Persaudaraan Kemanusiaan: Lemah Benarkah Kita?  

Posted by Kunta-Kinte


Oleh: Zolkharnain Abidin

Islam mengiktiraf persaudaraan kemanusiaan. Persaudaraan kemanusiaan terjalin kerana Tuhan pencipta manusia adalah satu, bapa mereka adalah satu dan ibu mereka juga adalah satu. Nilai persaudaraan kemanusiaan ini sangat tinggi mengikut neraca Islam.

Islam mendahului semua dalam persoalan persaudaraan kemanusiaan. Ini terbukti dengan penegasan Nabi sendiri mengenai perkara ini lebih daripada 1400 tahun yang lalu. Imam Ahmad meriwayatkan di dalam musnadnya bahawa Nabi bersabda, “…Ya Allah, Tuhan kami dan Tuhan setiap sesuatu dan Penguasanya, akulah penyaksi bahawasanya hamba semuanya adalah bersaudara…”.

Petikan tersebut adalah bahagian ketiga daripada penegasan nabi yang didahului dengan penegasan bahawa Allah adalah Tuhan yang Esa dan Muhammad adalah rasul. Persaudaraan kemanusiaan ini melangkaui bangsa bahkan agama. Ia menyatukan manusia dengan kepelbagaian warna kulit, bahasa dan kedudukan. Persaudaraan ini diikat oleh satu asas iaitu manusia adalah hamba kepada Allah.

Pengiktirafan nabi mengenai kedudukan persaudaraan kemanusiaan ini dibuktikan dengan doa baginda. Apabila dikaitkan dengan doa, ini bukan sekadar ucapan atau dakwaan biasa tetapi ini adalah satu hakikat keagamaan yang tidak boleh dibantah lagi. Tambah istimewa lagi, persaudaraan kemanusiaan ini menjadi doa yang diulang-ulangkan oleh baginda setiap kali selesai solat. Semua ini adalah bukti perhatian istimewa baginda nilai persaudaraan ini.

Setiap Muslim meyakini bahawa perbezaan agama berlaku dengan kehendak Allah seiring kebebasan dan keupayaan memilih. Kehendak Allah tidak mungkin dibantah. Kerana itu, tidak boleh terlintas di dalam fikiran Muslim untuk memaksa manusia semuanya menjadi Muslim. Muslim tidak ditugaskan untuk menghukum orang yang sesat kerana kesesatan mereka. Persoalan itu terpulang kepada Allah pada hari akhirat.

Penerimaan manusia terhadap Allah sebagai Tuhan samada betul atau salah meletakkan mereka pada kedudukan hamba. Maksudnya, manusia semuanya adalah hamba. Pertama dia adalah manusia dan kedua dia adalah hamba. Inilah pengikat persaudaraan kemanusiaan. Persaudaraan kemanusiaan adalah ruang dakwah yang terbuka dan berkesan. Hanya mereka yang tidak sayangkan Islam sahaja yang berusaha menutup ruang dakwah ini. Titik pertemuan persaudaraan kemanusiaan itu ialah ‘Allah’.

Kalau orang Kristian tidak takut penganut agama mereka terpengaruh dengan Islam kerana menggunakan kalimah Allah, mengapa orang Islam perlu takut orang Islam terpengaruh dengan Kristian dalam perkara ini?

Lemah benarkah orang Islam?

This entry was posted on Wednesday, January 27, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments