Khalid Samad: Saya akan terus cakap hingga Jais beri respons berasas  

Posted by Kunta-Kinte

PETALING JAYA, Jan 15 — Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad dalam nada menolak amaran keras Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) semalam sambil menegaskan, beliau akan terus melahirkan pandangannya selagi tidak memperolehi respons-respons yang berasas daripada agensi itu khususnya berhubung isu kalimah “Allah”.

“Saya akan terus bercakap sehingga mereka (Jais dan majlis agama) memberikan jawapan dan maklum balas yang kukuh kepada persoalan-persoalan saya bangkitkan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider tengah hari ini.

“Kami memberi pandangan alternatif, jadi bila kami berikan pandangan mereka kena berikan hujah yang kukuh dan berasas... ini bukan pandangan saya seorang sahaja, tetapi apa yang dibangkitkan oleh Datuk Nik Aziz (Mursyidul Am PAS) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS),” katanya.

Sehubungan itu tegas Khalid, jika Jais tidak dapat memberikan hujah yang kukuh pihaknya tidak harus mengamalkan sikap “aku buat keputusan, kamu ikut." Khalid menambah, walaupun ada keputusan-keputusan yang telah dibuat sebelum ini tidak bermakna ia tidak boleh menerima pandangan baru ekoran perkembangan semasa.

“Ini bukan zaman kerajaan BN... ini kerajaan Pakatan Rakyat yang membolehkan ruang membincangkan sesuatu dibincang dengan memberikan pandangan bebas, tidak macam dulu,” katanya. Selangor dipimpin oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat sejak selepas pilihan raya umum 8 Mac 2008. Jais juga sebelum ini telah menolak permohonan Khalid untuk mendapatkan tauliah menyampaikan kuliah agama di Selangor. Dalam komennya semalam, Jais turut menolak dakwaan Khalid bahawa pihaknya dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) sengaja “mempolitikkan” isu kalimah “Allah”.

Sehubungan itu, Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata Khalid perlu mengkaji semula kenyataan tersebut kerana ia mempunyai kaitan dengan sensitiviti umat Islam khususnya di Selangor.
“Seharusnya sebagai Ahli Parlimen yang duduk di Shah Alam, beliau sepatutnya berpegang kepada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’ dan sebagai rakyat Selangor beliau perlu hormati dan patuhi titah Sultan.

“Benda ini bukan boleh dipermain-mainkan kerana ia melibatkan soal akidah dan sepatutnya orang Islam hormati keputusan yang sudah dibuat ini,” kata Mohamed Khusrin. Mengenai reaksi Mohamed Khusrin bahawa beliau sewajarnya menghargai kedudukannya sebagai wakil rakyat Selangor, Khalid menjawab bahawa beliau sememangnya menjalankan tugasnya sebagai Ahli Parlimen Selangor.

“Oleh kerana saya Ahli Parlimen (Shah Alam) saya memang bersyukur... jawatan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab dan saya wajar memberikan pandangan.

“Sekarang Jais harus bertindak terbuka untuk menerima pandangan orang lain, bukannya memaksa orang lain mengikut apa yang mereka buat sahaja, adakan perbincangan,” katanya.-malaysian insider

This entry was posted on Friday, January 15, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments