Ibrahim Mahu Bawa Tuntutan Royalti Minyak Ke Mahkamah  

Posted by Kunta-Kinte

KOTA BAHARU, 27 Jan (Bernama) -- Kecewa dengan sikap kerajaan Kelantan yang enggan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah, Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali menyatakan kesanggupan untuk berbuat demikian.

Bagi Ibrahim tujuannya berbuat demikian hanyalah untuk membuktikan sikap sebenar kerajaan Kelantan yang takut membawa isu itu ke mahkamah kerana tahu isu itu tidak berpihak kepada mereka dan ia sebenarnya hanya dijadikan modal politik PAS semata-mata. "Saya bagi tempoh sebulan mulai hari ini kepada kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk membawa isu tuntutan ini ke mahkamah dan jika tidak, saya sebagai rakyat Kelantan pula yang akan berbuat demikian.

"Tujuan saya untuk membuktikan PAS sebenarnya takut untuk berhadapan di mahkamah dan isu ini sengaja direka hanya untuk kepentingan politik semata-mata," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel Forum Wang Ehsan yang bertajuk "Antara Retorik Politik dan Keperluan Rakyat" di sini, Selasa malam.

Forum itu dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, dengan anggota panel terdiri Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai seorang lagi panel manakala Pengarah Universiti Teknologi Mara Datuk Profesor Dr Hussin@Mohamed Ab Rahman sebagai pengerusi.

Ibrahim, yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), berkata PAS takut untuk mengemukakan tuntutan royalti minyak ke mahkamah kerana sepanjang kes itu berjalan, ia sama sekali tidak diboleh dibincangkan di luar mahkamah.

"Jadi isu itu tidak boleh dimainkan yang kemungkinan sehingga pada pilihan raya umum akan datang dan sudah tentu isu dalam PMBK dan yang lain akan menjadi perhatian semula," katanya. Ibrahim berkata beliau sudah berbincang dengan barisan peguamnya bagi meneliti dan membawa kes itu ke mahkamah dan soal menang atau kalah bukan menjadi satu keutamaan.

Anggota Parlimen bebas itu berkata beliau juga meneliti segala dokumen dan bertemu 13 peguam serta beberapa bekas hakim untuk mengetahui sama ada kerajaan negeri berhak atau tidak membuat tuntutan itu. "Disebabkan itu saya sanggup berada di forum ini untuk menerangkan kepada semua bahawa kerajaan Kelantan sebenarnya langsung tidak berhak menuntut royalti minyak.

"Memang benar pada masa perjanjian itu menyatakan kerajaan Kelantan berhak mendapat lima peratus hasil minyak tetapi tidak dinyatakan dalam bentuk royalti atau wang ehsan," katanya. Ibrahim turut melahirkan rasa kecewa isu tuntutan itu dijadikan teks khutbah Jumaat di Kelantan dan jelas isu ia sememangnya dijadikan modal politik bagi kerajaan negeri meraih simpati rakyat.

This entry was posted on Wednesday, January 27, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments