Anwar: Ekonomi Malaysia "Retak Menanti Belah"  

Posted by Kunta-Kinte

KUALA LUMPUR 26 Feb - Ketua Umum KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab langkah kerajaan mengumumkan senario ekonomi terburuk negara telah berakhir atas alasan Kadar Dalam Negara Kasar berkembang 4.5 peratus dalam suku terakhir 2009.

Menurut beliau yang juga bekas Menteri Kewangan pertumbuhan itu digalakkan oleh perbelanjaan besar-besaran oleh kerajaan sejak setahun lepas dan kesannya hanya bersifat sementara dan tidak boleh dilakukan secara berterusan.

"Suntikan pakej rangsangan, seperti yang diketahui oleh mana-mana ahli ekonomi, sebaiknya adalah langkah sementara dan tidak boleh dilakukan secara berterusan.

"Oleh sebab itulah, saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius.

Datuk Seri Anwar memberi amaran Malaysia kini berhadapan dengan risiko di mana keadaan ekonomi diumpama "retak menanti belah".

"Saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba," tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menanbah pendekatan yang diambil kerajaan Umno-Barisan Nasional dalam menangani permasalahan ekonomi negara tidak berubah sejak dari 1998 iaitu menaikkan perbelanjaan kerajaan melalui projek-projek mega yang tidak diperlukan dan hanya menguntungkan kroni.

"Data pelaburan individu dan swasta sejak 1991 menjadi peringatan bagaimana Barisan Nasional telah mengheret negara ke lembah kehancuran ekonomi.

"Kalau sebelumnya di antara tahun 1991 hingga 1997 pelaburan individu dan swasta meningkat setiap tahun pada kadar 16.2%, selepas 1998 hinggalah kini kadar ini hanya menokok 1% secara purata sejak 11 tahun lepas.

"Mengambil kira kesan inflasi, maknanya di antara tahun 2005 sehingga 2008, pelaburan individu dan swasta kekal tidak berkembang pada tahap RM20.3 billion setiap tahun.

"Jumlah ini adalah lebih rendah dari jumlah pelaburan individu dan swasta semasa saya mula-mula menjadi Menteri Kewangan dalam tahun 1991, iaitu hampir 20 tahun lalu," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Datuk Seri Anwar berkata kadar pelaburan individu dan swasta terus menjunam berbanding dengan tahapnya sebelum tahun 1997 di mana ia menyumbang 40 peratus kepada KDNK.

Sejak sedekad lalu sumbangan pelaburan individu dan swasta terus merosot secara puratanya kepada kadar 28% sahaja daripada KDNK.

"Oleh sebab itu Pakatan Rakyat tidak akan membuat pengisytiharan yang cuai seperti Perdana Menteri bahawa ekonomi kita sudah pulih, kerana masih terlalu banyak masalah pokok yang perlu diselesaikan dengan segera sekiranya kita tidak mahu Malaysia terus tertinggal di belakang," tambah Datuk Seri Anwar.

Kadar 4.5 peratus pertumbuhan yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak menyerlahkan kedudukan corot Malaysia dikalangan negara rantau ini seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina malahan juga Vietnam.

"Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi, walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih.

"Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar 2 kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50% lebih pesat dari Malaysia," jelas mantan Timbalan Perdana Menteri lagi.

Datuk Seri Anwar menegaskan kemelut ekonomi yang dialami sekarang adakah disebabkan salahguna kuasa dan rasuah oleh pemimpin Umno-BN yang berkuasa sejak sekian lama.

"Kemakmuran negara pada masa hadapan hanya boleh dijamin oleh sebuah kerajaan yang memikul amanah yang diberikan oleh rakyat dengan rasa tanggungjawab yang tinggi. Maka, persoalan ketelusan dan amalan pentadbiran yang baik adalah prasyarat untuk memulihkan ekonomi negara.

"Oleh sebab itu, Pakatan Rakyat akan terus bekerja keras untuk menawarkan kepada rakyat pentadbiran ekonomi yang telus, tulus dan berkembang secara sihat bagi jangkamasa yang panjang demi generasi akan datang," kata beliau.

This entry was posted on Friday, February 26, 2010 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments