerana ianya telah diselesaikan pada tahun 1974 lagi sewaktu beliau menjadi Pengerusi Petronas. Asas penubuhan Petronas, jelasnya adalah untuk menyatupadukan rakyat di Malaysia bagi mengekalkan satu Persekutuan.
"Apabila saya dipilih menjadi Pengerusi Petronas, berundinglah dengan semua kerajaan negeri dan ketua-ketua kerajaan negeri.
"Kita buat perjanjian, kerajaan negeri perlu serah hak minyak kepada Petronas selama-lamanya, dan kalau Petronas dapat sahaja minyak, Petronas kena bayar lima peratus walaupun dua sen sekalipun, wajib dibayar," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan sewaktu kunjungan hormat Dewan Pemuda PAS Pusat ke kediamannya, di sini. Tengku Razaleigh adalah satu-satunya pemimpin Umno yang menyokong usaha kerajaan Kelantan mendapatkan hak royalti.
Beliau pada 28 Januari lalu juga telah memenuhi jemputan kerajaan negeri bagi menjelaskan kedudukan tuntutan tersebut kepada rakyat negeri itu. Ekoran sokongan kepada kerajaan PAS Kelantan itu, Umno berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap Razaleigh yang Ketua Umno Bahagian Gua Musang.
Ditanya, sama ada beliau sedang diperalat parti pembangkang, beliau menolak dakwaan tersebut.
"Saya bukan alat mana-mana pihak sama ada pembangkang ataupun kerajaan, saya hanya alat rakyat," katanya





0 comments