Anak Nik Aziz: ‘Berbeza pandangan perlu diraikan’  

Posted by Kunta-Kinte

PETALING JAYA, Jan 3 — Nik Amalina Nik Aziz, anak perempuan Menteri Besar Kelantan, terus mempertahankan pendiriannya meluahkan pandangan berhubung isu semasa di Kelantan dan juga dalam PAS menerusi blognya dengan menegaskan, berbeza pandangan perlu dialu-alukan dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam tulisan kali ini yang dilihat lebih ‘halus’ tanpa merujuk kepada kecaman mana-mana pihak secara langsung, Nik Amalina berkata: “Berbeza pandangan itu sesuatu yang perlu diraikan dalam hidup bermasyarakat.” “Mungkin hari ini kita tidak bersetuju dengan suatu perkara, insya-Allah ada saatnya nanti Allah melorongkan sesuatu yang pasti untuk kita,” kata beliau sambil menambah menyuarakan pendapat tidak salah. Nik Amalina memulakan tulisan blognya lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun penulisan beliau yang begitu pedas pada awalnya dikecam beberapa pemimpin dalam PAS yang mendakwa Nik Amalina selaku anak Menteri Besar tidak wajar berbuat demikian. “Tetapi biarlah kita faham tentang isunya. “Jangan pula kerana hanya dengan keyakinan, kita telah membuat suatu keputusan yang silap kerana tidak pernah tahu asal sumbernya.

“Andai wujud kekhilafan, adalah wajar kita cari persepakatan dan persetujuannya,” kata isteri kepada Abdul Ariffahmi Abdul Rahman, yang akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Mac depan.

Pelantikan Ariffahmi oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke jawatan itu tahun lalu menjadi salah satu daripada siri kontroversi yang dihadapi oleh Mursyidul Am PAS itu tahun lalu. Nik Amalina, anak perempuan keempat daripada lima orang saudara perempuan dan merupakan anak kesembilan daripada 10 adik-beradik menambah, “jangan kerana berlainan pendirian kita jauhkan sebuah persaudaraan.” “Kerana sebuah persaudaraan akan terbinanya ikatan persahabatan. Bersyukurlah dengan setiap jalinan ukhuwah yang wujud kerana sebuah persahabatan akan menjunjung sebuah kesetiaan yang sukar dicari,” kata ibu kepada enam zuriat dan menjadi suri rumah sepenuh masa bermula 1 Januari 2009.

Nik Amalina yang dikritik pemimpin-pemimpin PAS selepas menulis isu menyentuh keluarganya termasuk soal kedudukan Ariffahmi dan kepimpinan Nik Aziz dalam blognya berkata, “saya tetap akan menjadi diri saya yang sebenar.” Dua tulisan yang menjadi kontroversi sepanjang bulan lalu ialah “Suamiku, Ir Abdul Ariffahmi Ab Rahman” dan “Kerana Saya Anak Nik Abdul Aziz”.

“Kalaupun saya hebat dikritik mahupun dipuji, saya tetap percaya bahawa setiap yang berlaku itu akan ada hikmahnya,” katanya. Nik Amalina menambah, ujian yang dilalui beliau dan keluarga sekarang mampu meletakkan dirinya menjadi seorang yang lebih ‘keras’ jiwanya.


The Malaysian Insider

This entry was posted on Sunday, January 03, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments