Isu Kartika: Apa sebenar yang disembunyikan?  

Posted by Kunta-Kinte

Oleh: Yusri Sahat

JAN 26 — Apa sudah jadi dengan hukuman sebat ke atas model sambilan Kartika Sari Dewi Shukarno? Persoalan itu terus menjadi cakapan umum yang tertanya-tanya sama ada hukuman itu akan diteruskan atau didiamkan begitu sahaja.

Atau sebenarnya ia hanya satu “lakonan” bagi menunjukkan Pahang tegas dalam membanteras gejala minum arak di khalayak sedangkan ia tidaklah sebegitu.

Jika diamati, tiada sebarang halangan yang merintangi pelaksanaan hukuman sebat itu. Jika dikatakan kerana menghormati Ramadan, bulan itu telah pun berlalu. Jika tiada tukang sebat syarie, ia telah pun disediakan.

Malah yang lebih penting, empunya badan sendiri sudah bersiap sedia untuk menghadapinya. Kartika Sari Dewi sendiri berkali-kali menegaskan bahawa dia mahu menjalani hukuman itu dan tidak akan sama sekali membuat rayuan walaupun didesak pelbagai pihak hatta pemimpin atasan negara sekali pun.

Justeru, di mana silapnya hinggakan hukuman sebat gagal dilaksanakan selepas ia ditangguhkan pada Julai tahun lalu. Pelbagai andaian dibuat berhubung kegagalan pelaksanaan hukuman itu Ada yang mengatakan wujudnya campur tangan politik dalam kes berkenaan manakala ada yang mengaitkannya dengan Peguam Negara yang menjadi faktor penangguhannya.

Namun, Tan Sri Abdul Gani Patail pantas menafikan penglibatan pihaknya kerana secara logiknya tidak mungkin beliau campur tangan dalam urusan pentadbiran undang-undang syariah. Tidak kurang juga yang mendakwa terdapat campur tangan pihak istana yang menyebabkan kes tersebut tidak dapat dilaksanakan hingga kini. Bagaimanapun, sejauh mana benar andaian itu, tidak dapat dipastikan tetapi apa yang nyata Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) saling menuding jari seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan.

Ia dapat dilihat dalam kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Datuk Abdul Hamid Md. Yunus baru-baru ini bahawa penetapan tarikh hukuman sebat itu adalah tanggungjawab Jaip selepas pihaknya mengekalkan hukuman ke atas Kartika Sari Dewi ketika semakan semula dilakukan pada Oktober tahun lalu. Berikutan keputusan pengekalan hukuman itu, katanya, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan tiada kaitan lagi dengan isu sebatan ke atas model sambilan itu kerana urusan menjatuhkan hukuman dan semakan semula telah pun selesai.

Kata Abdul Hamid, pihaknya telah menyerahkan kepada Jaip dan Jabatan Penjara untuk melaksanakan hukuman tersebut pada bila-bila masa. Berlainan pula dengan kenyataan Ketua Pendakwa Syarie Jaip, Datuk Abdul Rahim Jaafar, pihaknya juga tidak ada kena-mengena dengan tarikh hukuman sebat itu kerana pihaknya hanya menjalankan tugas untuk mendakwa model sambilan terbabit.

Tanggungjawab menetapkan tarikh hukuman itu, jelasnya, terletak di bahu Mahkamah Tinggi Syariah kerana institusi itu yang melakukan semakan semula terhadap keputusan yang telah dibuat sebelumnya. Pengarah Jaip, Datuk Abdul Manan Abdul Rahman pula mengambil jalan tengah dengan hanya mendiamkan diri, bahkan, menggesa media tidak memperbesarkan isu tersebut. Selepas negara melangkah ke tahun baru, tidak nampak sebarang tanda hukuman itu dapat dilaksanakan sehingga menimbulkan persoalan di kalangan umat Islam. — Utusan Malaysia

This entry was posted on Tuesday, January 26, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments