Ahmad: Kempen Umno Pengkhianat Rakyat kesilapan  

Posted by Kunta-Kinte

PAS HULU SELANGOR, Jan 2 – Umno mengecam PAS kerana mahu memperlekehkan program Umno Juara Rakyat yang akan dilancarkan Jan 9 ini dengan kempen Umno Pengkhianat Rakyat yang secara kebetulan akan diadakan pada hari yang sama di negeri yang sama.

“Mereka tidak wajar (buat demikian),” kata ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pusat program berkenaan di Pusat Komuniti Bukit Sentosa, Bandar Bukit Sentosa di sini hari ini.

Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata Umno sedang berusaha untuk “mendekati rakyat tetapi PAS pula bertindak secara negatif dengan menyerang kami.” “Itu kesilapan mereka ... biarkan mereka,” kata beliau sambil menambah rakyat akan akhirnya menilai mereka.

Selangor merupakan antara negeri yang hilang dari tangan Umno-BN pada pilihan raya umum ke-12 Mac 2008. Minggu lalu, ketua penerangan PAS Idris Ahmad mendakwa Umno kian tertekan dengan agenda kempen mereka Umno Pengkhianat rakyat yang akan dilancarkan minggu depan.

Kedua-dua parti akan melancarkan program berlawanan matlamat di negeri yang sama dan pada tarikh yang sama. Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi perhubungan negeri Selangor akan melancarkan secara rasmi program Umno Juara Rakyat di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Jan 9.

Program Umno Juara Rakyat akan diteruskan sehingga pilihan raya umum ke-13. Kempen Umno Pengkhianat Rakyat pula akan dilancarkan pada Seminar Penerangan Isu-isu Semasa PAS di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam. Ditanya mengapa lokasi di kawasan Hulu Selangor dipilih untuk majlis perasmian program itu, Ahmad berkata ia adalah permintaan Perdana Menteri yang ingin turun padang bertemu masyarakat.

“Kita nak elakkan program Umno hanya bertumpu di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur) sahaja, kita nak anjakkan ke kawasan pedalaman kerana permintaan Datuk Seri Najib yang ingin turun padang,” katanya. Ahmad memberitahu program itu membawa maksud parti itu menjuarai kehidupan rakyat, menjuarai pembelaan rakyat, menjadi johan membangunkan rakyat dan sentiasa di barisan hadapan membela dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Program terbesar Umno itu pada tahun ini juga bermakna Umno berusaha menjadi nombor satu di dalam hati dan minda rakyat dan rakyat menjadi nombor satu dalam perjuangan Umno, kalau ada masalah apa-apa Umno yang datang dulu turun padang menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Ahmad menambah Umno negeri akan melaksanakan program itu secara bergilir-gilir setiap bulan bermula di Selangor mengikut tema tertentu manakala semua 191 bahagian Umno di seluruh negara akan melaksanakan program Umno Juara Rakyat pada skala lebih kecil selama dua hari satu malam pada setiap minggu.
Antara perkara yang diberi tumpuan ialah mengenai pendidikan, kebajikan, petani, penternak, nelayan, badan bukan kerajaan, swasta, ekonomi, kerohanian, perpaduan, kebudayaan, kesihatan, keselamatan, kerjaya, kemahiran, sejarah Umno dan juga BN,  katanya.

Beliau berkata pelancaran program berkenaan pada Jan 8 hingga 10 dijangka dihadiri kira-kira 20,000 orang yang terdiri daripada anggota Umno, parti komponen BN dan penduduk sekitar. Sebanyak 125 gerai pameran melibatkan 100 pengusaha swasta dan individu akan disediakan selain pelbagai aktiviti menarik lain seperti majlis Forum Perdana yang akan dirasmikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jan 8.

The Malaysian Insider

This entry was posted on Saturday, January 02, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments