SELENA TAY: Benarkah ini 1 Malaysia?
2010
Topik yang hangat diperbincangkan pada masa ini ialah 1 Malaysia. Setiap hari kita kini dibanjiri dengan topik 1 Malaysia. Tidak dapat dinafikan bahawa 1 Malaysia adalah satu cogankata yang bagus dan penuh impak yang boleh menarik perhatian dan sokongan rakyat. Tetapi seperti yang telah biasa diketahui, teori tidak semestinya sama dengan perlaksanaan.
Umpamanya hal mengenai kalimah ‘Allah’ dimana Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah membuat kenyataan bahawa rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang berugama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ manakala rakyat yang berugama Kristian di Semenanjung Malaysia tidak boleh berbuat demikian. Mengapakah rakyat Kristian di bawah cogankata 1 Malaysia mesti dibezakan dengan cara ini? Beginikah rupanya 1 Malaysia? Memang kelakar betul!
Lagi satu perkara yang besar yang harus diketahui oleh orangramai ialah hal mengenai peruntukan dana yang diberi oleh Kerajaan Pusat Barisan Nasional (BN). Hal ini sememangnya telah membuat penulis rasa marah terhadap Kerajaan Pusat BN oleh kerana ketidakadilan dalam polisi BN.
Contoh yang amat baik sekali yang ditunjukkan oleh Kerajaan Pusat BN ialah dalam hal peruntukan dana untuk UNESCO World Heritage Cities Georgetown dan Melaka dimana Kerajaan Negeri Melaka telah mendapat wang peruntukan sebanyak RM30 juta dari Kerajaan Pusat BN untuk mengekalkan dan menyelenggarakan pengurusan bandaraya Melaka manakala Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mendapat satu sen pun untuk mengekalkan dan menyelenggarakan pengurusan bandaraya Georgetown. Beginikah rupanya 1 Malaysia? Pulau Pinang telah dianaktirikan oleh sebab Pulau Pinang adalah dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat. Memang tidak adil sama sekali!
Royalti minyak untuk Negeri Kelantan pun lagi satu kes ketidakadilan yang amat ketara yang diamalkan oleh Kerajaan Pusat BN. Pada masa Negeri Terengganu dibawah pemerintahan PAS, Negeri Terengganu pun tidak mendapat royalti tersebut tetapi sekarang dibawah pimpinan BN, Negeri Terengganu tidak mempunyai masalah mendapatkan royalti minyaknya. Dapat dilihat dengan jelas sekali bahawa Negeri Kelantan pun dianaktirikan juga seperti Negeri Pulau Pinang.
Sejurus setelah parti pembangkang memenangi 5 buah negeri selepas Pilihanraya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008, Kementerian Pelancongan telah menyalurkan wang peruntukan kerajaan untuk perlaksanaan program pelancongan terus kepada jabatan-jabatan kerajaan di setiap negeri yang berada dibawah kuasa Pakatan Rakyat tetapi bukan kepada kerajaan negeri tersebut. Ini menyusahkan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri tersebut untuk melancarkan program pelancongan negeri sebab dana dipegang oleh jabatan-jabatan kerajaan. Walaupun perkara ini berlaku sebelum Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, namun demikian perkara yang sama ini masih berterusan juga. Inilah contoh 1 Malaysia yang amat bagus!
Juga terdapat kakitangan kerajaan yang malas bekerja selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih pentadbiran kerajaan negeri. Ini dipanggil subtle sabotage. Kakitangan kerajaan sepatutnya mestilah bertindak neutral dan must serve the Government of The Day tetapi di Malaysia tidaklah begitu. Di Malaysia kebanyakan kakitangan kerajaan ialah kakitangan BN. Rakyat Malaysia yang tidak bijak membaca permainan politik akan berpendapat bahawa kerajaan Pakatan Rakyat di negeri-negeri dibawah pimpinannya adalah malas dan tidak berkesan. Ini memberi kesan yang buruk kepada imej Pakatan Rakyat sebagai sebuah parti alternatif yang tidak ada kebolehan mengurus dan mentadbir. Oleh itu bagaimana pula hendak menawan Putrajaya? Inilah helah BN yang licik untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat di empat buah negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat selepas Perak telah dirampas oleh BN.
Kerajaan Pusat BN juga hanya menyalurkan dana yang sedikit kepada negeri-negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat walhal negeri-negeri tersebut telah menyumbangkan cukai yang lumayan kepada Kerajaan Pusat. Dalam hal ini Kerajaan Pusat BN telah melakukan penindasan yang amat kejam terhadap kerajaan dan rakyat terutamanya rakyat yang miskin dan yang berpendapatan rendah di negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat sebab pihak yang berkuasa ialah pihak yang memegang wang. Those who control the purse-strings have the power to bully the weak. Ini menyebabkan negeri-negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat tidak mencukupi wang untuk melancarkan program pembangunan yang memanfaatkan rakyat. Namun demikian pemimpin-pimimpin Pakatan Rakyat pun tidak kurang hebatnya sebab walaupun menghadapi masalah kekurangan wang, projek yang memanfaatkan rakyat dapat dijalankan juga melalui penggunaan perbelanjaan yang cermat dan cerdik.
Jelaslah disini bahawa Kerajaan BN telah menganaktirikan negeri-negeri dibawah pimpinan Pakatan Rakyat! Ya, 1 Malaysia! Cakap tak serupa bikin.
0 comments