Bas bintang RM135 juta ditembak  

Posted by Kunta-Kinte



ADEBAYOR (kanan) ditenangkan oleh seorang lelaki di luar sebuah hospital di Cabinda kelmarin.



BINTANG kelab bola sepak Manchester City di England yang bernilai AS$40.05 juta (RM135.30 juta), Emmanuel Adebayor menceritakan detik-detik serangan pengganas selepas bas yang dinaikinya bersama rakan-rakannya daripada pasukan bola sepak kebangsaan Togo ditembak selama 30 minit kelmarin di Angola, lapor beberapa akhbar semalam.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan berdas-das tembakan ke arah bas itu yang sedang menuju ke wilayah Cabinda, Angola sebagai persediaan menghadapi perlawanan bola sepak Piala Negara-Negara Afrika yang akan bermula hari ini.

Sebanyak lapan anggota pasukan bola sepak Togo cedera namun pemandu bas itu maut bersama dua orang lagi manakala Adebayor mengalami kejutan selepas dirawat di sebuah hospital di Cabinda. Menurut Adebayor, dia dan rakan-rakannya melihat sekumpulan orang memakai pakaian seragam tentera seperti mahu pergi berperang.

Namun katanya, setelah melepasi sempadan Angola sejauh lima kilometer dari negara Republik Congo, dia dan rakan-rakannya kemudian mendengar bunyi tembakan ke arah bas dengan tiba-tiba.

"Pada akhirnya (selepas kejadian tembakan), kami mendapati terdapat ramai orang (rakan sepasukannya) yang cedera.

"Terdapat peluru pada tubuh salah seorang penjaga gol kami. Seorang kakitangan akhbar dan komunikasi kami mengalami kecederaan. Dia masih tidak sedarkan diri," kata Adebayor.

"Bolehkah anda berimagnasi bahawa kami berada di tengah-tengah kejadian tembakan yang berlaku selama 30 minit itu.

"Bas kami terhenti dan terdapat orang yang menembak ke arah bas kami selama 30 minit," tambah bintang bola sepak itu.



BEBERAPA orang merebahkan diri selepas sekumpulan lelaki
bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah bas pasukan bola sepak Togo di Cabinda kelmarin.



Menurutnya, suasana di dalam bas itu amat senyap semasa kejadian tersebut berlaku. Seorang rakan Adebayor, Thomas Dossevi berkata, mereka melindungi diri daripada tembakan itu dengan berbaring di bawah kerusi bas.

Seorang lagi pemain tengah kelab bola sepak Aston Villa, Moustapha Salifou tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu. Pentadbiran Angola mengutuk serangan itu yang dilakukan oleh gerila-gerila pemisah Barisan Pembebasan Enklaf Cabinda yang menentang pemerintah negara itu sejak tiga dekad lalu. - Agensi

This entry was posted on Sunday, January 10, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments