Tidak Perlu Suruhanjaya Diraja Untuk Siasat Kes Enjin Hilang  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Suruhanjaya Diraja tidak perlu ditubuhkan bagi menyiasat kehilangan enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

"Tidak perlu suruhanjaya ini kerana saya berpuas hati dengan tindakan Peguam Negara serta siasatan yang dijalankan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Jabatan Latihan Khidmat Negara di sini.

MoU itu bagi memudahkan pembayaran elaun RM150 sebulan kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibuat melalui BSN mulai tahun ini.

Ahmad Zahid juga berkata beliau telah menyerahkan kronologi kehilangan enjin pesawat itu kepada mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lepas.

Selain itu, beliau turut menafikan laporan bahawa enjin pesawat yang hilang itu bernilai RM50 juta setiap satu, sebaliknya ia hanya berharga antara RM9 juta hingga RM20 juta.

"Tidak benar maklumat yang dinyatakan bahawa dua enjin pesawat itu bernilai RM50 juta setiap satu sedangkan nilai sebuah pesawat itu kurang daripada AS$8.2 juta (RM27.7 juta) dan saya harap fakta ini dapat diperbetulkan," katanya.

Ahmad Zahid turut meminta semua pihak agar tidak menimbulkan sebarang polemik baru berkenaan isu kehilangan enjin jet F-5E terutama oleh penulis blog, selain menegaskan tiada pegawai berpangkat atasan yang dilaporkan terlibat dalam perkara itu.

"Saya harap isu ini tidak dijadikan sebagai satu polemik baru terutamanya kepada beberapa penulis termasuk penulis blog. Jangan timbulkan sebarang pendapat yang hanya ikan kecil atau ikan bilis sahaja yang dikenakan tindakan.

"Saya ingin tegaskan tidak ada pegawai atas daripada pangkat sarjan yang terlibat dalam kes ini mengikut siasatan yang dibuat oleh polis. Saya harap mahkamah dapat mendedahkan segala maklumat yang berkaitan dengan kehilangan itu," katanya.

Seorang anggota TUDM, Sarjan N. Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini terhadap pertuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Yusop atas dakwaan mencuri enjin pesawat F5 jenis J85-21 milik TUDM.

Selain itu, seorang pengarah syarikat pembekalan, K.Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat mencuri dan menghapuskan enjin pesawat itu.

 

This entry was posted on Thursday, January 07, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments